Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

==========

oleh Sharan Raj

Buku Memperkasakan Rakyat: Analisis dan Perjuangan ditulis oleh komrad Nasir Hashim telah menyurai kekusutan dan persoalan tentang masyarakat umum. Ilmu hanya akan dihargai apabila kita mendahagakan ilmu tersebut. Buku ini dicadangkan kepada saya oleh komrad Nasir ketika perbualan telefon di mana saya cuba mendapat pandangannya untuk memahami hipokrasi sesetengah golongan yang bertukar posisi berdasarkan keadaan semasa. Buku tersebut telah menganalisis kerangka penindasan rakyat dan impaknya yang tidak dapat dirumuskan dalam satu rencana. Maka rencana ini akan membincangkan 3 pedoman daripada buku tersebut.

Keharmonian sifat bercanggah

Dunia kita penuh dengan sifat bercanggah, seperti matter dengan anti-matter, duniawi (materialism) dan kerohanian (spitrualism), teori dan praktikal. Keharmonian sifat bercanggah (unity of contradictions) akan membawa kemajuan di semua peringkat. Kepentingan keharmonian sifat bercanggah juga dibicara dalam tamadun awal manusia seperti Ying-Yang, Siva-Shakti dan Tauhid-Al Mizan.

Individu yang progresif lahir daripada keharmonian antara sifat tegas dan keterbukaan.  Individu yang tidak memiliki keterbukaan untuk menerima teguran, pandangan dan idea baru akan beransur-ansur menjadi golongan konservatif. Namun, individu perlu tegas untuk mengelakkan daripada menjadi lalang atau tidak berprinsip.

Parti yang tidak mengharmonikan realistik dan idealistik akan ditolak oleh masyarakat termasuk ahlinya. Golongan sedia ada (kaum tua/realistik) yang lebih berpengalaman selesa dengan modus operandi sedia ada. Golongan baru (kaum muda/idealistik) dengan sifat idea baru akan menggugat modus operandi ini. Keharmonian idealistik dan realistik akan terus memajukan parti.

Kaum Tua yang berfikir panjang untuk berubah boleh membantutkan kemajuan. Kaum Muda akan berasa tersisih jikalau tidak diberikan ruang dan sumber untuk mengembangkan idea mereka. Sentralisme Demokratik perlu dipraktikkan untuk mengharmonikan percanggahan ini. Kaum Tua dapat memahami pandangan Kaum Muda, manakala Kaum Muda dapat memperkemaskan gerak kerja dengan pengalaman daripada kaum Tua.

Percanggahan dalam masyarakat adalah antara modal dan buruh (conflict between capital and labour). Masyarakat yang maju dan bebas akan dicapai dengan menyatukan modal dan buruh menjadi satu entiti. Penyatuan modal dengan buruh tercapai apabila pekerja menjadi pemilik penuh modal/teknologi (collective ownership of the means of production).

Kerangka konflik/penindasan yang seragam

Kerangka konflik modal dan buruh boleh ditumpang tindih (superimposed) untuk menganalisis penindasan di setiap peringkat masyarakat sama ada kilang, daerah, negeri, negara, rantau atau dunia. Sistem ekonomi kapitalis yang bercanggahan (conflict between capital & labour) mewujudkan hierarki.

Di dalam sebuah kilang, pekerja industri menggunakan keringat dan minda untuk mengerakkan jentera untuk mengeluarkan barangan. Rakyat dibayar gaji rendah agar sekadar cukup hidup untuk memastikan pekerja tidak mampu berdikari agar terus menjual tenaga untuk gaji. Golongan kapitalis memastikan rakyat tidak bersatu dengan menggunakan dasar pecah perintah (divide and rule) dari sudut bahasa, kaum, agama, kasta, etnik, negeri, jantina dan sebagainya.

Segelintir masyarakat bertindak sebagai penyelia, orang tengah, pakar perunding dan golongan profesional yang melaksanakan pemindahan kekayaan daripada tenaga kerja kepada kapitalis. Golongan ini mendapat bayaran lebih tinggi berbanding pekerja industri daripada kapitalis. Bayaran ini berasal daripada hasil lebihan (surplus) yang dinafikan kepada golongan pekerja industri.

Wujudnya hierarki dalam kalangan negara dunia apabila pergerakan barangan dan kekayaan dunia dianalisis dengan terperinci. Negara pekerja yang menghasilkan barangan dan komoditi yang dieksport keluar pada kadar rendah. Kekayaan penuh negara disedut keluar melalui beberapa negara tengah (seperti Singapura dan Hong Kong) untuk dinikmati oleh beberapa negara kapitalis (seperti Amerika Syarikat, Jepun, British dan Jerman).

Negara imperialis/kapitalis mengawal modal dari segi kewangan dan teknologi melalui undang-undang paten, perdagangan dunia dan bank antarabangsa. Maka, negara-negara pekerja yang tidak dapat berdikari terpaksa menjual tenaga kerja dan komoditi pada harga rendah. Negara kapitalis juga memecah-belah negara yang bersatu untuk cuba melawan hegemoni negara kapitalis seperti ALBA dan negara Arab (Shia-Sunni).

Kerangka penindasan penting untuk memperolehi kerangka solusi untuk mengendalikan konflik modal dan buruh. Jikalau seorang pekerja meminta kenaikan gaji, maka dia akan dibuang kerja oleh pemilik modal/kapitalis. Jikalau semua pekerja meminta kenaikan gaji secara kolektif melalui kesatuan sekerja, maka pemilik modal/kapitalis terpaksa memberikan kenaikan gaji.

Kerangka yang sama boleh diguna pakai dalam isu gaji minimum negara. Jikalau Malaysia menaikkan gaji minimum, maka kapitalis akan mengabaikan Malaysia daripada radar pelaburannya di ASEAN. Jikalau seluruh ASEAN meningkatkan gaji minimum secara bersama, maka kapitalis terpaksa mengaku kalah.

Perilaku manusia

Setiap individu menghadapi tekanan daripada sistem ekonomi yang tidak harmoni menyebabkan pelbagai masalah. Golongan pekerja terjerat dalam tekanan kemiskinan, waktu kerja panjang dan kos sara hidup tinggi. Maka, golongan pekerja melepaskan tekanan hidup melalui minum sehingga mabuk, histeria, rokok tanpa kawalan, keganasan rumah tangga dan sebagainya.

Golongan menengah atas (profesional dan cerdik pandai) turut terjerat dalam krisis identiti kerana memiliki wawasan kapitalis tetapi berkapasiti pekerja (capitalist vision with workers capacity). Golongan menengah atas tidak mahu mengaku dirinya kelas pekerja, namun tidak akan diangkat menjadi golongan kapitalis.

Krisis identiti dalam diri golongan pekerja menengah-atas menyebabkan mereka berlumba-lumba membezakan diri daripada kelas pekerja dengan pangkat (diraja, akademik, profesional dan sebagainya) dan kemewahan (kenderaan, rumah, pakaian, jam tangan dan sebagainya). Malah ada yang sanggup berhutang keliling pinggang demi menghiasi diri.

Sementara itu, keluarga dan rakan-rakan mereka akan disisikan dalam perlumbaan membezakan diri daripada kelas pekerja. Rentetan itu, wujudnya pelbagai masalah keluarga dan kewangan dalam golongan pekerja menengah-atas walaupun memiliki keselesaan hidup berbanding kelas pekerja.

Sesetengah golongan menengah-atas bersifat oportunis ibarat ular yang tukar kulit serta berlidah dua demi mempertahankan kedudukannya. Ahli politik oportunis, birokrat dan teknokrat berubah posisi berdasarkan keadaan semasa. Mereka lompat kem/parti serta menikam belakang keluarga, kampung, kawan-kawan, bangsa dan negara demi wawasan sempit mereka.

Barangkali mereka akan berlumba-lumba untuk berteriak tentang keagungan sosialisme demi menjaga kedudukan mereka apabila Parti Sosialis Malaysia (PSM) diberi peluang untuk mentadbir negara oleh rakyat marhaen.

Kesimpulan

Golongan sosialis memegang tugas yang penting dan mulia dalam sejarah manusia, iaitu mengharmonikan konflik modal dengan buruh, dengan menyatukan modal ke dalam tangan pekerja. Maka, sosialis perlu bersifat progresif untuk mengharmonikan percanggahan di semua peringkat demi memajukan diri, parti dan negara.

Setiap individu perlu terus mengharmonikan teori dan praktik demi kemajuan diri.

Pembangunan teori boleh diperkembangkan dengan membaca buku seperti “Memperkasakan Rakyat: Analisis dan Perjuangan” yang boleh diperolehi (pinjam ataupun beli) daripada Kedai Buku Tinta Merah (Pautan: https://www.facebook.com/kedaibukutintamerah). Buku ini dijual pada harga RM40.

==========

Sharan Raj ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Setiausaha PSM Melaka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *