
SKUDAI, JOHOR – 1 JULAI 2026: Amir Syafiq Ameer Soekre, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk kerusi DUN N48 Skudai dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026, mengisytihar harta yang dimilikinya dan melafazkan ikrar anti-rasisme dalam satu sidang akhbar media khas yang diadakan di Pasar Awam Taman Ungku Tun Aminah (TUTA) pada hari ini.
PSM sentiasa berpegang kepada prinsip keterbukaan dalam isu pengumpulan harta. PSM merupakan parti politik pertama di Malaysia yang semua calonnya mengisytihar harta. Amalan ini dimulakan oleh Dr. Jeyakumar Devaraj, yang bertanding buat pertama kali di kawasan Parlimen Sungai Siput pada tahun 1999.
Selepas Dr. Jeyakumar dipilih sebagai Ahli Parlimen kawasan Sungai Siput dan Dr. Nasir Hashim dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor yang mewakili kawasan Kota Damansara pada tahun 2008, mereka mengisytihar harta setiap tahun untuk disemak oleh orang ramai. Pengisytiharan harta oleh calon pilihan raya dan kemudiannya dilakukan secara tahunan oleh wakil rakyat yang dipilih, merupakan satu pendekatan yang membolehkan rakyat menyemak, memantau dan menilai sama ada seseorang ahli politik itu menyalahgunakan jawatan wakil rakyat yang diamanahkan oleh rakyat untuk menyeleweng dan mengumpul harta kekayaan bagi diri sendiri.
Selepas PSM lama mengamalkan pengisytiharan harta calon pilihan raya dan pengisytiharan harta wakil rakyat secara tahunan, barulah parti-parti politik lain mengikuti jejak langkah PSM tetapi kebanyakannya masih tidak konsisten dalam amalan ini.
Dalam surat akuan berkanun yang dikemukakan oleh Amir semasa pengisytiharan hartanya, dia mempunyai simpanan wang sebanyak RM135,464.69, termasuk RM131,890.55 dalam akaun Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP). Amir hanya memiliki sebuah kereta model Proton Exora dengan anggaran harga semasa kira-kira RM15,000. Jumlah hutangnya pula ialah RM68,817.87 setakat 29 Jun 2026. Anggaran pendapatan bulanan Amir ialah RM3,074.
Surat akuan pengisytiharan harta oleh Amir, calon PSM untuk kerusi DUN N48 dalam PRN Johor 2026
Selain mengisytiharkan harta, Amir juga melafazkan ikrar anti-rasisme yang menjanjikan bahawa dia tidak akan memainkan apa-apa isu perkauman untuk meraih undi atau sokongan daripada rakyat sepanjang kempen pilihan raya.
“Diskriminasi kaum dan politik perkauman bagaikan sebuah penyakit kronik yang menghancurkan masyarakat Malaysia pada masa ini,” kata Amir. “Saya akan menjauhi diri daripada mempergunakan apa-apa unsur perkauman dalam semua aktiviti kempen pilihan raya, termasuk ceramah, komen, kenyataan akhbar, tulisan media sosial, risalah, sepanduk atau apa-apa bahan kempen lain, yang akan mendiskriminasi atau mewujudkan kebencian terhadap sesuatu kaum yang lain atau warga migran.”
“Saya juga akan memastikan bahawa semua aktiviti dan perjuangan kami adalah berdasarkan kelas masyarakat, bukannya berdasarkan warna kulit dan kaum,” tegas kata Amir. “Kumpulan sasar manifesto dan perjuangan kami adalah berdasarkan kaum tertindas tanpa mengira warna kulit. Jika saya berjaya dipilih sebagai ADUN, saya akan mengusulkan sebuah rang undang-undang kesaksamaan.”




