
oleh Gandipan Nantha Gopalan
PSM Petaling Jaya memandang serius keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tidak meneruskan projek pembinaan Hospital Maran yang pernah diluluskan sejak tahun 2018. Projek bernilai RM350 juta itu diumumkan sebagai keperluan penting untuk penduduk Maran, namun selepas bertahun-tahun menunggu, kerajaan kini menyatakan bahawa ia tidak lagi menjadi keutamaan atas alasan kadar penggunaan katil hospital berhampiran masih rendah.
Situasi ini menimbulkan persoalan besar kepada rakyat Petaling Jaya. Jika pembinaan sebuah hospital yang sudah diluluskan boleh ditangguhkan tanpa kepastian selepas hampir lapan tahun, berapa lama pula rakyat Petaling Jaya perlu menunggu untuk Hospital Petaling Jaya menjadi kenyataan?
Petaling Jaya merupakan antara bandar yang paling padat penduduk dan pesat membangun di negara ini, namun masih kekurangan hospital kerajaan yang mudah diakses oleh rakyat biasa. Hampir semua hospital di kawasan ini adalah hospital swasta yang tidak mampu ditanggung oleh golongan pekerja dan B40. Penduduk Petaling Jaya terpaksa bergantung kepada Hospital Sungai Buloh, Hospital Shah Alam dan hospital-hospital lain yang sudah pun sesak.
Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini menyatakan persetujuan untuk membina hospital kerajaan di Petaling Jaya dan beberapa lokasi sudah dikenal pasti. Namun sehingga hari ini, rakyat masih belum diberikan garis masa yang jelas mengenai status projek tersebut. Adakah projek ini benar-benar akan diteruskan atau akan menerima nasib yang sama seperti Hospital Maran?
PSM Petaling Jaya menggesa kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri untuk memberikan penjelasan terbuka kepada rakyat mengenai:
- Status sebenar cadangan Hospital Petaling Jaya;
- Garis masa pelaksanaan projek;
- Bentuk dan kapasiti hospital yang dirancang;
- Jaminan bahawa projek ini tidak akan ditangguhkan atas alasan fiskal atau perubahan dasar pada masa hadapan.
Kesihatan awam bukan isu yang boleh ditangguhkan mengikut perubahan politik atau keutamaan semasa. Rakyat Petaling Jaya memerlukan sebuah hospital kerajaan yang mudah diakses dan mampu memenuhi keperluan penduduk yang semakin meningkat. Kerajaan harus memberi komitmen yang jelas dan telus supaya rakyat tidak terus menunggu tanpa kepastian.
==========
Gandipan Nantha Gopalan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Pengerusi PSM Petaling Jaya.
