
oleh Amir Syafiq Ameer Soekre
(Teks ini ialah ucapan yang disampaikan oleh Amir Syafiq semasa pengumuman calon PSM untuk Pilihan Raya Negeri Johor 2026.)
Hari ini landskap politik Malaysia sedang mengalami krisis keyakinan yang amat parah. Di tengah-tengah keghairahan parti-parti arus perdana bergasak merebut kuasa di Putrajaya, wujud sebuah lubang besar yang ditinggalkan, iaitu suara, keluhan, dan maruah kelas pekerja serta rakyat marhaen yang setiap hari dikorbankan demi memuaskan kehendak pasaran dan angka-angka KDNK yang tidak pernah singgah ke poket mereka.
Sebagai calon daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) bagi N48 Skudai, saya berdiri di sini hari ini bukan untuk memberi janji-janji manis. Saya hadir untuk membawa satu analisis yang jujur, satu kritikan yang berani terhadap kegagalan sistem yang sedang mencengkam negara kita, dan menawarkan jalan keluar yang berpaksikan perjuangan kelas dan keadilan sosial.
Kita sering diberitahu bahawa ekonomi negara sedang memulih, bahawa pelaburan asing sedang masuk mencurah-curah, dan projek-projek mega sedang rancak berjalan. Namun, persoalan yang gagal dijawab oleh kerajaan ialah, mana pergi semua itu kepada rakyat?
Realitinya, jurang kelas antara golongan korporat terkaya dengan majoriti rakyat pekerja semakin luas. Kita melihat kos sara hidup naik, harga barangan asas yang tidak lagi masuk akal, dan kos mendapatkan perlindungan kesihatan serta perumahan yang semakin mustahil dicapai oleh anak muda. Ini bukan satu kebetulan atau bencana alam; ini adalah kesan langsung daripada dasar-dasar ekonomi yang diamalkan oleh kerajaan demi kerajaan sebelum ini — dasar yang mengutamakan keuntungan segelintir kecil pemilik modal (kapitalis) berbanding kebajikan majoriti mutlak rakyat.
PSM menegaskan bahawa selagi sistem ekonomi kita memperlakukan keperluan asas manusia — seperti bumbung di atas kepala, ubat-ubatan di hospital dan pendidikan anak-anak — sebagai komoditi untuk diperdagangkan dan dikaut keuntungan, selagi itulah rakyat marhaen akan terus ditindas. PSM menolak budaya politik korporat ini. Kami tidak berhutang budi dengan mana-mana jutawan. Komitmen dan kesetiaan kami adalah 100% kepada kelas pekerja.
Selama berdekad-dekad, elit politik menggunakan taktik kuno yang paling berkesan untuk mengekalkan kuasa mereka, iaitu Politik Pecah dan Perintah. Mereka melaga-lagakan rakyat dengan menggunakan sentimen kaum dan agama.
Kenapa mereka lakukan ini? Supaya rakyat tidak sedar bahawa musuh sebenar mereka bukanlah jiran mereka yang berbeza warna kulit atau cara beribadat. Musuh sebenar ialah sistem yang membiarkan seorang pemandu lori, seorang pekerja kilang, seorang rider e-hailing dan seorang peniaga kecil-kecilan tanpa mengira kaum terus
bekerja keras 14 jam sehari hanya untuk terus hidup, sementara golongan elit mengaut keuntungan berbilion-bilion ringgit.
Sudah tiba masanya kita memecahkan tembok perkauman ini. Masalah kita adalah masalah kelas. Penderitaan kita adalah penderitaan yang sama. Dan jawapan kepada penindasan ini adalah solidariti tanpa mengira warna kulit.
Akhir kata, undi kepada Parti Sosialis Malaysia dan Blok Progresif bersama Parti MUDA dalam pilihan raya ini bukan sekadar undi untuk memilih seorang wakil rakyat. Ia adalah satu kenyataan politik yang berani. Ia adalah isyarat jelas kepada kelas penguasa bahawa rakyat sudah muak dengan lakonan, sudah jemu dengan kompromi yang merugikan, dan sudah sedia untuk membina sebuah sistem alternatif.
Ada parti derita dalam perjuangan, tetapi PSM adalah sebuah parti yang gembira. Gembira untuk bersolidariti bersama rakyat.
Hidup rakyat! Hidup perjuangan! Hidup PSM!
==========
Amir Syafiq Ameer Soekre ialah Setiausaha PSM Johor dan calon PSM untuk kawasan DUN N48 Skudai dalam Pilihan Raya Negeri Johor 2026.
