Kuasa imperialis Amerika Syarikat (AS) telah menduduki Afghanistan untuk hampir 20 tahun dengan alasan membanteras keganasan dan mewujudkan demokrasi di negara Asia Tengah itu. Namun, apabila tentera AS dan sekutunya dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) meninggalkan Afghanistan baru-baru ini, Taliban mengambilalih pemerintahan negara itu daripada kerajaan pusat yang disokong oleh AS dalam masa yang sangat singkat. Pengembalian Taliban sebagai kuasa yang memerintah Afghanistan menandakan kegagalan imperialis AS yang paling memalukan setakat ini dalam abad ke-21.
Kekalahan tentera AS di Afghanistan bukan disebabkan Taliban itu hebat sangat dari segi kekuatan tentera ataupun menguasai sokongan padu daripada rakyat Afghanistan, tetapi berpunca daripada kegagalan dasar imperialis AS di negara itu yang membiak bencana kemanusiaan.
Taliban: Produk imperialisme yang membawa penderitaan kepada Afghanistan
Kumpulan Taliban yang berperang dengan tentera AS dan kerajaan boneka AS di Afghanistan sepanjang 20 tahun kebelakangan ini, merupakan produk imperialisme AS itu sendiri di rantau Asia Tengah. Asal usul Taliban boleh dijejak kembali kepada kumpulan Mujahideen yang disokong oleh kuasa imperialis AS yang berperang dengan tentera Kesatuan Soviet pada tahun 1979-1989.
Pada bulan April 1978, tercetusnya “Revolusi Saur” yang menggulingkan kerajaan pimpinan Presiden Mohammed Daoud Khan pada masa itu. Parti Demokratik Rakyat Afghanistan (PDPA) yang berkuasa selepas Revolusi Saur itu menubuhkan Republik Demokratik Afghanistan dan melaksanakan beberapa pembaharuan yang radikal. Namun, pembaharuan yang dibawa oleh PDPA, seperti reformasi tanah yang meluas, telah menggugat kepentingan golongan tuan tanah lama dan juga golongan konservatif di negara itu. Golongan reaksioner yang tidak senang dengan pembaharuan radikal yang cuba dibawa oleh PDPA melancarkan pemberontakan bersenjata. Kumpulan-kumpulan reaksioner yang bersenjata dengan kepentingan diri yang pelbagai itu kemudian menggelar diri mereka sebagai “Mujahideen”, dan mendapat sokongan daripada kuasa imperialis AS yang sedang bersaing dengan Kesatuan Soviet dalam konteks Perang Dingin pada masa itu.
Tidak lama selepas Revolusi Saur pada tahun 1978, pemerintahan PDPA itu sendiri mengalami krisis politik apabila berlakunya perebutan kuasa dalam PDPA, antara puak Khalq yang dipimpin oleh Nur Muhammad Taraki dan Hafizullah Amin yang lebih radikal dengan puak Parcham yang dipimpin oleh Babrak Karmal yang lebih moderat. Puak Khalq pada awalnya berjaya menyingkirkan puak Parcham secara keras, tetapi berlaku pula perebutan kuasa antara Nur Muhammad Taraki dan Hafizullah Amin dalam kalangan puak Khalq. Nur Muhammad Taraki, Setiausaha Agung PDPA dan pimpinan tertinggi kerajaan revolusioner Afghanistan, digulingkan dan dibunuh atas arahan Hafizullah Amin pada tahun 1979. Kesatuan Soviet yang tidak senang hati dengan pemerintahan Hafizullah Amin pula mencampurtangan secara tentera dan membunuh Hafizullah Amin pada 27 Disember 1979. Kesatuan Soviet menyokong puak Parcham dalam PDPA untuk mengambialih kuasa di Afghanistan, namun tindakan campurtangan tentera Kesatuan Soviet dalam krisis politik Afghanistan membawa kepada Perang Soviet-Afghanistan yang berlarutan selama 10 tahun, dari tahun 1979 hingga 1989.
Kuasa imperialis AS, bersama-sama dengan kerajaan lain seperti Britain, Pakistan, Arab Saudi, Israel dan China yang mempunyai kepentingan geopilitik yang berbeza, telah memberi sokongan kepada kumpulan Mujahideen yang terdiri daripada aliran-aliran yang berbeza ideologi, untuk berperang dengan tentera Kesatuan Soviet dan Kerajaan Republik Demokratik Afghanistan yang disokong oleh Kesatuan Soviet.
Sokongan kuasa imperialis AS kepada kumpulan Mujahideen semasa Perang Soviet-Afghanistan, telah menaburkan benih untuk gerakan pengganas antarabangsa yang mempergunakan nama agama Islam pada penghujung abad ke-20 dan awal abad ke-21. Kumpulan Al-Qaeda yang melakukan serangan keganasan di AS pada 11 September 2001, ISIS dan Taliban, semuanya boleh dijejak asal usul daripada kumpulan Mujahideen di Afghanistan.
Selepas pengunduran keluar tentera Kesatuan Soviet dari Afghanistan pada tahun 1989, peperangan antara kumpulan Mujahideen yang disokong oleh AS dan Pakistan dengan Kerajaan PDPA masih berterusan sehingga Kerajaan PDPA jatuh pada tahun 1992 dan digantikan oleh Kerajaan Negara Islam Afghanistan yang diterajui oleh sebahagian kumpulan Mujahideen. Namun, peperangan tidak berhenti di situ. Kumpulan-kumpulan Mujahideen yang mempunyai kepentingan yang berbeza itu meneruskan peperangan sesama sendiri. Kumpulan Taliban yang disokong kuat oleh badan perisikan Pakistan berjaya menawan Kabul, ibu negara Afghanistan, dan kebanyakan wilayah di Afghanistan pada tahun 1996, serta menubuhkan Kerajaan Emiriah Islam Afghanistan. Kumpulan bersenjata yang menyokong Kerajaan Negara Islam sebelum itu membentuk satu gabungan ketenteraan yang dikenali sebagai “Perikatan Utara” untuk berperang dengan Taliban. Perang demi perang, tiada penghabisannya…
“Perang Terhadap Keganasan” yang melahirkan lebih banyak keganasan
Kuasa imperialis AS itu sendiri yang mewujudkan ancaman keganasan kepada dunia, hanya kerana hendak menjatuhkan kerajaan yang tidak sehaluan dengan kepentingan geopolitiknya.
Pada 7 Oktober 2001, kerajaan AS bersama dengan sekutunya dalam NATO melancarkan serangan ketenteraan ke atas Afghanistan. Alasan yang diberikan oleh kerajaan AS untuk menyerang Afghanistan ialah rejim Taliban di Afghanistan pada masa itu memberi perlindungan kepada pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden, yang merupakan dalang di sebalik serangan pengganas di AS pada 11 September 2001.
Serangan ketenteraan AS terhadap Afghanistan merupakan sebahagian daripada kempen “Perang Terhadap Keganasan” (War on Terror) yang dilancarkan oleh Kerajaan AS selepas peristiwa 11 September 2001. Serangan AS terhadap Afghanistan membuka tirai episod baharu untuk bencana kemanusiaan di Afghanistan. Satu lagi bencana kemanusiaan yang diwujudkan dalam “Perang Terhadap Keganasan” ialah pencerobohan ketenteraan AS dan sekutunya terhadap negara Iraq pada tahun 2003, yang meragut nyawa ratusan ribu orang dan memaksa jutaan orang menjadi pelarian, di samping membangkitkan kumpulan pengganas baharu seperti ISIS.
Kuasa imperialis AS telah mencipta virus keganasan semasa Perang Dingin di Afghanistan, dan apabila dunia melangkah masuk ke dalam abad ke-21, pencerobohan tentera AS atas nama “Perang Terhadap Keganasan” pula menukarkan negara Asia Tengah itu menjadi hab kepada keganasan. Ironinya sekali, “Perang Terhadap Keganasan” itu mendatangkan lebih banyak keganasan. Mangsa sebenar kepada segala keganasan ini pula ialah rakyat biasa yang tidak bersalah.
Berikutan pencerobohan tentera AS, Kerajaan Emiriah Islam Afghanistan yang dikuasai oleh Taliban pada masa itu dijatuhkan pada bulan Disember 2001, dan kemudiannya sebuah kerajaan boneka yang disokong oleh AS dan sekutunya ditubuhkan pada tahun 2004, tetapi peperangan masih berterusan di Afghanistan.
Bom demi bom digugurkan di bumi Afghanistan oleh kuasa imperialis AS, kononnya hendak mewujudkan demokrasi, membangunkan negara itu, menegakkan hak wanita dan melawan keganasan. Namun, seperti yang pernah dilakukan oleh kuasa-kuasa imperialis dalam sejarah, kerajaan AS tidak melakukan apa yang dipropagandakannya. Sebaliknya, keadaan masih teruk dan masalah berlarutan.
Selepas kejatuhan Taliban pada tahun 2001, kuasa imperialis AS mengangkat Perikatan Utara yang pernah melakukan pelbagai jenayah perang sebagai peneraju kerajaan bonekanya di Afghanistan pada masa itu, dan cuba memberi gambaran bahawa ia ialah pemerintahan yang demokratik. Kuasa imperialis AS tidak berniat untuk membina semula masyarakat Afghanistan yang dimusnahkan perang, sebaliknya hanya terus mendukung rejim yang dapat menjamin kepentingan geopolitiknya di rantau Asia Tengah, malah sanggup terus membiarkan rasuah dan penyelewengan kuasa untuk bertapak dan berleluasa. Kerajaan boneka yang disokong oleh AS membenarkan sesetengah wanita untuk mengambil bahagian dalam politik sebagai pertunjukan bahawa wanita Afghanistan menikmati kekebebasan, tetapi hanya sekadar sandiwara untuk menjustifikasi dasar kotor imperialis AS di Afghanistan.
Sepanjang konflik keganasan yang berterusan selama dua dekad di bawah pendudukan tentera AS di Afghanistan, dianggarkan sekurang-kurangnya 170,000 orang mati terkorban kerana peperangan, antaranya lebih 47,000 orang merupakan orang awam. Jutaan warga Afghanistan menjadi pelarian kerana peperangan sejak tahun 2001. Pada masa kini, masih terdapat lebih kurang 2.6 juta orang pelarian Afghanistan yang tinggal berselerak di merata tempat.
Kegagalan imperialisme, rakyat Afghanistan yang tanggung
Perang di Afghanistan berlaku bukannya untuk rakyat Afghanistan. Rakyat Afghanistan tidak pernah mengundang tentera AS dan NATO untuk menduduki negara mereka. Tentera AS menyerang Afghanistan untuk menjatuhkan rejim pengganas yang diwujudkannya semasa Perang Dingin, tetapi terbukti gagal selepas pendudukan ketenteraan selama dua dekad. Afganistan hanya dijadikan medan perang oleh kuasa imperialis untuk kepentingan geopolitiknya. Kerajaan AS hendak menggunakan Afghanistan sebagai batu loncatan untuk menyekat pengaruh China, Rusia dan Iran di rantau Asia Tengah.
Dalam tempoh lebih empat dekad kebelakangan ini, Afghanistan telah bertukar wajahnya kepada sebuah medan pertempuran antara kuasa-kuasa besar yang berlainan, dan ini masih berterusan. AS sedang bersaing, malah memasuki keadaan seperti “Perang Dingin” dengan China, Rusia dan Iran, di mana semuanya mempunyai kepentingan geopolitik masing-masing di rantau Asia Tengah. Pakistan dan India juga sedang bertarung untuk pengaruh mereka di Afghanistan. Arab Saudi dan Iran turut mempunyai angkatan bersenjata yang merupakan proksi mereka di Afghanistan. Nampaknya perang proksi ini masih akan berterusan. Selagi perang proksi yang melibatkan pertembungan kuasa-kuasa luar dari Afghanistan ini tidak ada penghujungnya, situasi di Afghanistan tidak mungkin akan stabil. Rakyat Afghanistan akan terus dibelenggu dengan masalah pengangguran dan kemiskinan, malah ini dapat mempermudahkan puak-puak yang saling berperang itu untuk merekrut orang baharu ke dalam barisan mereka untuk bertempur dalam perang proksi yang tidak kehabisan-habisan.
Taliban yang sudah menguasai Kabul dan kebanyakan wilayah di Afghanistan, cuba menampilkan dirinya sudah berubah dan berbeza dengan Taliban yang memerintah pada tahun 1996-2001, di samping menjanjikan tidak akan mengambil tindakan balas dendam terhadap mereka yang pernah bekerja dengan kerajaan sebelum ini. Taliban beretorik sedemikian untuk mendapatkan pengiktirafan daripada kerajaan-kerajaan di peringkat antarabangsa. Namun, apa yang berlaku sebenarnya masih jauh berbeza daripada apa yang didakwanya. Kerajaan Taliban nampaknya masih tidak inklusif, malah agak represif terhadap protes rakyat di Afghanistan yang tercetus selepas Taliban berkuasa. Taliban masih merupakan sebuah organisasi yang bergerak berasaskan kekuasaan senjata perang yang bersifat menindas, bukannya berdasarkan visi pembebasan masyarakat yang progresif.
Situasi di Afghanistan selepas pengunduran tentera AS dan pengambilalihan kuasa oleh Taliban di Kabul masih penuh dengan ketidakpastian. Lapangan Terbang Kabul diserang oleh pengganas ISIS yang bermusuhan dengan Taliban pada 26 Ogos 2021, semasa proses evakuasi warga asing dan warga Afghanistan yang hendak melarikan diri daripada Taliban, menyebabkan sekurang-kurangnya 182 orang terbunuh. Ini hanya satu peringatan bahawa kemelut konflik di Afghanistan masih jauh belum berakhir.
Walaupun AS sudah mengundurkan semua tenteranya dari Afghanistan, tetapi ia masih boleh melancarkan serangan terhadap mana-mana wilayah di Asia Tengah tanpa perlu mengerahkan anggota tentera di lapangan. Tentera AS boleh melancarkan serangan udara bila-bila masa dengan menggunakan dron dari pangkalan tenteranya yang tersebar luas di merata dunia.
Perang di Afghanistan selama 20 tahun ini merupakan perang yang paling lama dalam sejarah AS, dan Kerajaan AS telah membelanjakan lebih USD2 trilion dalam perang ini, bersamaan USD300 juta sehari. Akan tetapi, imperialis AS masih gagal untuk menang dalam perang di Afghanistan, walaupun mempunyai kekuatan tentera dan kecanggihan teknologi yang hebat. Sebenarnya tiada sesiapa yang menang dalam perang di Afghanistan, tetapi yang menanggung paling banyak kemusnahan dan kesengsaraan ialah rakyat Afghanistan yang tiada kaitan langsung dengan mana-mana kuasa besar yang hendak menjadikan negara itu medan perang proksi mereka.
Keamanan dan kesejahteraan masyarakat hanya dapat diwujudkan di Afghanistan apabila kuasa-kuasa besar termasuk AS berhenti mencampurtangan di dalam Afghanistan. Rakyat Afghanistan berhak menentukan nasib mereka tanpa gangguan daripada mana-mana kuasa besar. Selagi kuasa-kuasa imperialis dan kuasa-kuasa serantau ini masih diterajui oleh jentera negara yang melindungi kepentingan kapitalis, selagi itu kuasa-kuasa besar ini akan cuba menjadikan Afghanistan sebagai medan perang proksi mereka, sehingga memusnahkan apa jua ruang untuk rakyat Afghanistan menentukan nasib sendiri. Oleh itu, solidariti dengan rakyat Afghanistan yang memperjuangkan pembebasan sebenar, harus dilakukan serentak dengan usaha melawan kuasa imperialis.