
oleh Gandipan Nantha Gopalan dan Cheong Huei Ting
Parti Sosialis Malaysia Petaling Jaya (PSM PJ) menyatakan kebimbangan dan menyuarakan bantahan terhadap cadangan garis panduan Kerajaan Negeri Selangor yang mengenakan sekatan fizikal serta menghalang pembinaan Rumah Ibadat Selain Islam (RISI) di zon komersial baharu. Cadangan ini bercanggah dengan undang-undang tertinggi negara, iaitu Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama di bawah Perkara 11(1).
Kami membantah sekatan ini kerana ia mendatangkan impak negatif terhadap perpaduan dan keharmonian sosial. Alasan kerajaan yang hanya menumpukan kepada isu “kesesakan lalu lintas dan parkir” adalah sangat dangkal dan tidak munasabah berbanding kepentingan ruang komuniti.
1. Memburukkan masalah kekurangan tanah untuk RISI
Selama berpuluh tahun, komuniti bukan Islam di Selangor terpaksa beribadat di lot-lot kedai kerana kekurangan tanah yang diwartakan untuk tujuan keagamaan. Tindakan kerajaan untuk mengharamkan RISI di zon komersial tanpa menyelesaikan punca utama, iaitu isu kekurangan tanah, adalah satu tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab.
2. Garis panduan yang tidak rasional akan menggugat keharmonian kaum
Garis panduan yang ditangguhkan sebelum ini mengandungi peruntukan yang melarang ketinggian RISI melebihi masjid berhampiran tanpa sebarang alasan kukuh. Ramai rakyat melihat ini sebagai langkah yang merendahkan martabat rumah ibadat bukan Islam. Keputusan ini berisiko ditafsirkan sebagai gerakan politik untuk menekan hak minoriti agama dalam membina tempat ibadat yang bermaruah dan kekal.
3. Menyekat ruang komuniti dan hubungan sosial
Di kawasan bandar, ruang awam percuma seperti taman, pusat komuniti, dan perpustakaan sangat terhad. Rumah ibadat adalah antara beberapa “ruang ketiga” (third space) yang tinggal untuk aktiviti sosial seperti sambutan perayaan, kelas agama dan kerja amal bagi rakyat daripada pelbagai latar belakang ekonomi. Kalau RISI dihalang daripada dibina di kawasan komersial, ia akan mengurangkan aktiviti pembinaan komuniti yang penting untuk kemajuan negara.
Sebaliknya, pembinaan RISI di kawasan perumahan pula akan mencetuskan masalah berikut:
(1) Memadatkan kawasan perumahan dengan masalah parkir dan keselamatan;
(2) Menimbulkan gangguan dan kesulitan kepada penduduk setempat;
(3) Melebarkan jurang ketidaksamaan sosial kerana hanya komuniti kaya yang mampu mengubah rumah kediaman menjadi tempat ibadat.
Cadangan penyelesaian daripada PSM
Sensitiviti agama mesti diutamakan. Kerajaan perlu melaksanakan penyelesaian yang lebih adil dan rasional, seperti:
- Dialog terbuka: Bersemuka dengan komuniti agama, jawatankuasa kuil/gereja, dan majlis agama untuk memastikan penggubalan dasar yang inklusif.
- Selesaikan isu tanah segera: Menjamin hak tanah untuk rumah ibadat yang telah lama wujud bagi mengelakkan komen perkauman dan menghormati nilai sejarah tempat tersebut.
- Permudahkan urusan birokrasi: Mempercepatkan proses permohonan tanah untuk pembinaan RISI dan memberikan kuota yang adil bagi setiap komuniti.
- Syarat yang adil: Jika sekatan benar-benar perlu, ia haruslah munasabah, seperti mengehadkan jumlah kehadiran serentak atau syarat berkaitan jarak dari kawasan penyembelihan haiwan.
Kerajaan Negeri Selangor mesti bertindak rasional dan adil. Negeri yang moden dan inklusif tidak sepatutnya mentadbir komuniti bukan Islam melalui sekatan dan gimik politik.
==========
Gandipan Nantha Gopalan ialah Pengerusi PSM Petaling Jaya. Cheong Huei Ting ialah Setiausaha PSM Petaling Jaya.
