oleh Cheong Huei Ting
PSM Petaling Jaya (PSM PJ) mengecam sikap Kerajaan Negeri Selangor yang mengabaikan keperluan rakyat demi mengutamakan pelaburan asing. Ini jelas ditunjukkan dengan pelancaran pusat data NEXTDC Kuala Lumpur Data Centre (KL1) pada pertengahan bulan Mei 2026 oleh Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Menteri Digital Gobind Singh Deo di Seksyen 51A, Petaling Jaya, namun Kerajaan MADANI masih belum melaksanakan komitmen mereka untuk membina hospital awam di Petaling Jaya.
Ketiadaan hospital awam di Petaling Jaya memaksa penduduk terpaksa memandu jauh ke Shah Alam atau Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan. Situasi ini menyumbang kepada kesesakan melampau di hospital-hospital tersebut dan memberi tekanan melampau (burnout) kepada pekerja kesihatan. Ditambah pula dengan lonjakan kos perubatan dan premium insurans baru-baru ini, semakin ramai golongan T20 kini turut beralih ke hospital kerajaan, sekali gus meningkatkan lagi beban sedia ada yang ditanggung oleh kumpulan M40 dan B40. Situasi ini jelas membuktikan bahawa pembinaan sebuah hospital awam di Petaling Jaya amat mendesak.
Sementara itu, kepesatan industri pusat data di Malaysia mula mencetuskan kebimbangan kritikal terhadap sumber negara termasuk: tekanan melampau ke atas grid elektrik, risiko krisis bekalan air setempat, serta tawaran peluang pekerjaan tempatan yang terhad. Sebuah pusat data berkapasiti 100 MW sahaja menelan kira-kira 4.16 juta liter air sehari—bersamaan dengan jumlah penggunaan harian sebuah bandar kecil berpenduduk 10,000 orang; pusat data NEXTDC yang berkapasiti 65 MW juga dianggarkan bakal menggunakan sehingga 2.7 juta liter air setiap hari.
Lebih mengecewakan, soalan rakyat tentang hospital awam di media sosial dijawab dengan alasan seperti “tiada tanah yang sesuai” atau “masih mencari tanah”, malah diperlekehkan oleh Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudi Shari. Sikap ini menyerlahkan keangkuhan dan ketiadaan iltizam politik (political will) Kerajaan Negeri Selangor untuk menjaga kebajikan rakyat Petaling Jaya. Sebagai parti yang telah mentadbir Selangor sejak tahun 2008, alasan-alasan sedemikian tidak boleh diterima.
PSM Petaling Jaya bersama warga Petaling Jaya tegas menuntut agar kerajaan memberikan penjelasan terhadap persoalan-persoalan yang telah dibangkitkan melalui kenyataan bertarikh 15 Mei 2026 seperti berikut:
- Status sebenar cadangan Hospital Petaling Jaya;
- Garis masa pelaksanaan projek;
- Bentuk dan kapasiti hospital yang dirancang;
- Jaminan bahawa projek ini tidak akan ditangguhkan atas alasan fiskal atau perubahan dasar pada masa hadapan.
PSM Petaling Jaya berharap agar Kerajaan MADANI Selangor tampil memberikan jawapan yang bernas, telus dan berpihak kepada kebajikan rakyat Petaling Jaya. Selagi tiada penyelesaian dan komitmen yang jelas diberikan, persoalan-persoalan ini akan terus dibangkitkan demi kepentingan rakyat.
==========
Cheong Huei Ting ialah Setiausaha PSM Petaling Jaya.
