oleh Gandipan Nantha Gopalan

Komuniti rumah panjang di PJS 1, Petang Jaya Selangor, telah berpindah dari kawasan setinggan ke kawasan rumah panjang pada tahun 2000 dari Kampung Muniandy, Kampung Pinang dan Kampung Petaling Tin. Ini merupakan penempatan rumah panjang yang ketiga dipindahkan oleh Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Bandaraya Petang Jaya (MBPJ) dan pemaju. Komuniti yang tinggal hari ini adalah pemilik Blok E, PJS 1 yang belum memasuki blok tersebut.

Dalam satu perjumpaan pada tahun 2018, MBPJ telah memberitahu bahawa komuniti ini boleh tinggal di rumah panjang tersebut sehingga rumah kos rendah siap dibina. Segala penyelenggaraan di rumah panjang tersebut akan dibiayai dan ditanggung oleh MBPJ. Komuniti tersebut juga diberitahu bahawa mereka boleh tinggal di sini secara percuma.

Komuniti rumah panjang di sini sedang mengalami isu banjir selama beberapa tahun. Setiap kali hujan berlaku, pam perlu dihidupkan oleh kakitangan yang dipertanggungjawabkan oleh MBPJ. Pam ini sepatutnya mengubah aliran air ke saluran yang sesuai untuk menghindari banjir. Tetapi ia tidak berlaku dan tidak efektif. Kalau ada kelewatan atau kegagalan dalam seorang kakitangan datang untuk menghidupkan pam air, rumah penduduk di sini akan dinaiki air. Penghuni rumah panjang pula terpaksa menghubungi Pejabat Ahli Majlis setiap kali hujan dan respon Ahli Majlis semakin hari semakin membimbangkan.

Tekanan air juga sangat kurang dan tidak sesuai untuk kegunaan harian. Selain itu, tidak ada lampu di sekitar kawasan rumah panjang ini. Hal ini menyebabkan risiko keselamatan yang serius. Disebabkan tidak ada lampu, kawasan ini juga telah dijadikan kawasan untuk membuang sampah. Secara tuntas, kawasan rumah panjang tersebut berada dalam satu keadaan yang daif dan ia memerlukan perhatian yang segera.

Sejak sekitar tahun 2020, MBPJ gagal untuk mengambil tindakan yang sewajarnya walaupun isu ini telah dibawa oleh Jawatankuasa Bertindak RKR Blok E, PJS 1. Jawatankuasa ini telah membawa isu ini kepada perhatian Ahli Majlis, ADUN dan juga Ahli Parlimen berkali-kali. Jawatankuasa diberitahu bahawa isu ini telah dibawa kepada perhatian Datuk Bandar dan Jabatan berkaitan, tetapi tidak ada tindakan susulan yang diambil.

Selepas berlakunya banjir banyak kali, rumah panjang penghuni dinaiki air dan penduduk mengalami kerugian akibat kerosakan alat perkakas dan keperluan rumah. Penduduk rumah panjang telah dijanjikan pada sekitar akhir tahun 2023 oleh Ahli Majlis bahawa mereka akan diberi bantuan kewangan bencana. Namun, sekarang ini sudah sampai penghujung bulan April 2024, rumah telah dinaiki air beberapa kali, sehingga hari ini penduduk rumah panjang masih tidak menerima bantuan kewangan yang dijanjikan tersebut.

==========

Gandipan Nantha Gopalan ialah Penyelaras PSM Cawangan Petaling Jaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *