oleh Gandipan Nantha Gopalan

Kerajaan Negeri Selangor sedang mempertimbangkan kenaikan kadar sewa di PPR Lembah Subang 1, Petaling Jaya daripada RM124 sebulan susulan pengambilalihan pengurusan PPR tersebut oleh Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB).

PSM mengecam tindakan ini sekeras-kerasnya.

PPR ini wujud untuk satu sebab sahaja: untuk memberikan rakyat Malaysia termiskin, iaitu golongan B40, akses kepada perumahan bermaruah pada harga yang mampu.

Tiga ribu orang penghuni tinggal di PPR Lembah Subang 1 bukan kerana menginginkan kemewahan. Mereka tinggal di sana kerana telah digagalkan oleh pasaran perumahan.

Rumah yang dikategorikan sebagai mampu milik pun tidak terjual, kerana tidak mampu dibeli oleh golongan berpendapatan rendah dan pertengahan.

Dalam konteks ini, menaikkan kadar sewa PPR ibarat menendang mereka yang sudah jatuh.

Gaji sebenar di Malaysia telah susut tiga kali ganda, mengikut kata bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Muhammad Ibrahim. Pendapatan sebenar kaum pekerja menurun sementara kos sara hidup meningkat.

Pada tahun 2018, BNM sendiri berkata bahawa seseorang itu memerlukan RM2,700 sebulan untuk hidup di Kuala Lumpur. Pada tahun 2026, gaji minimum masih RM1,700.

Ini bukan statistik abstrak. Inilah realiti penghuni PPR di seluruh Malaysia.

Apa yang lebih mengecewakan adalah siapa di sebalik tindakan ini. Kerajaan Pakatan Harapan yang berkuasa di Selangor dan Putrajaya. Presidennya merupakan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Selama bertahun-tahun, PSM dan pihak lain telah mendesak kerajaan untuk mengenakan cukai kekayaan, cukai warisan dan cukai keuntungan modal ke atas saham tersenarai. Kami sudah bertanya kenapa kadar cukai korporat tidak mengikut keperluan rakyat.

Nampaknya, adalah lebih senang untuk kerajaan memeras beberapa ringgit daripada penghuni PPR daripada mencukai mereka yang berada.

PSM mendesak Kerajaan Selangor agar segera membatalkan apa-apa rancangan untuk menaikkan kadar sewa PPR.

Jika peruntukan diperlukan untuk kos pengurusan dan penyelenggaraan—dan kami terima bahawa ia memang diperlukan—ia patut dibiayai melalui peruntukan awam, termasuk RM2.3 juta yang sudah diterima daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Kenakan cukai ke atas golongan kaya. Jangan paksa golongan miskin membayar untuk krisis yang bukan buatan mereka.

===========

Gandipan Nantha Gopalan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *