(foto: Aref Tammawi / AFP)

Rejim pemerintahan autoritarian Dinasti Assad yang berkuasa lebih setengah abad akhirnya dijatuhkan apabila bandar Damsyik (atau juga dikenali sebagai Damascus), ibu negara dan bandar terbesar di Syria, ditawan oleh gabungan kumpulan-kumpulan bersenjata yang diterajui oleh Hayʼat Tahrir al-Sham (HTS), sebuah organisasi serpihan Al-Qaeda yang dijenamakan semula dan dipimpin oleh Abu Mohammad al-Julani, pada 8 Disember 2024. Bashar al-Assad, yang sudah memerintah sebagai Presiden Syria selama 24 tahun selepas kematian bapanya Hafez al-Assad pada tahun 2000, melarikan diri ke Moscow untuk mendapatkan perlindungan di situ.

Fasa akhir penumpasan pemerintahan rejim Dinasti Assad bermula dengan HTS, bersama-sama kumpulan-kumpulan bersenjata yang disokong oleh Turki, menawan bandar Aleppo pada 29 November 2024. Gabungan kumpulan-kumpulan bersenjata yang diterajui oleh HTS kemudiannya mara dengan cepat, menawan bandar Hama pada 5 Disember 2024, diikuti dengan bandar Homs pada 7-8 Disember 2024, dan akhirnya bandar Damascus pada 8 Disember 2024. Kejatuhan bandar-bandar yang dikuasai oleh Angkatan Tentera Syria yang setia pada rejim Assad pada masa itu berlaku dengan sedikit penentangan sahaja. Angkatan Tentera Syria kelihatan sudah tidak bersemangat lagi untuk bertempur. Bashar al-Assad pula melarikan diri keluar dari negara Syria seperti seorang pengecut, tanpa meninggalkan apa-apa pesanan kepada rakyat Syria, mungkin kerana dia sedar bahawa kata-katanya tidak akan diberi perhatian lagi oleh kebanyakan rakyat Syria.

Sejurus selepas kejatuhan rejim Assad, pemimpin HTS Abu Mohammad al-Julani menyatakan bahawa kumpulan tenteranya tidak akan mengambil alih institusi-institusi awam serta-merta, sebaliknya Mohammad Ghazi al-Jalali, Perdana Menteri yang baharu dilantik oleh Bashar al-Assad pada 14 September 2024, masih akan memegang kuasa pentadbiran buat sementara waktu sehingga peralihan politik sepenuhnya selesai.

(foto: Safin Hamid / AFP)

Kejatuhan rejim Bashar al-Assad selepas Perang Saudara Syria yang sudah berlarutan selama 13 tahun ini, bukannya sesuatu yang tidak dijangkakan. Rejim pemerintahan Assad pada awalnya mematahkan aksi-aksi protes aman yang tercetus semasa gelombang “Musim Bunga Arab” pada tahun 2011, dengan kekerasan yang hebat, tetapi membawa kepada penentangan bersenjata daripada kumpulan-kumpulan yang terdiri daripada pelbagai aliran politik. Kuasa-kuasa imperialis Barat dan kuasa-kuasa serantau menggunakan kesempatan Perang Saudara Syria untuk menyokong proksi-proksi masing-masing dalam medan perang di Syria, dengan pertimbangan kepentingan geopolitik masing-masing. Perang Saudara Syria telah menyediakan tanah subur untuk perkembangan kumpulan-kumpulan pelampau bersenjata yang mengerikan seperti ISIS yang menguasai banyak wilayah di Syria pada tahun 2015 dan terkenal dengan keganasannya yang melampau.

Rejim Assad mampu bertahan daripada serangan kumpulan-kumpulan bersenjata yang kebanyakannya merupakan proksi kepada kuasa-kuasa asing sepanjang tempoh satu dekad yang lalu, bukan kerana ia mempunyai sokongan politik yang padu daripada majoriti rakyat Syria, tetapi bergantung banyak kepada sokongan ketenteraan yang diberikan oleh negara asing yang lain, iaitu Rusia dan Iran. Campur tangan ketenteraan oleh Rusia yang menyokong rejim Assad mulai tahun 2015 telah memberikan talian hayat yang penting kepada rejim Assad di Damascus.

Namun, imbangan kuasa serantau telah berubah dengan beberapa perkembangan penting dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini. Serangan tentera Israel yang besar-besaran ke atas Lubnan dan pembunuhan pemimpin Hizbullah seperti Hassan Nasrallah, telah melemahkan keupayaan Hizbullah, salah satu sekutu penting kepada kerajaan Assad, untuk memberi bantuan ketenteraan kepada rejim Assad apabila kumpulan-kumpulan anti-Assad melancarkan serangan terbaru mereka. Serangan Israel ke atas kemudahan-kemudahan ketenteraan Iran sebagai sebahagian daripada perang genosidnya terhadap rakyat Palestin, juga melemahkan keupayaan Iran untuk membantu Republik Arab Syria pada saat-saat genting. Oleh itu, adalah tidak hairan kenapa Netanyahu yang menerajui genosid terhadap rakyat Palestin itu begitu bangga mengatakan bahawa kejatuhan rejim Assad ialah kesan langsung yang dikenakan oleh Israel ke atas Iran dan Hizbullah.

Satu lagi sekutu penting kepada rejim Assad, rejim pemerintahan Vladimir Putin di Rusia, telah dilemahkan keupayaannya dalam membantu rejim Assad selepas tentera Rusia terjerumus dalam perang pencerobohannya ke atas Ukraine yang berpanjangan sejak tahun 2022. Rusia mempunyai pangkalan tentera laut di Tartus yang terletak di pantai Mediterranean di bahagian barat Syria. Rusia memberikan banyak bantuan kewangan dan ketenteraan kepada rejim Assad sepanjang satu dekad yang lalu untuk mengekalkan pemerintahannya.

Kejatuhan rejim Assad di Syria sudah pasti akan memberi kesan mendalam kepada pergolakan geopolitik dan konflik di rantau Timur Tengah. Pengaruh geopolitik Rusia dan Iran sudah pasti akan terjejas secara ketara, sementara kuasa-kuasa yang bersekutu dengan imperialis AS, seperti Israel, Arab Saudi dan Turki, berpeluang untuk memajukan kepentingan geopolitik masing-masing. Akan tetapi, sudah tentu akan wujudnya ketegangan antara kuasa-kuasa ini dalam persoalan membahagikan semula kepentingan mereka di Syria dalam senario terbaru ini.

(foto: Emin Sansar / Anadolu)

Walau bagaimanapun, kejatuhan rejim Assad telah disambut meriah oleh kebanyakan warga Syria yang hidup di bawah bayangan pemerintahan kuku besi Dinasti Assad selama ini. Ramai tahanan politik yang dikurung di dalam penjara bertahun-tahun lamanya telah dibebaskan dan dapat bertemu dengan ahli-ahli keluarga mereka yang langsung tidak tahu tentang sama ada mereka hidup atau mati sebelum ini. Sesetengah bekas tahanan ini tidak percaya bahawa rejim Assad sudah tiada lagi, malah ada yang dikurung begitu lama sehingga tidak pernah mengetahui bahawa Hafez al-Assad, bapa kepada Bashar al-Assad, sudah meninggal dunia 24 tahun lalu.

Penduduk-penduduk di wilayah bermajoriti masyarakat Kurdi yang dikuasai oleh pihak Pentadbiran Autonomi Syria Utara dan Timur (AANES), yang juga dikenali sebagai Rojaya, turut meraikan kejatuhan rejim Assad dengan penuh kegembiraan, bukannya kerana mereka percaya bahawa HTS akan membawa perubahan yang sebenar, tetapi meraikan penamatan sebuah rejim yang menindas, menyeksa dan memiskinkan rakyat. Kumpulan penentang Kurdi yang memperjuangkan pembebasan masyarakat di Rojava sedar bahawa visi pembebasan mereka adalah sangat berbeza malah bertentangan dengan bentuk pemerintahan yang cuba dibawa oleh HTS atau kumpulan-kumpulan bersenjata yang serupa, seperti Tentera Kebangsaan Syria (SNA) yang disokong oleh kerajaan Turki. Pejuang-pejuang pembebasan di Rojava yang terdiri daripada kumpulan etnik Kurdi, Arab, Asyria, Armenia, Turkmen, Yazidi dan sebagainya telah memberikan sumbangan dan pengorbanan yang besar dalam mempertahankan pentadbiran alternatif mereka yang ditubuhkan sejak tahun 2012, dan pernah menewaskan ancaman ISIS. Sekarang dengan kejatuhan rejim Assad, ia membuka ruang baharu, pada masa yang sama juga mengundang cabaran baharu kepada projek pembebasan di Rojava untuk sebuah masyarakat berbilang etnik yang dalam wujud secara bersama dan menentukan masa hadapan secara demokratik.

HTS yang menerajui serangan terakhir ke atas Damascus sehingga menjatuhkan rejim Assad, mengisytihar bahawa Syria “dibebaskan”. HTS membuat pengumuman bahawa “zaman kegelapan” sudah berakhir dan menjanjikan “Syria baharu” di mana “setiap orang hidup dalam keamanan dan keadilan ditegakkan”. HTS juga menjanjikan bahawa mereka akan melindungi golongan Kristian dan minoriti lain dalam mengamalkan agama dan budaya mereka. Namun, di sebalik retorik politik yang cuba mendamaikan puak-puak politik dengan pelbagai aliran ideologi dan masyarakat Syria yang berbilang etnik, adalah realiti keadaan masyarakat yang masih amat tidak menentu, apatah lagi pengaruh kuasa-kuasa asing dengan niat melindungi dan memajukan kepentingan mereka masing-masing itu masih begitu ketara.

HTS yang dipimpin oleh Abu Mohammad al-Julani merupakan kumpulan yang berpecah keluar daripada al-Qaeda, kumpulan pengganas yang pernah dipimpin oleh Osama bin Laden. HTS memutuskannya hubungan dengan al-Qaeda mulai tahun 2016, dan cuba menjauhkan dirinya daripada asal usul fahaman ekstremisnya. HTS mula menguasai wilayah Idlib di bahagian barat laut Syria pada tahun 2017, dan menjadikannya pangkalan utama kepada kumpulan bersenjata itu. Sejak itu, HTS cuba menonjolkan dirinya sebagai sebuah kuasa politik yang mampu mentadbir Syria dengan Idlib sebagai contoh pemerintahannya. Namun begitu, semasa pentadbirannya di Idlib, HTS menggunakan kekerasan terhadap golongan yang mengkritiknya, termasuk penahanan sewenang-wenang.

Abu Mohammad al-Julani, pemimpin HTS, berucap di dalam Masjid Umayyah selepas HTS menawan bandar Damascus. (foto: Aref Tammawi / AFP)

Selepas kejatuhan rejim Assad, rejim Zionis Israel dan rejim pemerintahan autoritarian Recep Tayyip Erdoğan yang berhaluan kanan di Turki telah meningkatkan pencerobohan tentera mereka ke atas Syria untuk memajukan kepentingan geopolitik masing-masing. Tentera Israel melancarkan serangan di selatan Syria untuk memperkukuhkan penguasaan Israel terhadap Dataran Tinggi Golan.

Sementara itu, rejim Erdoğan yang sentiasa berhasrat untuk menghancurkan projek pembebasan di Rojava dan sudah pun menceroboh bahagian utara Syria sejak tahun 2019, cuba merampas lebih banyak lagi wilayah daripada AANES. Tentera Kebangsaan Syria (SNA), sebuah gabungan kumpulan-kumpulan bersenjata yang disokong sepenuhnya oleh Turki, telah memainkan peranan sokongan kepada kemaraan HTS yang menjatuhkan rejim Assad. Pada masa yang sama, SNA juga bertindak untuk memajukan kepentingan Turki dengan melancarkan serangan ke atas Manbij yang terletak di bahagian timur laut Syria yang dikuasai oleh Angkatan Demokratik Syria (SDF) yang diterajui oleh kumpulan bersenjata majoriti Kurdi. SNA yang disokong oleh Turki pernah melakukan pelbagai jenayah perang, termasuk pengusiran masyarakat Kurdi keluar dari kawasan yang ditawannya.

Kerajaan AS memberi sokongan kepada AANES sejak tahun 2016 bukan kerana ia menyokong projek politik radikal Revolusi Rojava, tetapi hanya kerana SDF yang diterajui oleh golongan revolusioner Kurdi itu memainkan peranan berkesan dalam menewaskan ISIS dan juga ia perlu melindungi kepentingan minyaknya di bahagian timur Syria. Dengan perubahan rejim di Damascus, sejauh mana AS akan memberi sokongan kepada AANES adalah menjadi tanda persoalan, memandangkan ia sudah pun membiarkan sekutnya dalam NATO, iaitu Turki, untuk terus membedil wilayah Rojava melalui serangan udara sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Walau bagaimanapun, masyarakat Rojava yang cuba membangunkan alternatif bersifat pembebasan itu tidak pernah mempunyai ilusi terhadap sokongan AS selama ini.

Syria kini berada di persimpangan sejarah yang kritikal sekali lagi. Masa hadapan negara Syria sukar diramalkan, tetapi sudah pasti konflik yang melibatkan pelbagai pihak akan berterusan, sama ada dalam bentuk yang lebih aman atau yang lebih ganas. Kemungkinan Syria menjadi seperti Libya selepas kejatuhan Muammar Gaddafi pada tahun 2011, dengan perang saudara yang berpanjangan dan negara yang berpecah-belah, adalah besar; tetapi Syria sudah pun dilanda bencana perang selama 13 tahun yang lalu sebelum kejatuhan rejim Assad.

Pergolakan terbaru di Syria mengundang cabaran hebat yang baharu kepada perjuangan pembebasan masyarakat di rantau Timur Tengah. Dengan kedudukan rejim Zionis Israel yang diperkukuhkan apabila kumpulan-kumpulan pejuang pembebasan Palestin kehilangan satu sekutu negara yang penting, usaha perjuangan rakyat Palestin untuk melawan kezaliman Israel akan lebih mencabar. Usaha membina masyarakat bersifat pembebasan di Rojava juga akan terus menghadapi ancaman daripada tentera Turki dan sekutu-sekutunya. Walau bagaimanapun, gerakan pembebasan rakyat di Palestin dan Rojava akan diteruskan, selagi penindasan dan ketidakadilan masih wujud.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *