oleh Sivarajan Arumugam
Pada tahun 2018, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada masa itu, Zuraida Kamaruddin, pernah melaporkan bahawa nilai rumah yang tidak dijual dijangkakan bernilai RM22.5 billion! Kenapakah wujudnya senario sedemikian apabila keperluan rumah masih kritikal dalam kalangan rakyat Malaysia? Jika masih ramai lagi rakyat daripada golongan berpendapatan rendah B40 dan sederhana M40 belum lagi memiliki rumah, maka kenapa pula stok perumahan yang belum dijual masih tinggi?
Rumah yang dikategorikan sebagai “Mampu Milik” ini sebenarnya tidak mampu dimiliki oleh golongan rakyat majoriti. Kemampuan memiliki rumah biasanya dianggarkan dengan kiraan bahawa seseorang yang berpendapatan RM2,000 hanya mampu memiliki rumah yang berharga 3 kali ganda jumlah pendapatan tahunannya, iaitu RM2,000 x12 x 3, bersamaan RM72,000.
Oleh itu, apakah rasionalnya menetapkan harga rumah mampu milik dalam lingkungan harga RM250,000 sehingga RM500,000? Mengikut kajian pendapatan rakyat Malaysia, Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, melaporkan bahawa nilai penengah (median) gaji dan upah bulanan pada tahun 2017 ialah RM2,160, manakala purata gaji dan upah bulanan ialah RM2,880. Jika dikira purata gaji RM2,880 sebulan, harga rumah yang mampu milik ialah RM2,880 x 12 x 3, bersamaan RM103,680. Dilaporkan juga bahawa bilangan pekerja yang menerima gaji ini ialah seramai 8.6 juta orang, iaitu 57.3% daripada jumlah tenaga kerja 15 juta orang pekerja di seluruh negara.
Jika kita pertimbangkan pendapatan isi rumah pula dan bukannya pendapatan seseorang individu, adakah isi rumah kita mampu membeli rumah? Dalam Konferens Perumahan 2018, Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, N Jayaselan, menyatakan bahawa pendapatan isi rumah median pada tahun 2016 ialah RM5,228 ataupun sebanyak RM62,736 setahun. Jika dikumpulkan untuk tiga tahun, ianya hanya RM188,208, iaitu masih jauh kurang berbanding harga purata rumah kini yang berharga RM400,000.
Para pemaju perumahan pula akan berhujah bahawa, mereka tidak mungkin membina rumah dalam lingkungan harga RM70,000 hingga RM100,000 dengan alasan kenaikan harga bahan binaan, sewaan jentera, kos pematuhan dan kos tanah.
Perumahan rakyat tidak seharusnya dianalisis dengan kos pembinaan yang dipengaruhi oleh faktor-faktor pasaran. Pembinaan dan penyediaan rumah mampu milik merupakan satu tanggungjawab Kerajaan yang harus disubsidi dan tidak terikat dengan impak pasaran bebas.
Pada tahun 1980-an, Kerajaan cuba menjayakan penyediaan rumah mampu milik dengan bekerjasama dengan pihak swasta. Kuota bilangan rumah kos rendah yang harus dibina dalam sesuatu projek pembangunan bercampur ditetapkan sebagai 30%. Kos pembinaannya ditanggung secara “subsidi silang” (cross subsidy) dengan projek kediaman mewah dan komersial juga akan dibangunkan dalam projek yang sama.
Malangnya Kerajaan melonggarkan syarat kuota ini kerana terperdaya dengan hujah pemaju yang tidak berminat membina rumah kos rendah di lokasi-lokasi permintaan tinggi (prime areas). Mereka diberikan kelonggaran supaya menunaikan kewajipan 30% mereka di lokasi lain yang jauh dan terpencil. Justeru, timbullah masalah apabila 30% kuota rumah kos rendah dijual dengan harga RM42,000. Ini adalah kerana, rakyat mencari mata pencarian mereka di kawasan bandar dan sekitarnya, maka tidak rasional untuk mereka disuruh membeli rumah di lokasi yang berjauhan, seperti di Bukit Beruntung atau Rawang jika mereka bekerja di Lembah Klang. Sudah tentu mereka tidak larat menampung kos pengangkutan, berulang alik ke tempat kerja dari lokasi-lokasi tersebut.
Akibatnya, kawasan bandar dan pinggirannya menjadi kawasan eksklusif untuk pembangunan mewah hartanah bernilai jutaan ringgit. Rakyat Malaysia yang majoritinya kelas pekerja seolah-olah diusir dari kawasan bandar. Mereka hanya mampu mimpi membeli rumah di bandar dan terpaksa menyewa rumah. Padahal merekalah merupakan warga pekerja yang menyumbangkan tenaga kerja setiap hari dalam pelbagai sektor perkhidmatan dan pembuatan di bandar dan pinggirannya.
Pemaju yang berjaya mempengaruhi Kerajaan untuk mengecualikan kuota 30% itu kini berjaya juga membuang istilah “rumah kos rendah” daripada kamus Kerajaan. Ia digantikan dengan istilah “Rumah Mampu Milik”. Mahupun istilah Rumah Mampu Milik sedap bunyinya, tetapi ironinya ialah harga yang diklasifikasi antara RM250,000 hingga RM500,000, merupakan rumah yang tidak mampu dibeli oleh rakyat biasa.
Pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) enggan mengendalikan isu pokok, iaitu harga rumah yang semakin tinggi ini, tetapi bertindak pula untuk melonggarkan syarat pinjaman rumah dengan harapan lebih ramai orang boleh membeli rumah. Namun, jika isu pokok, iaitu harga rumah tersebut tidak diselesaikan, akibatnya adalah beban hutang bank pembiayaan pinjaman RM250,000 hingga RM500,000 akan ditanggung seumur hidup oleh rakyat. Jika mereka gagal bayar, rumah itu akan dilelongkan. Hak perumahan sekali lagi akan dirampas oleh pasaran bebas apabila rumah tersebut dilelongkan dan dijual dalam pasaran bebas kepada pembida tertinggi.
Jadi, PSM mencadangkan dalam pelan tindakan Pemulihan Nasional #RakyatMintaLima, agar Kerajaan seharusnya mengambil alih tanggungjawab menyediakan rumah pertama untuk rakyat daripada pihak swasta. Segala pengaruh faktor pasaran seperti harga tanah, evaluasi nilai tanah dan sebagainya dapat dielakkan atau dikawal daripada mempengaruhi kos rumah. Kos tanah harus diserap oleh Kerajaan Negeri dan kos-kos tukar syarat tanah, pematuhan lesen pemaju, kelulusan pelan perancangan dan pembangunan boleh diminimumkan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan dan Jabatan Perumahan Negara.
Dengan mengambil langkah-langkah seperti yang disebut di atas, pelbagai kos tersebut yang menaikkan kos rumah jika pemaju swasta memajukannya dapat dielakkan, dan rumah boleh ditawarkan kepada rakyat pada harga kurang daripada RM100,000 di kawasan bandar dan pinggiran bandar.
Spekulasi dalam pasaran perumahan juga harus dikawal dengan mengenakan cukai yang lebih tinggi untuk pemilikan rumah ketiga dan selebihnya. Jika sesebuah rumah tersebut dibiarkan kosong lebih daripada 3 bulan, maka suatu denda (penalty) harus dikenakan. Ini bertujuan untuk mengurangkan pembelian rumah semata-mata demi pelaburan (investment) dan bukannya untuk didiami.
==========
Sivarajan Arumugam ialah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).
==========
Layari selanjutnya informasi mengenai Kempen Pemulihan Negara: “Rakyat Minta Lima” di sini.
==========
Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.