
GEORGE TOWN, PULAU PINANG – 3 NOVEMBER 2026: Penduduk-penduduk Tanjong Bungah menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya menghentikan pembangunan komersial di kawasan Sore Thumb dan menerima cadangan penduduk tempatan untuk sebuah taman awam semula jadi di situ. Seruan ini dibangkitkan dalam satu aksi protes di hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada hari ini untuk menarik perhatian daripada Ahli-ahli DUN yang sedang bersidang.
Sore Thumb (Ibu Jari Sakit) ialah sebuah tanjung kecil yang berbukit di pesisir pantai Tanjong Bungah, yang terbentuk daripada pelupusan sisa lebih 20 tahun dahulu dan bertumbuh menjadi sebuah paru-paru hijau secara semula jadi. Penduduk-penduduk Tanjong Bungah dan Persatuan Penduduk Tanjung Bungah (TBRA) mendesak Kerajaan Negeri Pulau Pinang agar menunaikan janjinya untuk mengekalkan Sore Thumb sebagai paru-paru hijau.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah meluluskan pembinaan sebuah ‘pusat kesejahteraan’ (wellness centre) di atas tanah Lot 4658 yang bersebelahan dengan Sore Thumb, dengan syarat membina sebuah taman awam di Sore Thumb,” kata Oo Huei Ying, seorang penduduk yang hadir dalam protes di hadapan bangunan DUN Pulau Pinang. “Namun, kami mendapati bahawa rancangan pihak pemaju ialah memusnahkan ruang habitat hijau yang sedia ada dan menggantikannya dengan ruang konkrit.”
“Penduduk-penduduk Tanjong Bungah tidak bersetuju dengan pembangunan komersial yang memusnahkan ruang hijau Sore Thumb ini. Oleh itu, kami mengemukakan cadangan pelan kami untuk taman awam di Sore Thumb,” ulas Oo Huei Ying. “Penduduk-penduduk Tanjong Bungah menyerahkan cadangan kami kepada pihak kerajaan pada bulan Februari tahun ini. Cadangan kami disediakan dengan teliti oleh arkitek landskap. Namun, Kerajaan Negeri Pulau Pinang enggan menerima cadangan rakyat, sebaliknya menyuruh rakyat setempat untuk berunding dengan pihak pemaju. Pihak pemaju pula sentiasa mahu membina sebuah tembok penahan ombak yang akan memusnahkan kawasan bukit Sore Thumb dan pantai di situ.”
Penduduk-penduduk Tanjong Bungah yang protes juga mempamerkan model taman awam yang dicadangkan oleh mereka dan model taman konkrit yang dirancang oleh pihak pemaju untuk menunjukkan percanggahan ketara antara ruang hijau yang dituntut oleh rakyat tempatan dan rancangan pembangunan komersial pemaju.

“Persoalan kami adalah, jika ia sebuah taman awam, kenapa Kerajaan Negeri tidak menerima cadangan daripada orang awam?” tambah Oo Huei Ying. “Kami mahukan taman awam, bukannya taman pemaju!”
“Saya berharap Kerajaan Negeri Pulau Pinang dapat mendengar suara rakyat dan menerima cadangan daripada penduduk-penduduk Tanjong Bungah,” kata Zulfikar Abdul Aziz, Pengerusi TBRA. “Rakyat meminta sebuah taman awam semula jadi, tetapi pihak pemaju merancang untuk membina sebuah taman konkrit.”
Beberapa orang ADUN pembangkang telah hadir untuk mendengar tuntutan daripada penduduk-penduduk Tanjong Bungah, tetapi tiada seorang pun ADUN daripada parti pemerintah yang tampil mendengar suara rakyat, termasuk Zairil Khir Johari, ADUN kawasan Tanjong Bunga yang juga merupakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Negeri Pulau Pinang.

“Adakah YB Zairil takut untuk berjumpa dengan penduduk kawasannya sendiri dan mendengar tuntutan mereka?” kata Zulfikar Abdul Aziz. Penduduk-penduduk Tanjong Bunga yang menuntut taman awam di Sore Thumb kecewa dengan tindakan Zairil Khir Johari yang sepatutnya mewakili rakyat di kawasan DUN Tanjong Bunga.
TBRA dan penduduk-penduduk Tanjong Bungah bertekad untuk terus memperjuangkan isu ini dengan membawanya kepada perhatian orang ramai melalui kempen kesedaran serta kutipan tandatangan petisyen.
Turut hadir bersolidariti bersama penduduk-penduduk Tanjong Bungah pada hari ini ialah Choo Chon Kai dan Muhammad Syafiq Mohd Fadli daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) Pulau Pinang.





