(foto: Mohammadjavad Alikhani / Mehr News Agency)

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengecam sekeras-kerasnya serangan ketenteraan AS-Israel terhadap Iran. Serangan ini telah dipertingkatkan lagi dengan AS menyertai perang Israel Zionis terhadap Iran dengan mengebom tapak-tapak nuklear di Iran.

Serangan ketenteraan yang terkini terhadap Iran dilakukan tanpa provokasi, ia menyalahi undang-undang dan pelanggaran yang jelas terhadap Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa. Sejak 13 Jun 2025, serangan ketenteraan yang kejam dan ganas oleh rejim Zionis Israel yang suka membunuh, dengan sokongan daripada AS, telah meragut nyawa lebih 430 orang, dengan kebanyakannya orang awam.

Sambil melakukan genosid yang berterusan terhadap rakyat Palestin, rejim Zionis Israel melancarkan perang agresif dengan alasan untuk melumpuhkan keupayaan nuklear Iran. Namun, program nuklear Iran merupakan salah satu program nuklear yang diletakkan di bawah pemantauan antarabangsa paling ketat dan Iran masih merupakan pihak yang menandatangani Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT), sedangkan Israel tidak pernah menandatangani NPT, tidak pernah membenarkan pemeriksaan nuklear oleh agensi antarabangsa, dan adalah rahsia terbuka bahawa ia mempunyai senjata nuklear. Rejim Zionis Israel sekali lagi menunjukkan hipokrasi yang nyata dengan sokongan penuh daripada kuasa imperialis AS. Malah, tindakan ganas rejim Zionis Israel yang disokong AS itu telah mensabotaj rundingan mengenai program nuklear Iran yang sedang berlangsung dan memusnahkan segala usaha untuk menyelesaikan isu itu secara aman melalui diplomasi.

Perang AS-Israel terhadap Iran tidak membawa apa-apa kecuali untuk menakut-takutkan rakyat Iran dan melemahkan kuasa yang boleh mengganggu dominasi serantau Zionis yang bersifat perluasan kuasa serta genosid terhadap rakyat Palestin. Peningkatan serangan terhadap Iran menjejaskan kestabilan rantau selanjutnya dan mengancam keamanan dunia dengan mengundang lebih banyak konflik yang membawa maut.

Oleh itu, kami menggesa kerajaan-kerajaan di seluruh dunia untuk bersatu dalam memberi tekanan kepada AS dan Israel untuk menghentikan peperangan ganas mereka terhadap Iran. Semua kerajaan harus mengambil tindakan tegas dengan memutuskan hubungan diplomatik dan ekonomi dengan kedua-dua AS dan Israel. Perlu kenakan embargo senjata yang menyeluruh terhadap Israel, dan boikot antarabangsa terhadap industri persenjataan AS secara menyeluruh.

Kami juga menyeru kerajaan Malaysia untuk memanggil balik duta negara kita di AS dan mengusir duta AS di Malaysia sebagai bentuk protes yang minimum terhadap perang AS-Israel ke atas Iran. Sebagai pengerusi ASEAN 2025, Malaysia harus menghimpunkan anggota-anggota ASEAN untuk mengambil tindakan tegas secara bersama untuk memberi tekanan kepada AS supaya menghentikan perang terhadap Iran dan genosid yang sedang berterusan terhadap rakyat Palestin, begitu juga untuk memelihara keamanan yang adil bagi umat manusia seluruh dunia.

==========

Ditulis oleh Choo Chon Kai, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Versi Bahasa Inggeris di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *