Banyak petanda penting dalam iklim Bumi telah mencecah rekod yang melampau, dan ini menunjukkan bahawa masa hadapan masyarakat manusia di Bumi berada dalam keadaan yang tidak menentu. Ini merupakan amaran terbaru yang diberikan oleh pakar-pakar kanan dalam sains iklim di dunia dalam “Laporan Keadaan Iklim 2024: Masa yang Berbahaya di Planet Bumi” (The 2024 state of the climate report: Perilous times on planet Earth), sebuah laporan yang diterbitkan dalam jurnal saintifik BioScience pada 8 Oktober 2024.

“Kita sedang berada di ambang bencana iklim yang tidak dapat dibalikkan seperti sedia kala,” begitu katanya Laporan Keadaan Iklim 2024. “Ini ialah darurat global tanpa sebarang keraguan. Kebanyakan fabrik kehidupan di Bumi sudah terancam. Kita sedang melangkah masuk ke fasa baharu krisis iklim yang kritikal dan tidak dapat diramalkan.”

“Untuk selama setengah abad, pemanasan global telah diramalkan secara betul walaupun sebelum ia diperhatikan – dan bukan sahaja oleh ahli sains akademik yang bebas tetapi juga oleh syarikat-syarikat bahan api fosil,” begitu ulasnya laporan tersebut. “Walaupun amaran-amaran ini, kita masih bergerak menuju ke arah yang salah: pelepasan bahan api fosil telah meningkat ke paras tertinggi sepanjang masa, 3 hari yang paling panas dalam sejarah berlaku pada bulan Julai 2024, dan dasar-dasar semasa membuatkan kita berada di landasan untuk pemanasan puncak pada kira-kira 2.7 darjah Celsius (°C)  menjelang tahun 2100. Malangnya, kita sedang gagal untuk mengelakkan impak yang serius, dan kita kini hanya boleh berharap untuk mengehadkan tahap kerosakan. Kita sedang menyaksikan realiti suram daripada ramalan apabila kesan-kesan iklim meningkat, mendatangkan senario bencana yang tidak pernah berlaku sebelum ini di seluruh dunia dan penderitaan manusia serta bukan manusia. Kita mendapati diri kita berada di tengah-tengah pergolakan iklim yang mendadak, situasi ngeri yang tidak pernah ditemui dalam sejarah kewujudan manusia.”

Garis biru mewakili tahun 2023 dan garis merah mewakili tahun 2024. (Sumber: The 2024 state of the climate report)

Menurut laporan tersebut, 25 daripada 35 petanda penting planet yang dijejaki oleh ahli-ahli sains sedang berada di tahap rekod yang melampau, termasuk suhu permukaan lautan dunia, keluasan ais laut global, suhu udara permukaan dunia dan sebagainya. Kegagalan dunia untuk menyokong usaha mengurangkan penggunaan bahan api fosil secara adil dan cepat telah membawa kepada peningkatan hebat dalam kesan-kesan berkaitan iklim, seperti: kebakaran hutan di Chile yang membunuh 131 orang pada bulan Februari 2024; gelombang haba yang melampau menjejaskan sebahagian besar rantau Afrika Utara dan Sahel pada bulan Mac-April 2024; banyak tempat di Asia mengalami gelombang haba dahsyat pada bulan April-Mei 2024, dengan kira-kira 1,500 mati kerana strok haba di negara Myanmar sahaja; banjir besar di Selatan Brazil yang menjejaskan 478 buah bandar dan membunuh 173 orang pada bulan April-Mei 2024; sekurang-kurangnya 1,170 orang jemaah haji mati di Arab Saudi kerana gelombang haba yang hebat dengan suhu mencecah lebih 50°C pada bulan Jun 2024; dan banyak lagi dalam tempoh setahun yang lalu.

Perubahan iklim telah menyebabkan jutaan orang menjadi pelarian, dan mungkin akan menyebabkan ratusan juta malah bilion orang lagi kehilangan tempat tinggal, maka membawa kepada ketidakstabilan geopolitik yang lebih besar. Adalah dianggarkan bahawa pada penghujung abad ini, kira-kira satu pertiga penduduk di dunia tinggal di tempat yang iklimnya tidak sesuai untuk manusia, maka menghadapi risiko penyakit, kematian awal, kebuluran, dan pelbagai lagi kesan buruk yang lain.

“Darurat iklim bukannya satu isu yang terpencil. Pemanasan global, walaupun ia membawa malapetaka, hanyalah salah satu aspek daripada polikrisis yang mendalam yang merangkumi kemerosotan alam sekitar, ketidaksamarataan ekonomi yang meningkat dan kehilangan biodiversiti,” begitu katanya Laporan Keadaan Iklim 2024. “Perubahan iklim ilah simptom ketara kepada isu sistemik yang lebih mendalam: keterlajakan ekologi, di mana penggunaan manusia melebihi keupayaan Bumi untuk menjana semula.” Dengan tekanan semakin bertambah dan risiko sistem iklim Bumi beralih ke tahap bencana semakin meningkat, semakin banyak ahli sains mula membuat kajian tentang kemungkinan keruntuhan masyarakat. Walaupun dalam keadaan tidak berlakunya keruntuhan global, perubahan iklim masih akan mengakibatkan jutaan kematian tambahan menjelang tahun 2050.

Laporan Keadaan Iklim 2024 mencadangkan bahawa pengurangan penggunaan bahan api fosil secara cepat harus dijadikan keutamaan. “Ini mungkin boleh dicapai sebahagiannya melalui harga karbon global yang cukup tinggi yang dapat menghalang pelepasan oleh golongan kaya sementara menyediakan pendanaan kepada program mitigasi dan adaptasi iklim yang sangat diperlukan.” Selain itu, mengurangkan pelepasan metana juga penting untuk mitigasi perubahan iklim secara berkesan. Kepekatan metana dan karbon dioksida dalam atmosfera Bumi sudah berada di paras tertinggi. Metana ialah gas rumah hijau yang kuat, 80 kali lebih kuat berbanding karbon dioksida dalam tempoh 20 tahun. Pengurangan pelepasan metana secara drastik boleh melambatkan kadar pemanasan bumi untuk jangka masa pendek, membantu untuk mengelakkan titik puncak dan kesan iklim yang ekstrem.

Peristiwa-peristiwa cuaca melampau yang semakin kerap berlaku sekarang ini, sama ada kepanasan yang melampau atau hujan ribut yang luar biasa, mengingatkan kita bahawa krisis iklim itu sesuatu yang benar-benar sedang mengancam semua orang. Tindakan segera perlu diambil, bukan hanya untuk menangani kesan krisis iklim, tetapi juga untuk mengelakkan kemusnahan masyarakat kerana malapetaka iklim yang dahsyat. Ini memerlukan kesedaran rakyat dan mobilisasi massa yang berterusan untuk mendesak kerajaan di seluruh dunia supaya mengambil tindakan yang konkrit, dan bukan lagi hanya beretorik dalam persidangan antarabangsa.

Hanya tindakan tegas yang melangkaui logik kapitalis untuk perubahan yang transformatif, barulah kita dapat melindungi alam semula jadi Bumi, mengelakkan penderitaan manusia kerana bencana iklim, dan memastikan generasi masa hadapan kita dapat mewarisi sebuah dunia yang sesuai untuk terus didiami.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *