(foto: Abed Rahim Khatib / Anadolu Agency)

7 Oktober 2024 menandakan ulang tahun pertama “Operasi Taufan al-Aqsa” dan juga genap setahun perang genosid yang dilancarkan oleh rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin.

Setahun yang lalu, pada 7 Oktober 2023, bertepatkan dengan ulang tahun ke-50 Perang Oktober 1973, kumpulan pejuang Hamas dan sekutunya melancarkan “Operasi Taufan al-Aqsa” , satu serangan mengejut ke atas Israel, dengan pejuang-pejuang pembebasan Palestin berjaya memecahkan sekatan terhadap Gaza dan memasuki Daerah Selatan Israel. Serangan mengejut oleh Hamas dan sekutunya pada 7 Oktober 2023 bukannya sesuatu yang mengejutkan, jika kita melihat kembali penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestin selama 75 tahun sebelumnya apabila dilanda Nakba sejak tahun 1948.

Dilaporkan kira-kira 1,200 orang terbunuh di pihak Israel, dan 251 orang ditawan sebagai tebusan, dalam “Operasi Taufan al-Aqsa” pada 7 Oktober 2023. Hamas dan sekutunya menawarkan pembebasan tebusan itu sebagai pertukaran untuk pembebasan warga Palestin yang dijadikan tahanan politik oleh rejim Zionis Israel. Namun, rejim Zionis Israel bertindak balas terhadap serangan mengejut pejuang-pejuang pembebasan Palestin itu dengan melancarkan perang genosid yang meragut nyawa berlipat ganda berbanding 7 Oktober 2023 dan memusnahkan seluruh Semenanjung Gaza. Bukan setakat itu sahaja, setahun kemudian, rejim Zionis Israel sedang melancarkan serangan besar-besaran ke atas Lubnan pada ketika genosid di Gaza dan penindasan terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat masih berterusan.

Apa yang dilakukan oleh Rejim Zionis Israel di bawah kepimpinan Benjamin Netanyahu sebagai respon kepada peristiwa pada 7 Oktober 2023, bukannya bertujuan untuk sekadar berperang dengan Hamas ataupun membebaskan tebusan yang ditahan oleh golongan pejuang Palestin, sebaliknya berniat untuk menggunakan kesempatan itu supaya melakukan genosid di Gaza dan menghancurkan harapan rakyat Palestin tentang sebuah negara Palestin yang merdeka. Dengan bekalan senjata dan sokongan kuat daripada kuasa imperialis Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya, rejim Zionis Israel terus melakukan jenayah terhadap kemanusiaan di rakyat Palestin tanpa sebarang rasa takut dan malu.

Setakat 7 Oktober 2024, sekurang-kurangnya 41,909 orang warga Palestin dibunuh dalam perang genosid oleh rejim Zionis Israel di Gaza, termasuk hampir 17,000 orang kanak-kanak. Angka ini adalah 35 kali ganda berbanding angka kematian warga Israel setahun yang lalu. Daripada mereka yang dibunuh, juga termasuk kira-kira 175 orang wartawan, 220 orang petugas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan 1,150 orang pekerja kesihatan. Kira-kira 100,000 orang cedera, sementara lebih 10,000 orang hilang di Gaza yang besar kemungkinan tertimbus di bawah runtuhan bangunan. Angka kematian rakyat Palestin di Gaza yang sebenar sudah pasti lebih tinggi. Hampir semua 2 juta orang penduduk Palestin di Gaza menjadi pelarian kerana kemusnahan yang dibawa oleh jentera peperangan genosid Israel. Infrastruktur masyarakat yang penting seperti hospital, sekolah, rumah beribadah dan rumah kediaman orang awam telah dimusnahkan dalam pengeboman yang berterusan. Dianggarkan 75,000 tan bahan letupan telah digugurkan di atas bumi Gaza dalam tempoh setahun yang lepas.

Di Tebing Barat yang sepatutnya bukan “medan perang utama”, sekurang-kurangnya 742 orang warga Palestin dibunuh dalam tempoh setahun yang lalu, termasuk lebih 163 orang kanak-kanak. Lebih 6,250 orang cedera kerana keganasan rejim Zionis Israel. Rejim Zionis Israel masih terus membina petempatan penjajah Zionis di Tebing Barat dengan mengusir keluar penduduk Palestin di situ. Rejim Zionis Israel juga melakukan pembunuhan pemimpin pejuang Palestin dengan cara yang keji, seperti pembunuhan pemimpin Hamas Ismail Haniyeh di Tehran.

Kemusnahan di Gaza dan keganasan yang berterusan di Tebing Barat tidak mencukupi bagi rejim Zionis Israel. Baru-baru ini, rejim Zionis Israel meningkatkan serangan terhadap kumpulan pejuang Hizbullah di Lubnan yang menyokong perjuangan pembebasan Palestin. Selepas melancarkan serangan pengganas yang melibatkan letupan ribuan alat peranti kelui dan ratusan alat komunikasi mudah alih walkie-talkie di seluruh Lubnan, tentera pengganas Israel melakukan serangan udara secara besar-besaran ke atas Lubnan, dan membunuh ramai orang lagi, termasuk pemimpin Hizbullah Hassan Nasrallah. Sekurang-kurangnya 2,083 orang terbunuh dan lebih 9,869 orang cedera di Lubnan sejak 23 September 2024 akibat serangan ketenteraan Israel.

Sepanjang setahun yang lalu, dunia telah menyaksikan sifat sebenar Zionisme dan imperialisme yang penuh dengan kezaliman. Walaupun banyak kerajaan di dunia telah menggesa gencatan senjata di Gaza, rejim Zionis Israel langsung tidak mempedulikannya dan terus mendapat sokongan daripada kuasa imperialis AS.

Rejim Zionis Israel, sebuah pemerintahan yang berasaskan keganasan dan jenayah genosid sejak tahun 1948, bukan sahaja enggan menghentikan serangan setiap hari terhadap rakyat Palestin, malah sekarang ini hendak memperluaskan jenayah genosid kepada peperangan yang lebih besar di rantau Timur Tengah.

Aksi protes bersolidariti bersama Palestin di Sydney, Australia. (foto: Zebedee Parkes)

Kita juga boleh menyaksikan sepanjang setahun yang lalu bahawa rakyat di merata tempat tidak dapat berdiam diri apabila berhadapan dengan kezaliman Zionis dan imperialis. Gelombang protes bersolidariti bersama Palestin dan anti-imperialis merebak di seluruh dunia. Wujudnya pelbagai usaha untuk memboikot syarikat yang bersekongkol dengan rejim genosid Israel. Adanya kerajaan yang mengheret Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas pertuduhan melakukan jenayah genosid. Aksi protes akan berterusan selagi rejim Zionis Israel tidak menghentikan kezalimannya terhadap rakyat Palestin.

Kita boleh lihat dengan jelasnya apa yang berlaku sepanjang setahun yang lalu dan juga 76 tahun sejak Nakba, keganasan dan genosid terhadap rakyat Palestin hanya dapat diberhentikan apabila rejim Zionis Israel ditumpaskan. Selagi rejim Zionis Israel masih wujud dan berkuasa, rakyat Palestin akan terus dizalimi, sementara keamanan yang berkekalan tidak mungkin wujud di rantau Timur Tengah.

Perjuangan pembebasan Palestin dan penamatan pendudukan Israel ke atas bumi Palestin, ialah perjuangan anti-imperialis yang harus disokong oleh rakyat yang mencintai keamanan dan keadilan sosial di seluruh dunia. Kita harus terus mengetengahkan tuntutan gerakan rakyat sedunia yang bersolidariti dengan rakyat Palestin:

  • Hentikan segera jenayah genosid di Gaza, dan ia harus bermula dengan gencatan senjata di Gaza;
  • Hentikan sekatan ke atas Gaza;
  • Tamatkan pendudukan rejim Zionis Israel di bumi Palestin;
  • Tegakkan hak pelarian Palestin untuk pulang ke kampung halaman asal mereka;
  • Hentikan serangan rejim Zionis Israel terhadap semua negara yang lain di rantau Timur Tengah;
  • Kenakan embargo senjata terhadap Israel.

Selain itu, kita juga harus memberi tekanan kepada kerajaan AS, sekutu rapat Israel, untuk menghentikan segala sokongan ekonomi, politik dan ketenteraan kepada rejim Zionis Israel. Genosid yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel hanya dapat dihentikan dengan negara Israel diasingkan sepenuhnya di pentas dunia.

Dari sungai ke samudera, Palestin akan merdeka!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *