oleh Gandipan Nantha Gopalan dan Cheong Huei Ting

Parti Sosialis Malaysia (PSM) Cawangan Petaling Jaya menyambut baik pengumuman bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengenal pasti Kompleks Sukan Taman Medan sebagai tapak berpotensi untuk pembinaan hospital awam baharu di Petaling Jaya. Ini adalah satu kemenangan bagi seluruh warga Petaling Jaya dan juga kawasan berhampiran seperti Puchong dan Subang Jaya, serta para pekerja, keluarga, dan komuniti yang sekian lama tidak ada akses kepada perkhidmatan kesihatan awam, di salah sebuah bandar yang paling padat di negara ini.

PSM Petaling Jaya konsisten dalam menyuarakan tuntutan ini melalui perbualan dan turun padang di kawasan perumahan sekitar Petaling Jaya. Ahli-ahli kami mendengar keluhan penduduk tentang beban tiada hospital awam di kawasan ini serta kekurangan sistem kesihatan awam. 

Kenyataan kami pada awal Mei 2026 yang bertajuk “Jangan jadikan nasib Hospital Petaling Jaya seperti Hospital Maran” telah memberi amaran kepada kerajaan agar tidak menjadikan isu kesihatan sebagai agenda politik sampingan semata-mata ataupun Hospital Petaling Jaya yang baharu mungkin berisiko terbiar seperti Hospital Maran.

Kami berasa lega kerana tekanan kolektif ini telah membuahkan hasil. Kami berterima kasih kepada para penyokong, rakan-rakan seperjuangan, dan seluruh masyarakat yang berani bersuara serta menyebarkan kesedaran tentang isu ini. 

Bagaimanapun, pengumuman ini bukan titik penamat perjuangan kami.

Kami menggesa kerajaan untuk mengumumkan garis masa projek ini secara telus kepada orang ramai, dari tarikh permulaan pembinaan sehingga tarikh pelancaran hospital awam ini. Warga Petaling Jaya sudah terlalu lama menunggu dan janji-janji kosong tidak lagi mencukupi.

Kami juga mengulangi tuntutan kami agar kadar bayaran pesakit di PPUM (Hospital Universiti Malaya) diturunkan semula ke paras sebelum tahun 2025, sekurang-kurangnya sehingga hospital baharu ini beroperasi. Kenaikan kos yang dikuatkuasakan telah menambah beban kewangan pesakit biasa yang tidak ada pilihan tempat rawatan lain. Langkah ini mesti ditarik balik segera.

Selain itu, PSM menolak sekeras-kerasnya pendekatan penjimatan (austerity) dalam perkhidmatan awam. Sektor kesihatan dan pendidikan tidak boleh dikorbankan atas alasan kekangan bajet. Sekiranya Kerajaan Persekutuan memerlukan lebih banyak ruang fiskal, mereka harus melaksanakan reformasi cukai korporat dan meningkatkan cukai terhadap golongan mahakaya, dan bukannya memeras rakyat biasa yang miskin dan sakit.

Walaupun kita merayakan perkembangan positif di Petaling Jaya ini, kita tidak boleh melupakan nasib Hospital Maran. Setiap projek hospital awam dan Klinik Kesihatan yang ditangguhkan atau dibatalkan mesti disemak semula dan dihidupkan kembali. Alasan yang digunakan untuk membatalkan Hospital Maran, iaitu kadar penggunaan katil yang rendah di fasiliti berhampiran, jelas mengabaikan pertumbuhan penduduk masa depan serta kesukaran sebenar yang dihadapi komuniti untuk bergerak jauh demi rawatan. Kami berdiri teguh bersama warga kawasan Maran dan menuntut agar pembinaan hospital mereka dihidupkan semula.

Petaling Jaya masih mempunyai banyak isu lain, seperti peningkatan kos sara hidup, sistem pengangkutan awam yang kurang komprehensif, kekurangan perumahan mampu milik, penyelenggaraan flat kos rendah, dan lain-lain lagi. PSM kini sedang memberikan tumpuan penuh kepada isu-isu ini di peringkat akar umbi. Kami berharap sikap proaktif yang ditunjukkan oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam penyelesaian isu sistem kesihatan awam ini turut diterapkan dalam isu-isu lain untuk mencari penyelesaian sebenar.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) akan terus menuntut akauntabiliti daripada semua peringkat kerajaan, dari Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN), sehinggalah ke pihak berkuasa tempatan (MBPJ). Pengumuman ini hanyalah satu permulaan, bukannya pengakhiran.

==========

Gandipan Nantha Gopalan ialah Pengerusi PSM Petaling Jaya dan Cheong Huei Ting ialah Setiausaha PSM Petaling Jaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *