
oleh Cecilia Anthonysamy
Kita perlukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berani bercakap benar, yang memihak kepada rakyat biasa, yang tidak perlu menjaga kepentingan mana-mana pihak atasan.
Walaupun ekonomi pesat berkembang di Johor, kita perlu memastikan adanya ADUN yang membawa suara rakyat biasa supaya mereka turut menikmati keuntungan seperti yang diraih oleh pihak korporat, pelabur dan elit.
Kebimbangan utama rakyat Johor ialah kos sara hidup yang sangat tinggi, walaupun KDNK Johor bertumbuh pesat. Laporan The Edge pada 1 Jun 2026 menunjukkan bahawa seorang yang hidup sendiri di Johor Bahru perlu sekurang-kurangnya RM3,500 sebulan untuk hidup selesa, manakala keluarga yang mempunyai anak-anak perlu lebih daripada RM4,500 sebulan barulah dapat menampung kos sara hidup.
Gaji yang berpatutan selaras dengan kos sara hidup
Parti Sosialis Malaysia (PSM) sentiasa berpihak pada golongan pekerja. PSM sentiasa berjuang menuntut perubahan dalam sistem ekonomi supaya pekerja dibayar gaji yang lebih berpatutan selaras dengan kos sara hidup.
Ini kerana ideologi sosialisme menghormati maruah pekerja . Segala hasil kerja terbentuk kerana kerja keras oleh pekerja yang menghasilkan produk, menggunakan tangan, menggunakan mesin ataupun hasil daripada buah fikiran pekerja. Jadi, keuntungan daripada hasil jualan produk haruslah dikongsi dengan lebih adil antara majikan dan pekerja.
Pada masa ini, pekerja hanya menerima 30% daripada keuntungan syarikat, berbanding 50-60% di negara Britain dan Jerman. (KRI) Ini tidak adil dan perlu suara yang berani untuk membangkitkan perkara ini di DUN.
Lagipun, menurut ideologi sosialisme, semua pekerja harus dibayar mengikut keperluan kos hidup. Gaji harus cukup untuk menampung kos rumah selesa, pendidikan, kesihatan, pengangkutan dan makanan yang sihat.
PSM sentiasa berjuang untuk kelestarian alam sekitar.
Pusat data sangat dekat dengan rumah – Perlu ADUN yang berani melindungi hak rakyat
Pusat data sedang pesat dibangunkan di Sedenak, Kulai dan Iskandar Puteri. Johor kini mempunyai 65 buah pusat data, dengan 20 buah telah mula beroperasi, 8 buah sedang dibina dan 37 buah lagi telah diluluskan untuk pembinaan. (The Edge, 1 Jun 2026) PSM akan mempersoalkan isu ini di DUN untuk melindungi rakyat daripada akibat pencemaran alam sekitar dan juga penggunaan air serta elektrik yang amat tinggi untuk pusat-pusat data ini sekiranya dibina lebih banyak lagi.
Pada tahun 2024, syarikat China ZData, yang beroperasi di Malaysia di bawah anak syarikat Computility Technology, dan syarikat Jepun, NTT Data Group, telah membeli tanah seluas 43.5 hektar berdekatan Taman Nusa Bayu di Iskandar Puteri untuk membina pusat data masing-masing. (Asia News Network, 25 Jun 2026)
Penduduk Taman Nusa Bayu berasa susah hati kerana pihak pemaju telah meratakan bukit yang cantik berdekatan rumah mereka. Mereka menderita akibat debu dan gegaran di rumah mereka, dan terpaksa berprotes di hadapan Pejabat Menteri Besar Johor pada 7 Feb 2026.
Di Taman Nusantara Prima, pagar penghadang pembinaan pusat data (construction hoardings) didirikan di tempat yang sangat dekat dengan belakang rumah penduduk. Penduduk menghadapi ancaman banjir kilat dan dinding rumah retak akibat gegaran daripada kerja cerucuk (piling). Binatang liar, seperti babi hutan dan ular, kerap dilihat masuk ke taman perumahan itu.
Pusat data makan bekalan elektrik
Pusat data di Johor dijangka akan menggunakan 40% daripada bekalan elektrik di negeri itu menjelang tahun 2035, menurut amaran yang diberi oleh syarikat data dan analisis global Wood Mackenzie (WoodMac) (The Edge, 18 Jun 2026), peningkatan sebanyak 24%. Ini akan memberi tekanan kepada infrastruktur grid.
Tiada perbincangan dengan penduduk
Kerajaan Negeri Johor tidak melakukan perbincangan dengan penduduk-penduduk kerana tidak menghormati martabat dan hak rakyat biasa, sebaliknya hanya mengejar keuntungan bagi pelabur-pelabur yang kaya raya.
ADUN Kota Iskandar, Pandak Ahmad, telah menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Johor sepatutnya berbincang terlebih dahulu dengan rakyat setempat sebelum membina pusat data. Kenapa beliau sendiri, yang merupakan anggota parti dalam Kerajaan Negeri Johor tidak melakukannya sebelum ini? (NST, 12 Mac 2026). Kerja ADUN adalah mewakili suara rakyat di DUN. Parti Sosialis Malaysia akan pasti menyuarakan kebimbangan rakyat.
Kerajaan Negeri Johor telah memperoleh pelaburan sebanyak RM182.96 bilion setakat bulan November 2025 (Asia News Network, 25 Jun 2026). Berapa banyak hasil keuntungan pelaburan ini akan mengalir ke bawah kepada rakyat biasa? Dalam sistem kapitalis, kebanyakan keuntungan hanya kekal di tangan pihak atasan. Kita perlu sistem ekonomi yang lebih adil seperti yang diperjuangkan oleh PSM, di mana lebih banyak keuntungan dikongsi secara bersama dengan rakyat biasa.
Jika kita mahu ADUN yang berani dalam menganalisis pertumbuhan ekonomi dan mengutamakan keperluan rakyat, pilihlah calon PSM supaya dapat membawa suara anda ke dalam Dewan Undangan Negeri Johor untuk membantah program Kerajaan Negeri yang memudaratkan rakyat.

==========
Cecilia Anthonysamy ialah seorang ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM).
