(gambar arkib)

oleh Arveent Kathirtchelvan

Gaji minimum merupakan salah satu isu yang diperjuangkan oleh golongan kiri sejak dahulu lagi. Jika kita melihat pada tuntutan yang dikemukakan oleh golongan kesatuan merah di bawah Persekutuan Kesatuan Sekerja Pan-Malaya (PMFTU), mereka juga menuntut untuk gaji minimum dijamin pada tahun 1940-an.

Bagi Parti Sosialis Malaysia (PSM) pula, perjuangan gaji bermula dengan perjuangan Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML) yang menuntut supaya gaji bulanan diberikan kepada pekerja ladang yang pada masa itu hanya dibayar gaji harian. Kempen gaji bulanan sebanyak RM750 sebulan untuk pekerja ladang telah dimulakan di Ladang Bukit Rajah Klang pada 1 Mei 1996.

Pada masa itu, satu kempen nasional diadakan untuk menuntut gaji minimum sebanyak RM750 sebulan bagi penoreh getah dan pekerja ladang kelapa sawit. Sebelum itu, gaji pekerja adalah tidak tetap, dari RM200 pada musim daun gugur ke RM900 pada musim keluaran susu getah banyak. Ini juga bergantung kepada cuaca. Hasil daripada kempen ini, Samy Vellu dan Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia pada masa itu, mengumumkan gaji bulanan asas RM325, dan jumlah gaji penuh pekerja ladang menjadi RM325 ditambah dengan bayaran mengikut keluaran getah/kelapa sawit berdasarkan harga komoditi di pasaran dunia.

Selepas kejayaan ini, PSM beralih fokus kepada pelaksanaan gaji minimum merangkumi semua sektor, bermula dari tahun 2002. Pada masa itu, tiada konsep gaji minimum di Malaysia, ada pekerja yang menerima hanya RM400 sebagai gaji bulanan. Kempen yang dibawa oleh Gabungan Pekerja Kilang dan Kesatuan Sekerja (GPKK) menuntut gaji minimum RM900 sebulan pada masa itu. Tuntutan gaji minimum RM900 ini dikemukakan setelah perbincangan dengan pelbagai pihak pekerja di seluruh negara. Satu kempen tandatangan besar-besaran diadakan di peringkat nasional dan negeri serta satu perhimpunan bersama 1,500 orang pekerja diadakan di hadapan Parlimen Malaysia.

Hasil daripada kempen selama 9 tahun, Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 diwujudkan. Majlis Perundingan Gaji Negara dipertanggungjawabkan untuk mengkaji semula Perintah Gaji Minimum sekali setiap 2 tahun dan menasihati kerajaan tentangnya. Perintah Gaji Minimum yang pertama sepatutnya mula dilaksanakan dari bulan Julai 2012, tetapi pelaksanaan gaji minimum tersebut ditangguhkan ke 1 Januari 2013. Gaji minimum pertama se-Malaysia ialah RM900 untuk Semenanjung Malaysia dan RM800 untuk Sabah dan Sarawak pada 1 Januari 2013. Akan tetapi, terdapat beberapa kelonggaran untuk sesetengah majikan sehingga 1 Januari 2014.

Perintah Gaji Minimum yang seterusnya dilaksanakan pada tahun 2016, dengan peningkatan gaji minimum ke RM1,000 di Semenanjung Malaysia dan RM920 di Sabah dan Sarawak dari 1 Julai 2016. Perintah Gaji Minimum yang berikutnya berkuatkuasa mulai bulan Januari 2019 dengan menyelaraskan gaji minimum supaya sama di seluruh Malaysia, iaitu RM1,050 sebulan. Peningkatan yang kecil ini dibantah oleh pihak PSM, kesatuan-kesatuan sekerja dan NGO-NGO lain melalui Gabungan Bantah RM1050 yang berjaya meningkatkan gaji minimum kepada RM1,100 melalui kempen dan forum yang diadakan dari Pilihan Raya Kecil Port Dickson 2018 sampai satu aksi protes besar di hadapan Parlimen. Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) di bawah pimpinan saudara J. Solomon memainkan peranan yang amat penting dalam gerakan ini.

Seterusnya, pada bulan Februari 2020, gaji minimum ditingkatkan kepada RM1,200 hanya di 57 buah bandar utama, manakala RM1,100 kekal sebagai kadar gaji minimum di tempat lain. Peningkatan gaji minimum yang terbaharu adalah pada bulan Mei 2022, iaitu peningkatan kepada RM1,500, dengan penangguhan diberi kepada majikan yang menggaji kurang daripada 5 orang pekerja sehingga bulan Januari 2023 (yang kini pula ditangguhkan lagi kepada 1 Julai 2023).

Sejarah ini jelas tidak adil kepada golongan pekerja disebabkan peningkatan gaji minimum yang tidak konsisten. Sepatutnya, gaji minimum mula dilaksanakan dari 1 Julai 2012, tetapi hanya dilaksanakan secara sepenuhnya pada 1 Januari 2014 (penangguhan 18 bulan). Peningkatan gaji minimum pertama sepatutnya dilaksanakan pada 1 Julai 2014, tetapi tertangguh ke 1 Julai 2016 (penangguhan 24 bulan). Perintah Gaji Minimum yang ketiga sepatutnya dilaksanakan pada 1 Julai 2016 (tetapi tertangguh 30 bulan ke 1 Januari 2019), yang keempat pula dilaksanakan pada 1 Julai 2018 (tertangguh 19 bulan ke 1 Februari 2020 hanya untuk 57 bandar utama), yang kelima patut dilaksanakan pada 1 Julai 2020 (tertangguh 22 bulan ke 1 Mei 2022 dengan beberapa penangguhan ke 1 Julai 2023) dan yang keenam dilaksanakan pada 1 Julai 2022 (belum dilaksanakan). Rujuk Jadual 1.

Jadual 1: Perincian pelaksanaan Gaji Minimum

Tarikh peningkatan
gaji minimum sepatutnya
Tarikh peningkatan
gaji minimum sebenar
Kadar gaji minimum (RM)Jumlah bulan
yang tertangguh
01 Julai 201201 Januari 201490018
01 Julai 201401 Julai 2016 1,00024
01 Julai 201601 Januari 2019 1,10030
01 Julai 201801 Februari 2020 1,20019
01 Julai 202001 Mei 20221,50022
01 Julai 2022N/A1,800N/A

Semua penangguhan ini jelas menindas pekerja, malah gaji minimum sebanyak RM1,800 sepatutnya dapat dicapai pada tahun ini, tetapi tidak berlaku kerana satu peningkatan gaji minimum terlepas. Kadar ini lebih tinggi daripada janji Pakatan Harapan dan Barisan Nasional yang ingin meningkatkannya kepada RM1,500. Dengan andaian jumlah gaji minimum yang sama untuk setiap peningkatan, dari bulan Januari 2014, setiap pekerja yang bergaji minimum telah hilang sebanyak RM13,900 disebabkan penangguhan ini. Jika kita mengambil kira tempoh bulan Julai 2012 hingga Januari 2014 dengan andaian gaji terendah adalah RM750 sebelum pelaksanaan gaji minimum 2014 serta gaji minimum ditingkatkan ke RM1,800 pada 1 Julai 2022 seperti yang sepatutnya, jumlah gaji yang hilang ini adalah RM18,400. Perincian ini dapat dilihat dalam Jadual 2.

Jadual 2: Perincian gaji hilang untuk pekerja yang mendapat gaji minimum

TempohGaji minimum sepatutnya (RM)Gaji minimum sebenar (RM)Jumlah bulanGaji hilang (RM)
1 Jul 2012 – 1 Jan 2014900 75018 2,700
1 Jan 2014 – 1 Jul 20149009006 –
1 Jul 2014 – 1 Jul 20161,000900242,400
1 Jul 2016 – 1 Jul 2018 1,100 1,00024 2,400
1 Jul 2018 – 1 Jan 2019 1,200 1,0006 1,200
1 Jan 2019 – 1 Feb 20201,200 1,10013 1,300
1 Feb 2020 – 1 Jul 20201,2001,2005
1 Jul 2020 – 1 Mei 2022 1,5001,200226,600
1 Mei 2022 – 1 Jul 2022 1,5001,5002–  
1 Jul 2022 – 1 Jan 2023 1,8001,50061,800
Jumlah keseluruhan gaji hilang18,400

Dengan memahami isu ini, kita semua kena bertanya, adakah penangguhan terbaharu yang diumumkan oleh Menteri Sumber Manusia “Kerajaan Perpaduan” ini dapat dianggap adil? Sebagai sebuah kerajaan yang memberi komitmen bahawa akan membela warga B40 sepertimana yang dikata oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, adakah setiap pekerja bergaji minimum akan mendapat balik gaji yang hilang ini? Sudah tiba masanya gaji minimum dilaksanakan secara adil. Malah, gaji minimum itu sahaja tidak mencukupi. Kerajaan Malaysia mesti beralih kepada gaji sara hidup (living wage) yang berjumlah RM2,700 sebulan untuk seorang individu bujang di Kuala Lumpur sepertimana menurut Bank Negara pada tahun 2018.

==========

Arveent Kathirtchelvan ialah Ketua Pemuda Sosialis PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *