
SKUDAI, JOHOR – 27 JUN 2026: Tirai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026 dibuka pada hari ini, dengan suasana di luar 56 buah pusat penamaan calon di seluruh negeri itu dimeriahkan dengan kehadiran penyokong-penyokong parti politik yang mengiringi calon masing-masing ke situ.
Suasana di hadapan SJK(C) Pu Sze, Skudai, Johor Bahru, menjadi hangat apabila Amir Syafiq Ameer Soekre, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) bagi kawasan DUN N48 Skudai, hadir ke pusat penamaan calon itu bersama ahli-ahli dan penyokong-penyokong PSM yang datang dengan penuh bersemangat.

Amir Syafiq, selaku calon tunggal PSM dalam PRN Johor kali ini, menghadapi calon daripada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) dalam pertembungan empat penjuru yang agak sengit.
4 orang calon yang bertanding untuk kerusi DUN N48 Skudai ialah: (mengikut urutan dalam kertas undi)
- Nicol @ Ah Kee (MCA-BN)
- Kartiyaini Jeyapalan (DAP-PH)
- Eugene Chua Meng Chong (BERSAMA)
- Amir Syafiq Ameer Soekre (PSM)

“Dengan sokongan daripada komrad-komrad sekalian, kita PSM akan berjuang di Skudai ini untuk menunjukkan bahawa PSM satu-satunya kuasa yang membawa suara marhaen ke atas,” kata Amir Syafiq kepada penyokong-penyokong PSM yang hadir bersamanya semasa penamaan calon pada hari ini.
Kerusi DUN N48 Skudai telah dimenangi oleh DAP dalam empat pilihan raya yang lalu sejak tahun 2008. Terdapat 106,805 orang pengundi yang berdaftar layak untuk mengundi di kawasan DUN N48 Skudai.
Seramai 172 orang calon daripada pelbagai parti politik bertanding dalam PRN Johor kali ini untuk merebut 56 kerusi DUN Johor. Tiada satu kerusi pun yang menang tanpa bertanding. Pertandingan satu lawan satu disaksikan di 14 kerusi, pertandingan tiga penjuru berlaku di 27 kerusi, pertandingan empat penjuru di 15 kerusi, dan pertandingan lima penjuru pula berlaku di 3 kerusi.
Kedua-dua gabungan parti politik utama BN dan PH bertanding untuk kesemua 56 kerusi. Perikatan Nasional (PN) yang mengalami krisis perpecahan dalam parti komponennya yang utama, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), hanya bertanding untuk 33 kerusi. BERSAMA, yang diterajui oleh mereka yang berpecah keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), bertanding untuk 15 kerusi. Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) bertanding untuk 1 kerusi. Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), yang membentuk Blok Progresif bersama PSM, bertanding untuk 4 kerusi, sementara PSM bertanding untuk 1 kerusi, iaitu N48 Skudai. Selain itu, terdapat 6 orang calon bebas yang bertanding dalam PRN Johor 2026.
Seramai 2,727,926 orang pengundi berdaftar layak untuk mengundi dalam PRN Johor 2026. Hari undi awal ditetapkan pada 7 Julai 2026, sementara hari mengundi jatuh pada 11 Julai 2026.
Berikut ialah sepintas lalu suasana di pusat penamaan calon bagi kawasan DUN N48 Skudai yang ditandingi oleh PSM:











