oleh K. Kunasekaran

Parti Sosialis Malaysia (PSM) Perak mengambil maklum dan merujuk kepada  kenyataan Parti Tindakan Demokratik (DAP) Perak yang mahu parti itu kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal atas alasan untuk menunaikan mandat rakyat, melaksanakan reformasi, mengekalkan kestabilan politik dan meraih semula keyakinan rakyat.

Namun, bagi PSM Perak, perkara yang lebih penting ialah mengapa keyakinan rakyat perlu diraih semula?

Kenyataan DAP Perak sendiri menyebut bahawa parti itu perlu terus membuktikan kemampuan melalui pencapaian dan prestasi kerja supaya tidak menghampakan harapan rakyat. Ini menunjukkan bahawa DAP sendiri menyedari bahawa masih terdapat jurang antara harapan rakyat dengan pencapaian yang telah dicapai.

PSM Perak berpandangan bahawa keputusan untuk terus kekal dalam kerajaan tidak semestinya akan mengembalikan sokongan rakyat. Apa yang lebih penting ialah, DAP dan Kerajaan Perpaduan perlu menilai secara jujur punca kemerosotan sokongan rakyat terhadap Pakatan Harapan dan DAP dalam beberapa pilihan raya negeri kebelakangan ini, termasuk di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan.

Kekalahan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, di kawasan DUN Chennah dalam Pilihan Raya Negeri Sembilan juga merupakan satu isyarat politik yang tidak boleh dipandang ringan. Perkembangan ini sepatutnya mendorong DAP untuk melihat dengan lebih serius mengapa sebahagian rakyat yang pernah memberikan sokongan kini memilih untuk mengundi parti lain.

Rakyat tidak menilai sesebuah parti berdasarkan slogan semata-mata. Rakyat menilai berdasarkan tindakan dan hasil yang dapat dirasai dalam kehidupan seharian. Kos sara hidup, gaji yang tidak seimbang dengan kenaikan harga barang, peluang pekerjaan, perumahan mampu milik, pengangkutan awam, perkhidmatan kesihatan awam dan pelaksanaan reformasi institusi masih menjadi antara isu utama yang dihadapi rakyat.

PSM Perak juga berpandangan bahawa reformasi tidak boleh hanya dijadikan slogan politik. Reformasi perlu diterjemahkan kepada perubahan dasar yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, khususnya pekerja, petani, peniaga kecil dan golongan berpendapatan rendah. Menjadikan Perikatan Nasional atau mana-mana parti lain sebagai ancaman juga tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengelakkan penilaian terhadap kelemahan sendiri.

Jika DAP benar-benar mahu meraih semula keyakinan rakyat, parti itu perlu menilai semula prestasi kerajaan, mengenal pasti kelemahan yang wujud serta berani mengakui kegagalan yang berlaku. PSM Perak percaya bahawa kestabilan politik memang penting. Tetapi kestabilan politik tanpa perubahan yang dapat dirasai rakyat adalah tidak memadai.

Rakyat mahu melihat hasil, bukan sekadar mendengar janji untuk melaksanakan reformasi. Undi rakyat bukanlah deposit kekal untuk mana-mana parti. Rakyat bijak menilai prestasi dan tindakan sesebuah kerajaan. Apabila harapan mereka tidak dipenuhi, rakyat tidak akan teragak-agak untuk melakukan perubahan melalui peti undi.

Oleh itu, keputusan untuk kekal dalam kerajaan bukanlah penamat kepada persoalan yang sedang dihadapi DAP. Sebaliknya, ia merupakan tanggungjawab yang lebih besar untuk membuktikan kepada rakyat bahawa keputusan tersebut benar-benar membawa perubahan dan manfaat kepada mereka.

===========

K. Kunasekaran ialah Ahli Jawatankuasa PSM Perak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *