Seremban, Negeri Sembilan: 9 Mei 2019 yang lalu merupakan ulangtahun pertama perubahan pemerintahan di peringkat Persekutuan dan juga di Negeri Sembilan. Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah menjalankan Jelajah Kempen “Turunkan Harga Rumah Sekarang” di Negeri Sembilan pada hari itu, ingin mengingatkan pada Kerajaan Pakatan Harapan tentang keperluan untuk menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat.
Setelah PSM melancarkan Kempen Turunkan Harga Rumah di Rantau pada 7 April 2019 semasa Pilihanraya Kecil di situ, PSM Seremban menjalankan kajian di sekitar Negeri Sembilan untuk mendapatkan maklum balas mengenai isu harga rumah. PSM mendapati bahawa rumah yang dibina di Negeri Sembilan jelasnya jauh dari kemampuan rakyat. PSM telah menegaskan bahawa perumahan itu hak asasi manusia, dan adalah menjadi tanggungjawab untuk kerajaan memastikan rakyat mampu menduduki rumah.
Jelajah Kempen Turunkan Harga Rumah di Negeri Sembilan pada 9 Mei 2019 bermula di Pasar Besar Seremban, dan berakhir dengan penyerahan satu memorandum kepada Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan. Memorandum yang mengandungi cadangan PSM untuk rumah mampu milik telah diterima oleh Sallehuddin Mohd Noor selaku Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar Negeri Sembilan.
Mengikut kajian yang dilakukan oleh PSM di Negeri Sembulan untuk sebulan lalu yang melibatkan 626 orang responden, didapati bahawa lebih 60% rakyat di Negeri Sembilan tidak memiliki rumah. Lebih 90% daripada responden kajian menyokong kempen untuk menurunkan harga rumah.
Dalam memorandum yang diserahkan kepada Kerajaan Negeri Sembilan, PSM telah menyarankan bahawa:
- Bilangan rumah mampu milik yang berharga dalam lingkungan RM45,000 hingga RM100,000, ataupun Rumah Mampu Milik Jenis A harus ditingkatkan.
- Kerajaan juga perlu melaksanakan kajian permintaan perumahan agar kerajaan negeri mendapat gambaran sebenar mengenai keperluan rakyat dan tidak dikaburi oleh spekulasi harga oleh mereka yang membeli rumah untuk keuntungan bukannya untuk didiami.
- Hentikan penjualan tanah tanah strategik yang dimiliki oleh Kerajaan supaya ianya boleh diserahkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk pembinaan Rumah Mampu Milik Jenis A.
- Tingkatkan syarat pembinaan Rumah Mampu Milik Jenis A, iaitu rumah berharga dalam lingkungan RM80,000 ditambah jumlah pembinaannya oleh pemaju swasta dari 15% ke 30%.
- Had tempoh masa pembinaan Rumah Mampu Milik oleh setiap pemaju harus diawasi oleh Kerajaan Negeri.
S. Tinagaran, aktivis PSM Seremban, berkata, “walau apapun, kami daripada PSM Cawangan Seremban akan menyambung kempen ini sehingga Kerajaan Negeri melaksanakan dasar perumahan mampu milik yang menyediakan rumah berharga dalam lingkungan RM45,000 hingga RM100,000 dengan secukupi kepada rakyat Negeri Sembilan.”