Laporan terbaru yang diterbit oleh oleh Oxfam, sebuah badan bukan kerajaan yang memberi tumpuan kepada pembasmian kemiskinan dunia, mendedahkan bahawa golongan terkaya 1% di dunia melepaskan lebih banyak karbon ke dalam atmosfera bumi berbanding rakyat termiskin 66% di dunia, dengan pelepasan karbon itu membawa kesan-kesan yang buruk kepada komuniti-komuniti yang miskin dan menjejaskan usaha untuk menangani kecemasan iklim sedunia.

“Dunia sedang menghadapi krisis berkembar kerosakan iklim dan ketidaksamarataan yang tidak terkawal. Orang-orang, syarikat-syarikat korporat dan negara-negara yang paling kaya sedang memusnahkan dunia dengan pelepasan karbon mereka yang besar. Sementara itu, orang-orang yang hidup dalam kemiskinan, mereka yang mengalami peminggiran dan negara-negara di Selatan Global merupakan mereka yang paling terjejas. Golongan wanita dan kanak-kanak perempuan, orang asal, orang yang hidup dalam kemiskinan dan kumpulan-kumpulan lain yang mengalami diskriminasi berada pada kedudukan yang merugikan. Akibat-akibat kerosakan iklim sedang dirasai di semua bahagian di dunia dan oleh kebanyakan orang, tetapi hanya golongan orang dan negara yang terkaya mempunyai kekayaan, kuasa dan pengaruh untuk melindungi diri mereka. Dengan kuasa itu datangnya tanggungjawab yang besar,” begini katanya laporan terbaru yang diterbitkan oleh Oxfam. “Jika tiadanya tindakan diambil, golongan terkaya akan terus membakar karbon yang kita tinggalkan untuk digunakan sambil mengekalkan suhu dunia di bawah had selamat 1.5°C, menghancurkan sebarang peluang untuk menamatkan kemiskinan dan memastikan kesamarataan. Dunia perlukan sebuah transformasi yang sama rata. Hanya pengurangan yang radikal dalam ketidaksamarataan, tindakan iklim yang transformatif dan secara asasnya mengalihkan matlamat ekonomi kita sebagai sebuah masyarakat dapat menyelamatkan planet kita sementara memastikan kesejahteraan untuk semua.”

“Golongan terkaya 1% dalam kalangan penduduk dunia bertanggungjawab terhadap pencemaran karbon yang sebanyak berbanding orang yang membentuk dua pertiga umat manusia yang termiskin. Mereka telah mencuri sumber-sumber planet kita untuk memacu gaya hidup mewah mereka. Satu perjalanan jet peribadi yang dekat akan mengeluarkan lebih banyak karbon berbanding apa yang dilepaskan oleh orang biasa sepanjang tahun. Mereka mengorbankan kita di atas mazbah ketamakan mereka,” kata Greta Thunberg, seorang aktivis iklim dari Sweden yang terkenal dengan aktivismenya mencabar pemimpin-pemimpin dunia untuk mengambil tindakan segera dalam menangani krisis iklim. “Laporan ini mendedahkan realiti yang tidak dapat disangkal: mereka yang telah melakukan paling sedikit untuk menyebabkan krisis iklim merupakan mereka yang menderita paling teruk. Dan mereka yang melakukan paling banyak berkemungkinan besar akan menderita paling sedikit.”

“Kita harus mendidik diri kita tentang punca-punca krisis ini. Kita harus melakukan perubahan fundamental terhadap cara masyarakat kita beroperasi. Kita harus berhenti mengejar pertumbuhan yang tidak terbatas di planet yang terbatas. Kita harus memastikan bahawa mereka yang mempunyai tanggungjawab yang lebih besar itu membayar harga tertinggi. Dan kita harus bergerak menuju ke arah transformasi yang sama rata bagi masyarakat kita, yang mengutamakan planet dan seluruh umat manusia,” tegas kata Greta Thunberg.

Analisis Oxfam dalam laporannya yang bertajuk “Kesamarataan Iklim: Sebuah planet untuk 99%” (Climate Equality: A planet for the 99%) mendedahkan fakta-fakta penting mengenai ketidakadilan iklim seperti berikut:

  • Pada tahun 2019, golongan mahakaya 1% bertanggungjawab terhadap 16% pelepasan karbon sedunia, di mana ia sama dengan pelepasan pendudukan dunia termiskin 66% (5 bilion orang).
  • Sejak tahun 1990-an, golongan mahakaya 1% membakar sebanyak dua kali ganda peruntukan karbon berbanding separuh rakyat dunia termiskin yang digabungkan.
  • Pelepasan karbon golongan terkaya 1% dijangka akan mencecah lebih 22 kali ganda lebih besar daripada had selamat (pelepasan karbon yang dibenarkan jika kita hendak kekalkan pemanasan global di bawah 1.5°C ) pada tahun 2030.
  • Pelepasan global setahun oleh golongan mahakaya 1% membatalkan penjimatan karbon daripada hampir sejuta buah turbin angin darat.
  • Pelepasan karbon oleh golongan mahakaya 1% pada tahun 2019 adalah mencukupi untuk menyebabkan kematian 1.3 juta orang akibat kepanasan.
  • Cukai 60% ke atas pendapatan golongan mahakaya 1% di seluruh dunia akan mengurangkan karbon yang setara dengan lebih daripada jumlah pelepasan negara UK dan mengumpul USD 6.4 trilion untuk membiayai tenaga boleh diperbaharui dan peralihan keluar daripada bahan api fosil.
(grafik: Oxfam)

Laporan Oxfam juga mendapati bahawa seseorang yang berada dalam golongan 99% terbawah akan mengambil masa kira-kira 1,500 tahun untuk mengeluarkan karbon yang sama banyak dengan apa yang dikeluarkan oleh golongan bilionair terkaya dalam tempoh setahun.

Realiti dunia yang amat tidak adil pada hari ini adalah negara-negara dan golongan kaya yang mendorong krisis iklim kerana gaya hidup mewah mereka, tetapi negara-negara berpendapatan rendah, golongan yang miskin dan kumpulan-kumpulan masyarakat terpinggir yang menanggung sebahagian besarnya kesan buruk krisis iklim.

Golongan mahakaya boleh melakukan lebih banyak perkara untuk melindungi diri mereka daripada perubahan iklim. Mereka cenderung untuk tinggal di dalam perumahan yang lebih selamat, di atas tanah yang kurang terdedah kepada banjir atau bencana alam lain, dengan alat penyaman udara di mana pelepasan karbon dioksida mereka mencecah 5.9 bilion tan pada tahun 2019. Mereka juga selalunya dapat bergantung pada simpanan atau insurans mereka untuk membina semula sebarang kerosakan yang timbul. Sementara itu, golongan yang miskin dan kumpulan-kumpulan masyarakat terpinggir yang lain cenderung untuk tinggal di dalam perumahan yang lebih teruk, di mana selalunya sesak, lebih terdedah kepada banjir dan tiadanya akses kepada penyaman udara. Gelombang haba, banjir dan kemarau yang berulang dialami sangat berbeza dalam senario yang berbeza ini. Bencana berkaitan iklim yang berulang juga terus menghakis keupayaan mereka untuk mengatasi kesan bencana dan membina semula kehidupan mereka.

Pengiraan oleh para penyelidik menunjukkan bahawa negara-negara yang terkaya telah melepaskan karbon yang berlebihan sehingga berhutang sebanyak USD 192 trilion sebagai pampasan kepada negara-negara di Selatan Global yang melepaskan karbon pada kadar yang jauh lebih rendah. Negara-negara kaya, syarikat-syarikat korporat besar dan golongan mahakaya harus membayar kos kerosakan iklim. Golongan terkaya bukan sahaja mempunyai keupayaan untuk membayar, malah mereka juga mempunyai tanggungjawab untuk membayar pampasan terhadap pelepasan karbon bersejarah mereka dan amalan neo-kolonial mereka yang berterusan yang mengancam masa hadapan kehidupan di Bumi. Masalahnya bukan kekurangan wang, sebaliknya adalah terlalu banyak wang dalam tangan segelintir kecil orang.

Menurut Oxfam, terdapat 3 jenis cukai yang secara bersama-sama boleh mengumpulkan lebih USD 9 trilion untuk membina sebuah dunia yang hijau dan sama rata:

  • Cukai kekayaan – USD 1.7 trilion setahun: cukai kekayaan terhadap golongan jutawan dan bilionair di dunia boleh menjana lebih USD 1.7 trilion setahun. Cukai kekayaan punitif tambah nilai ke atas pelaburan dalam aktiviti-aktiviti yang mencemar alam boleh mengumpul sekurang-kurangnya USD 100 bilion tambahan setahun.
  • Cukai pendapatan teratas – USD 6.4 trilion setahun: Cukai pendapatan pada kadar 60% terhadap golongan berpendapatan tertinggi 1% akan menjana USD 6.4 trilion.
  • Cukai Keuntungan Durian Runtuh – USD 941 bilion: Cukai pada kadar 50-90% terhadap keuntungan durian runtuh daripada 722 buah syarikat korporat gergasi di dunia boleh menjana sebanyak USD 941 bilion.

Laporan Oxfam menggesa kerajaan-kerajaan di dunia untuk menetapkan matlamat yang bercita-cita tinggi, melalui tindakan yang dinamik dan bercita-cita tinggi, yang meletakkan 99% rakyat di kerusi pemandu ekonomi untuk mencapai 3 perkara:

  1. Peningkatan yang radikal dalam kesamarataan: Kerajaan-kerajaan harus melaksanakan dasar-dasar untuk mengurangkan jurang antara golongan yang terkaya dan semua yang lain secara ketara. Hanya dengan mengurangkan ketidaksamarataan secara radikal, barulah kita dapat mewujudkan kehidupan yang baik untuk seluruh umat manusia sementara melindungi dan memelihara planet kita. Mengurangkan pendapatan dan kekayaan golongan terkaya akan mengurangkan pelepasan karbon. Masyarakat yang lebih sama rata adalah lebih mampu menguruskan risiko dan kesan cuaca yang melampau secara berkesan dan adil. Masyarakat yang lebih sama rata secara ekonomi adalah penting untuk menghadapi ketidaksamarataan seperti gender, kaum dan kasta. Mereka boleh mendapatkan konsensus politik yang diperlukan untuk peralihan yang cepat dan berkekalan daripada bahan api fosil dan penggunaan berlebihan oleh segelintir kecil orang untuk sebuah kehidupan yang lebih baik untuk semua.
  2. Peralihan yang cepat dan adil daripada bahan api fosil: Kita harus mempunyai satu peralihan yang cepat dan adil daripada bahan api fosil, menghapuskan penggunaannya di negara-negara kaya dengan dengan kadar yang paling pantas dan lebih lanjut. Kita harus melaksanakan gelombang percukaian baharu ke atas syarikat-syarikat korporat dan golongan bilionair yang memperoleh keuntungan daripada menjarah dunia kita. Bertrilion-trilion dolar daripada cukai-cukai baharu ini akan dapat dilaburkan dalam perkhidmatan awam, teknologi dan barangan yang direka bentuk untuk dan oleh golongan 99%, dengan tumpuan diberikan terutamanya kepada golongan wanita dan kanak-kanak perempuan, serta kumpulan-kumpulan masyarakat lain yang paling terkesan. Tindakan-tindakan ini akan dengan cepatnya membina sebuah dunia yang lebih adil dan lebih hijau, termasuk peruntukan untuk tenaga boleh diperbaharui yang sejagat dan boleh diakses, perumahan selamat yang cekap tenaga, kereta api berkelajuan tinggi dan pengangkutan awam lain, perlindungan untuk semua terhadap cuaca melampau, serta sokongan untuk kerugian dan kerosakan yang sudah  terjadi.
  3. Sebuah matlamat baharu untuk sebuah zaman baharu: Sistem ekonomi pada masa ini, yang menjurus ke arah mengumpulkan kekayaan yang lebih besar bagi mereka yang sudah kaya, sedang membawa kita ke arah jurang yang amat berbahaya. Ia merupakan sistem ekonomi yang rasis dan seksis, dibina atas eksploitasi terhadap rakyat dan sumber alam. Tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi apa jua bentuk dan pengekstrakan yang tidak berkesudahan serta penggunaan berlebihan tanpa mempedulikan kesannya harus berakhir. Rakyat harus menguasai semula nasib mereka dan kerajaan yang dipilih secara demokratik, bukannya syarikat korporat, dan harus membentuk ekonomi kita. Ekonomi kita harus direka bentuk semula secara bertujuan dan dibayangkan semula dengan fokus utama pada matlamat berkembar untuk perkembangan manusia dan planet.

**********

Baca selanjutnya laporan Oxfam di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *