Aktivis-aktivis yang prihatin pada isu krisis iklim telah mengadakan satu aksi protes di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur pada 20 September 2024 dengan laungan seruan “negara kaya bayar hutang iklim”. Mereka yang berprotes menyeru kerajaan-kerajaan negara maju termasuk AS untuk menyumbangkan USD5 trilion setahun kepada kewangan iklim untuk negara-negara Selatan Global.

Aksi protes ini diterajui oleh Gerakan Rakyat Asia mengenai Hutang dan Pembangunan (APMDD) dan diadakan serentak di Pakistan, Bangladesh, Nepal, India, Indonesia, Filipina dan Malaysia. Mobilisasi aktivis-aktivis iklim di peringkat Asia ini merupakan sebahagian daripada Minggu Aksi Global untuk Kewangan Iklim dan Masa Hadapan Bebas Fosil (13-20 September 2024), satu siri protes selama seminggu di 58 buah negara dengan seruan kepada kerajaan-kerajaan negara maju di Utara Global untuk menghindari daripada penggunaan bahan api fosil dan membayar kepada kewangan iklim. Minggu Aksi Global ini diadakan menjelang Persidangan Kemuncak Masa Hadapan dan dan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang diadakan di Bandar New York pada 20-27 September 2024.

Turut hadir bersolidariti bersama dengan aktivis-aktivis daripada Artivist Network dalam aksi protes di hadapan Kedutaan AS di Kuala Lumpur pada 20 September 2024 ialah Suresh Kumar, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Ketua Biro Alam Sekitar, Krisis Iklim dan Orang Asli.

“Tahun 2024 merupakan tahun yang dahsyat untuk mereka yang berada di barisan hadapan krisis iklim,” kata Lidy Nacpil, penyelaras APMDD. Gelombang haba yang melampau di Asia Selatan dan Asia Tenggara pada separuh yang pertama tahun ini telah menyebabkan sekolah ditutup, pengeluaran makanan diganggu dan grid kuasa runtuh. Di selatan Pakistan, 568 orang mati dalam tempoh 6 hari kerana strok haba. Pada separuh yang kedua tahun ini, hujan monsun yang diburukkan lagi oleh perubahan iklim telah membawa hujan yang paling lebat dan banjir yang paling teruk dalam tempoh seabad kepada Bangladesh, menyebabkan jutaan orang terkandas dan tanaman yang bernilai USD282 juta dimusnahkan. Di Filipina, Jabatan Pertanian mendedahkan bahawa fenomena El Niño pada tahun ini telah mengakibatkan kerugian sebanyak 9.5 bilion peso (bersamaan RM700 juta) dan memusahkan kehidupan lebih 175,000 orang petani dan nelayan.

“Peristiwa cuaca melampau tahun ini mengingatkan kita bahawa orang yang paling terdedah di Selatan Global menanggung kesan paling teruk untuk perubahan iklim walaupun menyumbangkan paling sedikit dalam pelepasan global,” ulas Lidy Nacpil.

“AS ialah pengeluar terbesar dalam sejarah untuk gas-gas rumah hijau yang memanaskan planet, menjadikan golongan elit, syarikat korporat dan kerajaan mereka terumatanya bertanggungjawab untuk krisis iklim,” kata Amalen S., akvitis iklim Malaysia daripada Artivist Network yang mengetuai aksi protes di hadapan kedutaan AS. “AS dan negara-negara kaya lain yang mencemar alam mempunyai tanggungjawab sejarah, undang-undang dan moral untuk membiayai kos mitigasi, adaptasi, kehilangan dan kerosakan, dan memastikan peralihan yang adil di Selatan Global. Jika mereka tidak dapat menyalurkan jumlah yang mencukupi untuk kewangan iklim, ketidakadilan akan berterusan dan rakyat di Selatan Global akan paling menderita apabila suhu dunia meningkat.”

Di bawah Persidangan Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC), negara-negara maju bersetuju untuk memberikan kewangan iklim untuk membiayai kos program-program dan projek-projek iklim di negara-negara sedang membangun. Jumlah yang disasarkan untuk kewangan iklim yang harus dikumpulkan untuk Selatan Global akan menjadi agenda utama dalam Persidangan Perubahan Iklim ke-29 (COP29) yang akan diadakan pada bulan November 2024. COP29 dijangka akan menetapkan matlamat kuantitatif kolektif baharu (NCQG) untuk kewangan iklim, yang akan menggantikan matlamat USD100 bilion setahun sebelum ini, yang telah pun dikritik sebagai tidak mencukupi.

Menurut Lidy Nacpil, jumlah kewangan iklim yang mencukupi untuk negara-negara sedang membangun adalah dianggarkan sekurang-kurangnya USD5 trilion setahun. Laporan Penentuan Keperluan UNFCCC yang pertama, yang diterbitkan pada tahun 2021, menganggarkan bahawa kos mitigasi dan adaptasi akan memakan sebanyak USD5.9 trilion hingga USD11.4 trilion menjelang tahun 2030. Namun, jumlah tersebut hanya mewakili kos 26% daripada keperluan 24 buah negara, maka bermakna kos sebenar untuk mitigasi dan adaptasi adalah lebih tinggi. Jumlah tersebut juga tidak termasuk kerugian dan kerosakan ekonomi, yang dianggarkan sebanyak USD447 bilion hingga USD894 bilion setahun menjelang tahun 2030.

Pada awal tahun ini, Janet Yellen, Setiausaha Perbendaharaan AS, berkata bahawa “tidak kurang daripada USD3 trilion setiap tahun” diperlukan untuk melawan perubahan iklim, tetapi memberi pembayang bahawa jumlah ini kebanyakannya akan disalurkan melalui bank-bank pembangunan multilateral. Baru-baru ini, Bank Pembangunan Asia mengumumkan bahawa 50% daripada pinjaman tahunannya akan ditumpukan kepada kewangan iklim menjelang tahun 2030. Gerakan-gerakan masyarakat di Selatan Global menegaskan bahawa kewangan iklim seharusnya dibayar melalui geran, bukannya pinjaman yang hanya akan meningkatkan beban hutang negara-negara yang sudah pun miskin, dan geran itu harus diberikan tanpa sebarang syarat. “Menyalurkan kewangan iklim melalui pinjaman bukan sahaja melanggar prinsip tanggungjawab sejarah, ia juga amat tidak adil untuk memaksa negara-negara miskin berhutang untuk menangani perubahan iklim. Jumlah wang yang cukup adalah tidak mencukupi lagi, ia harus bersifat awam, bukannya penjanaan hutang, dibayar tanpa syarat, dan baharu serta tambahan kepada tanggungjawab kewangan negara-negara maju yang lain,” tambah Lidy Nacpil.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *