oleh Suresh Balasubramaniam
Banjir Lumpur di Kampung Raja, Cameron Highlands pada bulan Disember 2022
Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan satu lagi insiden banjir lumpur di Kampung Raja, Cameron Highlands, pada 20 Disember 2022. Walaupun tiada kehilangan nyawa, tetapi ini bukanlah kali pertama Cameron Highlands dilanda banjir atau banjir lumpur. Banjir besar pertama di Cameron Highlands berlaku akibat pelepasan air dari Empangan Sultan Abu Bakar pada bulan Oktober 2013. Ini kemudian diikuti dengan banjir besar di beberapa tempat selepas hujan lebat pada bulan November 2014. Selepas itu, insiden banjir di Cameron Highlands kerap berlaku setiap kali hujan lebat.
Iklim di bumi sedang berubah dan tidak lagi mengikut trajektori seperti yang diramalkan akibat pembebasan melampau gas rumah hijau, seperti karbon dioksida (CO2) dan metana (CH4). Perkara ini diketahui lebih sedekad lalu dan oleh sebab itu tidak munasabah untuk menyalahkan perubahan cuaca sahaja dalam insiden sebegini.
ADUN Tanah Rata, Ho Chi Yang, telah menyalahkan penolakan tanah untuk pertanian di puncak sebuah bukit bersebelahan sebagai punca banjir lumpur kali ini. Jika apa yang disebutkan oleh Ho Chi Yang adalah tidak betul, mengapakah tiada kenyataan balas atau penafian daripada Kerajaan Negeri Pahang sehingga ke hari ini? Atau adakah penolakan tanah ini telah pun mendapat kelulusan?
Isu pemberian hak milik tanah pertanian di Cameron Highlands masih tidak telus. Siapakah pemilik tanah yang diberikan hak milik untuk isu di atas? Apakah keluasan tanah yang diberikan hak milik? Adakah pemilik tanah tersebut mempunyai kelulusan untuk menolak tanah? Di mana laporan penilaian alam sekitar (EIA) dan penilaian alam sekitar terperinci (DEIA)? Mengapakah Kerajaan Negeri Pahang masih berahsia?
Langkah-langkah kosmetik di Cameron Highlands
Selepas banjir tahun 2014, beberapa langkah-langkah kosmetik telah dibuat oleh Kerajaan Negeri Pahang yang seolah-olah reformasi dalam isu pemberian hak milik dan penerokaan tanah di Cameron Highlands. Antaranya:
- Penubuhan Jawatankuasa Khas Mengenai Banjir Kilat di Cameron Highlands pada tahun 2015 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri;
- Pengasingan jawatan Pegawai Daerah Cameron dan Yang Di-Pertua (YDP) Majlis Daerah Cameron Highlands pada tahun 2016;
- Penukaran pemberian Lesen Pendudukan Sementara (TOL) yang melibatkan 5,519 hektar daripada Kerajaan Pahang kepada Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Pahang pada tahun 2019. Penyewa tanah PSK mesti memiliki Sijil Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) yang dikeluarkan Jabatan Pertanian;
- Penubuhan Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH) pada tahun 2019 yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Pahang sebagai badan yang memastikan pembangunan mampan di Cameron Highlands;
- Pembentukan satu pasukan pemantau khas yang dianggotai oleh pelbagai jabatan kerajaan dan diketuai oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang (cadangan oleh Menteri Alam Sekitar pada 10 Januari 2023).
Walaupun semua usaha di atas nampak seperti menuju ke arah mewujudkan kemampanan di Cameron Highlands, namun pada hakikatnya adalah tidak. Isu akar seperti ketelusan pemberian hak milik tanah pertanian di Cameron Highlands masih tidak selesai. Bagaimanakah PSK dan PKCH boleh membawa perubahan sedangkan ia dianggotai oleh kumpulan elit yang sama yang pada masa ini tidak dapat menyelesaikan masalah alam sekitar di Cameron Highlands?
Bagaimana syarikat pemaju komersial dan kebun sayur mega masih boleh membuat projek dan meneroka hutan untuk keuntungan besar? Kenapakah pekebun-pekebun kecil seperti mereka di Kuala Terla dimangsakan pada tahun 2019 ketika perobohan kebun di sekitar Sungai Ichat?
Ketika Lesen Pendudukan Sementara (TOL) masih dikeluarkan kepada petani Cameron Highlands, ia perlu melalui persetujuan hampir 15 buah jabatan kerajaan sebelum mana-mana lesen diluluskan. Adakah dengan memperbanyakkan penapisan dan pantauan (proses birokrat) oleh jabatan-jabatan kerajaan akan mengurangkan penerokaan hutan di Cameron Highlands?
Banjir di Lembah Bertam dan Ringlet telah berkurangan selepas pembesaran aliran longkang/sungai (projek penebatan banjir) oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada tahun 2014 sehingga 2017. Walaupun projek tebatan banjir ini adalah baik untuk penduduk setempat, namun pada hakikatnya, kita harus akui bahawa projek ini hanya menangani simptom dan tidak menyelesaikan punca masalah.
Alam sekitar Cameron Highlands tenat
Alam sekitar Cameron Highlands berada dalam keadaan tenat. Penerokaan hutan tanpa kawalan diakui sendiri oleh Kerajaan Pahang melalui Draf Rancangan Tempatan Cameron Highlands (DRTCH) 2030. Keluasan kawasan pertanian dalam DRTCH 1998-2010 hanya 1001 hektar manakala dalam DRTCH 2030 ialah 6,341 hektar. Penambahan lebih 5,000 hektar dalam tempoh 17 tahun!
Ini tidak termasuk 6,000 hektar lagi yang diteroka tanpa lesen (Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar – Majlis Keselamatan Negara, 2014). Pada keseluruhan, penambahan hampir 10 kali ganda tanah pertanian dalam tempoh masa 17 tahun adalah untuk menjana keuntungan melampau oleh pihak tertentu.
Melalui DRTCH juga, kita ketahui bahawa pembangunan tanah sehingga tahun 2030 ditumpukan kepada pembangunan komersial (83%). Pembangunan untuk perumahan yang merupakan kehendak penting rakyat hanya 22% dan struktur awam pula 4%. Ini adalah pembangunan yang tidak seimbang untuk menjadikan Cameron Highlands sebuah pusat komersial.
50% Tasik Ringlet (Empangan Hidroelektrik Sultan Abu Bakar) masih dipenuhi dengan lanar (silt) dan Tenaga Nasional Berhad membelanjakan RM40 juta setiap tahun untuk mengeluarkan kelodak ini (Utusan Online – 1 Oktober 2016). Lanar ini ialah tanah di atas permukaan selepas hutan digondol dan hanyut bersama air hujan ke dalam sungai.
Cadangan PSM Cameron Highlands
Kerajaan Negeri Pahang perlu mengisytihar “Darurat Ekologi” (eco-emergency) di Cameron Highlands. Semua pembukaan hutan, penolakan tanah dan pembinaan struktur komersial atau kerajaan yang baharu harus diberhentikan untuk dikaji semula. Kajian semula ini perlu dibuat oleh satu jawatankuasa bebas yang dianggotai oleh wakil jabatan kerajaan, NGO alam sekitar, organisasi penduduk Cameron Highlands, Orang Asli dan parti politik. Keputusan jawatankuasa ini harus diumumkan kepada pengetahuan rakyat dan tidak boleh diubah oleh mana-mana pihak.
Bukan itu sahaja, kuasa yang terlalu banyak telah diperuntukkan kepada Menteri Besar Pahang dan Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands pada masa kini. Kuasa mutlak ini harus “dicairkan”. Setiap keputusan pemberian ha kmilik tanah di Cameron Highlands perlu diterbitkan untuk disemak dan dibantah oleh masyarakat umum sebelum diwartakan.
Dengan pertukaran kerajaan di negeri Pahang, adalah wajar untuk memulakan perbincangan supaya mewujudkan semula pilihan raya kerajaan tempatan bagi memilih Ahli-ahli Majlis. Majlis Daerah Cameron Highlands boleh menjadi tempat permulaan. Ahli Majlis buat masa sekarang dipilih daripada parti pemerintah. Cameron Highlands memerlukan Ahli Majlis yang bebas, tidak berkepentingan diri, telus, mesra alam sekitar dan pro-rakyat.
Petani harus dipertanggungjawabkan dengan tanah yang dimiliki mereka. Kerajaan Negeri Pahang harus menukar hak milik sementara tanah pertanian kepada hak milik kekal supaya petani akan lebih bertanggungjawab terhadap kegiatan pertanian mereka. Sistem pendidikan berserta pemantauan efektif perlu dibuat serentak untuk memastikan sikap petani itu berubah.
PSM Cameron Highlands berpendapat bahawa selagi perubahan sebenar dalam pemberian hak milik tanah di Cameron Highlands tidak berlaku, selagi itu Cameron Highlands akan terus menampakkan kesan-kesan buruk akibat pembangunan yang tidak mampan dan perubahan cuaca.
==========
Suresh Balasubramaniam ialah aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) Cameron Highlands.