CARACAS, VENEZUELA – 18-21 APRIL 2024: Selama lebih tiga hari, golongan anak muda dari rantau Amerika, Afrika, Asia, Eropah dan Arab-Maghreb berhimpun di Venezuela bersama-sama 500 orang wakil gerakan sosial, kesatuan buruh dan parti kiri. Di situ, kami bertemu dengan matlamat untuk menentukan agenda bersama demi membina sebuah masa hadapan yang alternatif – yang menolak masa hadapan suram yang dikenakan kuasa besar pimpinan Amerika Syarikat (AS) ke atas kita – yang memihak kepada apa yang lebih berani dan cerah untuk rakyat pekerja di seluruh dunia. Dari kemuncak perhimpunan ini, kami mengisytihar perkara-perkara berikut:

Kami kini dan akan selamanya berterima kasih kepada Venezuela dan rakyatnya kerana menganjurkan perhimpunan ini, menjadi tuan rumah kepada kami, dan melayan kami seperti mereka sendiri, di tengah-tengah sekatan dan sanksi ekonomi yang sedang dihadapi oleh mereka. Revolusi Bolivar telah sekali lagi menunjukkan kepada kita bagaimana rupanya solidariti, kasih sayang dan harapan.

Kami bersetuju bahawa kuasa imperialis tidak menawarkan penyelesaian kepada masalah-masalah pada zaman kita. Bukannya melalui diplomasi, Empayar AS sebaliknya menangani isu-isunya melalui kekuasaan tentera dan kemusnahan. Bukannya bekerja menuju ke arah sebuah planet yang lestari, mereka sebaliknya terus memusnahkan ekosistem dalam usaha mengejar keuntungan dan mengorbankan golongan yang paling lemah. Namun kita sedang menyaksikan keruntuhan empayar: inisiatif dan pelaburan ketenteraan AS sedang menemui kegagalan di Ukraine dan Palestin, rantau Sahel sedang menolak kehadiran tentera AS dan Perancis, dan negara-negara di seluruh dunia sedang bangkit untuk kedaulatan yang sebenar, penentuan nasib sendiri dan laluan baharu untuk kerjasama.

Namun seperti raksasa yang cedera, imperialisme sedang melancarkan lebih banyak kekejaman terhadap massa rakyat dunia pada ketika ia bergelut untuk bertahan, dengan menggunakan lebih banyak keganasan dan penindasan. Pada ketika berbilion-bilion orang rakyat di seluruh dunia mengalami kelaparan, kita melihat empayar AS membiayai genosid yang berterusan di Palestin, mengapi-apikan konflik di seluruh dunia, dan mengenakan langkah-langah paksaan secara sehala ke atas Kuba, Venezuela dan negara-negara Selatan Global yang lain. Dalam perhimpunan kami, kami membincangkan bahaya yang dihadapi kemanusiaan dan keperluan terdesak untuk melawan ancaman imperialisme yang semakin meningkat yang sudah memecut melampaui batasan, mengekploitasi planet ini dan rakyatnya tanpa berhenti: hiper-imperialisme. Imperialisme merupakan musuh tunggal kepada kelas pekerja di mana-mana. Imperialis adalah sedikit tetapi berkuasa, kita adalah ramai tetapi berselerak. Ia akan hanya melalui hiper-solidariti dalam bentuk projek internasionalis bersatu barulah kita dapat menumpaskan musuh ini.

Perhimpunan ini merupakan permulaan bagi membangunkan sebuah rancangan untuk projek minimum bersama menentang hiper-imperialisme. Kami mengesahkan dan memberi komitmen kepada rancangan ini untuk sebuah agenda sosial alternatif bagi dunia yang merangkumi cadangan-cadangan dan tuntutan-tuntutan konkrit mengenai demokrasi dan susunan dunia. Kami menuntut keadilan untuk alam sekitar, struktur baharu untuk kewangan dan hutang, dan penambahbaikan dalam kesihatan, perumahan, makanan, pendidikan, pekerjaan, penjagaan sosial, hak bagi wanita dan golongan LGBTQ+, kebudayaan, dan dunia digital – semuanya disusun semula demi kebaikan rakyat dan solidariti. Secara khususnya, kami melihat anak muda sebagai sebahagian yang penting dalam projek ini, membawa perspektif unik yang membina daripada pengajaran perjuangan lampau. Kita boleh dan akan bermobilisasi dengan agenda ini yang menentang nihilisme dan sifat berputus asa yang dihadapi oleh begitu ramai orang muda.

Sebagai anak muda yang anti-imperialis, kita harus berjuang untuk masa sekarang dan masa hadapan, untuk planet dan kemanusiaan. Kita akan menggunakan segala alat yang kita ada untuk memajukan sosialisme dan untuk menewaskan imperialisme. Dengan menggunakan pendidikan politik, kesenian dan kebudayaan revolusioner, serta mobilisasi massa, kita akan membawa lebih banyak anak muda ke dalam gerakan massa global untuk menentang imperialisme dan membina perpaduan berdasarkan agenda sosial alternatif yang dibangunkan pada masa ini di Caracas. Melalui tindakan dan penyampaian mesej yang terselaras, anak muda di setiap bahagian dunia akan terlibat dalam perjuangan secara bersama.

Marilah kita melaksanakan tanggungjawab bersejarah kita untuk menamatkan imperialisme dalam hidup kita.

Kita ada sebuah dunia untuk dimenangi!

==========

Diterjemah daripada tulisan asal dalam Bahasa Inggeris.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *