oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Setiap sesi perbincangan belanjawan negara akan menyaksikan pelbagai pihak menuntut dana untuk projek dan program yang memanfaatkan rakyat serta negara. Masalah yang dihadapi oleh Kementerian Kewangan adalah sumber pendapatan negara untuk tahun 2022 hanya menampung lebih kurang 65% daripada jumlah belanjawan yang dijangkakan untuk tahun 2022.

Anggaran pendapatan Kerajaan Persekutuan untuk tahun 2022: RM234 bilion

Anggaran belanjawan untuk tahun 2022: RM332 bilion

Defisit: RM98 bilion (29.5% belanjawan; 6% KDNK)

Ini bererti bahawa RM98 bilion harus dipinjam untuk menampung belanjawan tahun 2022 – dan kerajaan kita biasanya melakukan ini melalui penerbitan bon kerajaan yang dibeli oleh pemodal besar.

Selain daripada RM98 bilion yang disebut di atas, Kementerian Kewangan juga harus menerbitkan

RM110 bilion bon lagi untuk membayar balik bon-bon lama yang sudah habis tempoh mereka dan harus dibayar balik kepada pelabur dalam tahun 2022. Jadi, jumlah penerbitan bon oleh Kerajaan Persekutuan adalah dalam lingkungan RM211 bilion tahun ini. Dan bunga yang harus dibayar untuk hutang kerajaan sebanyak RM998 bilion adalah dijangka mencapai RM43 bilion bagi tahun 2022.

Situasi kewangan negara merupakan satu kekangan yang besar terhadap sebarang keinginan untuk menambahkan belanjawan kerajaan supaya memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial bagi rakyat kita. Jadi, untuk sesi Belanjawan 2023, PSM tidak menfokuskan senarai projek dan program yang telahpun kami syorkan beberapa kali sebelum ini. Sebaliknya, kami ingin menumpukan perhatian terhadap strategi untuk meningkatkan pendapatan kerajaan supaya dapat melaksanakan program-program melindungi masyarakat secara mampan.

Kami ingin mengesyorkan 2 idea baharu yang boleh mengatasi masalah kekurangan dana untuk belanjawan kerajaan, iaitu:

  1. Strategi jangka masa 10 tahun untuk menghentikan perlumbaan ke bawah berkaitan cukai korporat dalam kalangan negara-negara ASEAN dan caranya meningkatkan cukai terhadap golongan korporat dan golongan terkaya di dalam negara;
  2. Pelaksanaan kaedah “Debt Monetization” ataupun penjualan sebahagian bon kerajaan kepada Bank Negara dengan kadar bunga yang rendah.

A. Strategi jangka masa 10 tahun untuk meningkatkan cukai korporat dalam kalangan negara-negara ASEAN

Negara-negara ASEAN sedang bersaing untuk pelaburan asing (FDI), dan mereka telah dinasihatkan oleh Bank Dunia dan IMF bahawa mereka mesti berwajah “mesra” pada bisnes untuk berjaya dalam menarik FDI. Oleh itu Malaysia telah mengurangkan cukai korporat dari 40% keuntungan korporat pada tahun 1980-an ke 24% keuntungan korporat pada masa ini. Thailand lebih teruk lagi dan telah mengurangkan cukai korporatnya ke 19% keuntungan syarikat, dan Singapura berada di tahap 18% cukai terhadap keuntungan korporat.

Syor PSM:

  • Mengadakan perbincangan dengan Indonesia, Thailand, Vietnam dan negara ASEAN yang lain.
  • Syorkan pengubahsuaian Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) supaya memasukkan klausa baharu bahawa penalti tarif akan dikenakan terhadap mana-mana negara ASEAN yang mengurangkan lagi cukai korporat dari kadarnya sekarang – kenaikan tarif sebanyak 5% untuk setiap 1% pengurangan dalam kadar cukai korporat. Ertinya, jika cukai korporat dikurangkan 2%, tarif terhadap eksport negara itu harus dinaikkan 10%.
  • Selepas syor ini dipersetujui dan dilaksanakan, membawa satu syor lagi untuk meningkatkan cukai korporat sebanyak 1% setiap tahun sehingga mencapai kadar cukai 30% keuntungan syarikat. Dan juga kenakan penalti terhadap mana-mana negara ASEAN yang tidak melaksanakan tindakan ini – kenaikan tarif 3% terhadap eksportnya untuk setiap 1% cukai yang gagal dinaikkan.

Adalah amat perlu untuk meningkatkan kadar cukai korporat secara serentak di rantau ASEAN untuk mengelak daripada “comparative disadvantage” dan kehilangan FDI kepada negara lain di ASEAN. Jika syor ini dapat dilaksanakan, ianya akan membawa beberapa kelebihan kepada rantau ini, antaranya:

  • Pendapatan kerajaan meningkat;
  • Kerajaan dapat sumber untuk melaksanakan program-program kebajikan bagi rakyat dan juga untuk memajukan penjanaan tenaga boleh diperbaharui serta menangani perubahan iklim;
  • Penambahan dalam perbelanjaan kerajaan akan meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dan ini akan mewujudkan peluang bisnes untuk para peniaga, dan seterusnya akan memperkembangkan peluang berkerja untuk rakyat kita. 

B. Kaedah Debt Monetization

Kaedah ini melibatkan penjualan bon kerajaan kepada Bank Negara Malaysia. Seperti yang dihuraikan di atas, kerajaan kita akan menerbitkan bon sebanyak RM 211 bilion dalam tahun 2022. Kami mengesyorkan bahawa bon tambahan sebanyak RM50 bilion diterbit melalui jualan bon kerajaan kepada Bank Negara supaya beberapa skim perlindungan sosial dapat dilaksanakan, umpamanya pencen warga emas sejagat (RM500 sebulan untuk setiap orang rakyat berumur 65 tahun ke atas yang tidak menerima pencen lain).

Kritikan terhadap kaedah ini adalah bahawa ianya akan melemahkan mata wang Malaysia dan menyebabkan inflasi. Kerisauan ini bukan tanpa asas. Nilai mata wang sebuah negara bergantung pada bekalan dan permintaan mata wang itu dalam pasaran kewangan antarabangsa. Adalah dianggarkan bahawa setiap ringgit yang digunakan untuk memperkasakan sistem kebajikan negara akan menyebabkan kenaikan jumlah import sebanyak 50 sen. Jadi, jika RM50 bilion dipakai untuk memperkukuhkan jaringan keselamatan social, RM25 bilion akan mengalir keluar sebagai bayaran untuk import. Oleh itu, bekalan ringgit dalam pasaran kewangan antarabangsa akan bertambah sebanyak RM25 bilion, dan ini berkecenderungan untuk mengurangkan nilai ringgit dalam pasaran antarabangsa. Dan jika nilai ringgit merosot, harga barang import akan naik, dan ini akan menyebabkan inflasi di dalam negara kita.

Tetapi kita mesti menganalisis syor ini dengan menggunakan perspektif yang menyeluruh dengan mengambil kira bahawa

  • Jumlah import Malaysia adalah lebih kurang RM900 bilion setahun pada masa ini. Peningkatan import sebanyak RM25 bilion – peningkatan hanya 2.7% – tidak akan membawa impak yang begitu besar terhadap nilai mata wang Malaysia.
  • Malaysia boleh mengambil beberapa langkah untuk mengurangkan pengaliran keluar ringgit Malaysia ke negara lain.
  • Pengimportan 200,000 buah kereta baharu merupakan pengaliran keluar RM20 bilion setahun. Pengeluaran 300,000 kereta buatan Malaysia juga adalah berkaitan dengan pengaliran keluar RM18 bilion dalam bentuk komponen kereta yang diimport. Pelaksanaan sistem permit untuk membeli kereta boleh
    • A) menjana pendapatan untuk kerajaan sambil
    • B) mengurangkan pembelian kereta baharu. Ini akan mengurangkan pengaliran wang Malaysia ke luar negara.
  • Pelaksanaan permit membeli ataupun duti eksais untuk barangan mewah lain juga akan membantu dalam mengurangkan pengaliran ringgit Malaysia ke luar.

Oleh kerana perkara-perkara yang dihuraikan di atas, PSM berpendapat bahawa kaedah Debt Monetization boleh digunakan secara yang berhemah untuk menjana dana sebanyak RM50 bilion hingga 80 bilion setahun bagi program perlindungan sosial.

PSM bersedia dalam menghadiri sesi dialog dengan Kementerian Kewangan untuk membincangkan dua syor ini.

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Penyelaras Biro Kajian Dasar PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *