
Berikut ialah pandangan dan kritikan yang dikemukakan oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) Pulau Pinang terhadap Draf Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2040 (RSNPP 2040) (Kajian Semula).
Kami berpandangan bahawa Draf Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2040 (RSNPP 2040) (Kajian Semula) pada keseluruhannya masih gagal memberi perhatian kepada masalah akar yang wujud dalam model pembangunan yang sedia ada dan mengandungi pelbagai kelemahan.
Kami ingin mengetengahkan kebimbangan dan bantahan kami berkenaan beberapa perkara dalam RSNPP 2040 (Kajian Semula) seperti berikut:
1. Kerajaan Negeri Pulau Pinang TIDAK PATUT terus menggalakkan lagi pelancongan kesihatan dengan menyatakan “memperkukuh imej dan fungsi Negeri Pulau Pinang sebagai pusat … pelancongan kesihatan… di peringkat global” dalam kepentingan hala tuju PS1 di bawah Tumpuan Perancangan 1 (TP1) (m/s TP1-4) dan memberi tumpuan kepada produk pelancongan bernilai tambah yang menjana ekonomi pelancongan melalui “Penumpuan kepada Pelancongan Kesihatan dan Kesejahteraan” dalam Strategi Perancangan PE6-1 di bawah TP2 (m/s TP2-70). Pelancongan kesihatan hanya menguntungkan sektor kesihatan swasta yang mengutamakan keuntungan dan pada masa yang sama menjejaskan perkhidmatan kesihatan awam, bukan sahaja di Pulau Pinang, tetapi juga di negara kita secara keseluruhannya. Pada masa ini, sistem kesihatan di negara kita sedang menghadapi masalah penghijrahan tenaga mahir (brain drain) doktor pakar dari sektor awam ke sektor swasta yang amat serius. Hanya tinggal kira-kira 25% doktor pakar yang berpengalaman lebih 5 tahun di hospital awam sedangkan kira-kira 70% pesakit mendapat rawatan di hospital awam. Dasar kerajaan yang mempromosi pelancongan kesihatan dan membenarkan perluasan sektor swasta dalam perkhidmatan kesihatan akan memburukkan lagi masalah ini dan menjejaskan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya. Perkhidmatan kesihatan bukannya “produk” untuk keuntungan korporat; kesihatan itu hak asasi rakyat yang harus dilindungi oleh kerajaan dan dinikmati oleh semua orang tanpa mengira status pendapatan. Jadi, kami mencadangkan untuk mengenakan moratorium terhadap pembinaan hospital swasta yang baharu atau perluasan hospital swasta yang sedia ada. Kami menggesa supaya jangan menjadikan Pulau Pinang pusat pelancongan kesihatan yang mengundang kemusnahan kepada sistem kesihatan awam di Malaysia!
2. Dalam m/s B3-14, adalah dinyatakan bahawa “hampir 1/3 stok perumahan ialah rumah mampu milik”. Ini bermakna bahawa sekurang-kurangnya 58% daripada golongan B40 dan M40 masih tidak memiliki rumah mampu milik. Hakikat “ketidaksepadanan harga rumah dan pendapatan di Negeri Pulau Pinang serta permintaan dan penawaran perumahan mampu milik” memang diakui, dengan “nisbah penawaran perumahan mampu milik – 199,066 unit : 301,422 isi rumah” (m/s B3-28). Banyak dalam kalangan isi rumah yang dikatakan layak untuk membeli rumah mampu milik tetapi sebenarnya menghadapi kesukaran untuk membayar balik pinjaman bank, dan ini boleh mewujudkan masalah rumah dilelong. Cadangan PSM adalah menambahkan unit rumah yang ditawarkan melalui skim sewa beli (RTO), memandangkan hanya 23.16% daripada sasaran telah dicapai setakat bulan Februari 2026 (m/s TP4-17).
3. Mengenai perkara Unjuran Unit Perumahan, apakah rasional dan pengiraan dalam menentukan keperluan tambahan perumahan sebanyak 75,000 unit (dan jenis apa unit perumahan itu) meskipun ia boleh mewujudkan lebihan sekitar 44,543 unit? (m/s TP4-19) Lebihan unit rumah adalah tidak masuk akal sedangkan terdapat keperluan perumahan yang terdesak terutamanya dalam kalangan isi rumah B40. Adalah tidak masuk akal untuk mengemukakan sesuatu angka sembarangan tanpa justifikasi yang kukuh.
4. Walaupun RSNPP 2040 (Kajian Semula) memberi tumpuan kepada Penyediaan Rumah yang Mampu Dimiliki (Hala Tuju PK2), melalui Strategi PK2-1.1 “meningkatkan penyediaan rumah mampu milik mengikut kategori A, B dan C” (m/s TP4-12) dan PK2-1.2 “meningkatkan kadar pemilikan rumah golongan B40” (m/s TP4-13), ia tidak menyentuh apa-apa tentang keperluan rumah sewa awam seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Sewa Kerajaan Negeri (RSKN) yang masih diperlukan oleh ramai penduduk berpendapatan rendah yang tidak mampu memiliki rumah. Ramai pemohon PPR/RSKN masih dalam senarai menunggu pada masa ini. Tambahan pula, had pendapatan yang ditetapkan sebagai syarat kelayakan untuk memohon PPR/RSKN pada masa ini (iaitu pendapatan seisi keluarga kurang daripada RM1,700) adalah terlalu rendah dan sepatutnya ditingkatkan, kerana had yang ditetapkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan ialah RM3,000 sebulan. Oleh itu, Pulau Pinang memerlukan lebih banyak rumah sewa awam (PPR dan RSKN) tetapi langsung tidak disentuh dalam RSNPP 2040.
5. Menyerahkan pembangunan pelbagai jenis perumahan bersesuaian dengan golongan belia, keluarga muda dan baru pekerja seperti Perumahan Studio, Pembangunan Perumahan Bersaiz Kecil dan Perumahan Transit Muda (PETEMU) sepenuhnya kepada pihak swasta sebagai agensi pelaksana (m/s TP4-20) adalah sesuatu yang bermasalah. Pihak korporat swasta yang mengutamakan keuntungan tidak dapat menyediakan perumahan sedemikian yang mampu dihuni oleh golongan anak muda. Lebih-lebih lagi, adalah tidak masuk akal juga mempertanggungjawabkan pihak swasta untuk menyediakan garis panduan khusus bagi perumahan bersaiz kecil (m/s TP4-20). Perkara ini harus diambil alih, diselaraskan dan dipantau oleh agensi kerajaan seperti Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), dan menjadikannya salah sejenis rumah sewa awam bagi golongan berpendapatan rendah.
6. Kami mengalu-alukan pengekalan pewartaan Middle Bank Marine Sanctuary sebagai kawasan perlindungan marin (m/s TP5-10 dan B6-13), tetapi adalah tidak masuk akal bagi kita melindungi satu-satunya kawasan dataran rumpai (seagrass meadow) di Selat Melaka yang mempunyai kepentingan ekologi tinggi sedangkan masih membenarkan penambakan laut di sepanjang kawasan pesisir pantai di bahagian timur pulau yang bakal memusnahkan ekologinya, termasuk cadangan penambakan laut yang ditandakan di dalam lingkungan Middle Bank Marine Sanctuary (seperti yang ditunjukkan dalam Pelan 6.3). Oleh itu, penambakan tidak harus dibenarkan sama sekali di kawasan perairan di dalam dan berdekatan dengan Middle Bank Marine Sanctuary.
7. Terdapat beberapa cadangan “projek berimpak tinggi” (m/s B6-13 – B6-15) yang melibatkan pembinaan lebuh raya (seperti Lebuhraya Lingkaran Pantai Pulau Pinang, Lebuhraya Hubungan Tengah Bertam – Sungai Dua – Simpang Ampat, Lintasan Pulau Pinang Ketiga, Terowong Balik Pulau – Paya Terubong dan Lebuhraya Bertingkat Batu Kawan ke Lebuhraya Bertingkat Juru – Sg Dua) yang dikatakan bertujuan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas. Pembinaan lebih banyak lebuh raya bukannya pendekatan yang mampan dalam usaha menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang. Punca utama kesesakan lalu lintas ialah terlalu banyak kenderaan persendirian yang bergerak di jalan raya, dan pembinaan lebih banyak lebuh raya hanya akan membolehkan lebih banyak kereta persendirian berada di jalan raya, lalu tujuan pengurangan kesesakan lalu lintas itu tidak tercapai. Cara yang berkesan untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas ialah mengurangkan kenderaan persendirian di jalan raya, dengan meningkatkan sistem pengangkutan awam secara ketara, bukan sahaja melalui pembinaan laluan rel, tetapi juga menambah laluan bas di seluruh negeri Pulau Pinang, mewujudkan lorong khas untuk bas di jalan-jalan utama dan menaik taraf laluan pejalan kaki bagi memudahkan akses kepada pengangkutan awam.
8. Kami membantah cadangan projek Terowong Balik Pulau – Paya Terubong (m/s B6-14). Ini kerana projek ini akan melibatkan penggalian terowong menerusi kawasan bukit yang mempunyai garis sesar (fault line) pada batuan dasarnya. Ia tidak boleh dikatakan “laluan alternatif yang lebih stabil dan selamat” jika terowong itu dibina di bukit yang terdapat garis sesar yang tidak stabil.
9. Kami membantah cadangan projek Lintasan Pulau Pinang Ketiga. Pulau Pinang tidak perlu satu lagi lintasan merentasi selat, jika dapat meningkatkan pengangkutan awam merentasi selat, termasuk perkhidmatan feri dan pewujudan/penambahan laluan bas yang menyambungkan lokasi-lokasi strategik antara bahagian pulau dengan Seberang Perai.
10. Kami membantah cadangan projek “The Penang Gateway” (m/s B6-14) yang melibatkan penambakan laut di kawasan persisir pantai dari Tanjong Bungah hingga ke Batu Feringghi. Kawasan pantai ini sudah mengalami masalah hakisan yang teruk, dan satu lagi projek pembangunan bercampur berskala besar akan memusnahkan kawasan pantai yang pernah menjadi kebanggaan rakyat Pulau Pinang. Tambahan pula, tiada sebab untuk melaksanakan pembangunan berskala besar di sepanjang pantai utara bahagian pulau memandangkan sudah wujudnya pusat ekonomi utama di kawasan konurbasi George Town yang lebih besar. Tambahan pula, ia bercanggah dengan Strategi Pembangunan PK1-1 tentang “Pembangunan Wilayah Seimbang” (m/s TP4-9) dengan membangunkan kawasan yang sudah tepu dibangunkan.
11. Berkenaan Strategi Perancangan PU2-1 mengenai “Peningkatan Tahap Aksesibiliti dan Kesalinghubungan Rangkaian Pengangkutan Awam Darat dan Laut” (TP3-16), kami ingin mencadangkan pewujudan perkhidmatan feri penumpang awam yang mengelilingi seluruh pulau dan laluan tambahan feri penumpang yang menghubungkan pulau dengan Seberang Perai, dengan perkhidmatannya berintegrasi dalam rangkaian pengangkutan awam (terutamanya bas awam) yang terselaras.
