
oleh Arangkannal Raj
Parti Sosialis Malaysia (PSM) Johor mengecam tindakan Kerajaan Negeri Johor yang meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) untuk melantik lima orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tanpa melalui proses pilihan raya.
Langkah ini merupakan satu tamparan hebat terhadap prinsip demokrasi yang menjadi asas kepada sistem pemerintahan negara.
Dalam sistem demokrasi berparlimen, kuasa memilih wakil rakyat adalah hak mutlak rakyat. Wakil rakyat seharusnya dipilih melalui pilihan raya yang bebas dan adil, bukannya dilantik oleh kerajaan yang memegang kuasa.
Tindakan mewujudkan ADUN lantikan membuka ruang kepada budaya politik elit dan “pintu belakang” yang selama ini ditolak oleh rakyat Malaysia.
Alasan politik
PSM Johor berpandangan bahawa alasan kononnya pelantikan ini bertujuan untuk membawa masuk golongan profesional atau individu berpengalaman hanyalah alasan politik untuk memperkukuhkan kuasa parti pemerintah dalam Dewan Undangan Negeri.
Jika benar kerajaan ingin mendapatkan pandangan pakar, terdapat banyak saluran lain, seperti jawatankuasa penasihat, majlis perundingan atau sesi libat urus awam tanpa perlu memberikan kuasa mengundi dalam DUN kepada individu yang tidak dipilih rakyat.
Lebih membimbangkan, ADUN lantikan ini bakal menikmati kuasa, gaji dan elaun yang sama seperti wakil rakyat yang bertanding dan dipilih melalui pilihan raya. Ini jelas mencabul prinsip keadilan demokrasi.
Hari ini lima orang ADUN, esok?
Rakyat yang berpenat lelah turun mengundi kini melihat suara mereka semakin dipinggirkan oleh permainan politik kuasa.
PSM Johor juga melihat tindakan ini sebagai satu duluan berbahaya. Jika amalan ini diteruskan, tidak mustahil pada masa hadapan lebih ramai wakil yang tidak dipilih akan dimasukkan ke dalam DUN atas alasan “kepakaran,” sedangkan hakikatnya ia boleh digunakan untuk mengukuhkan dominasi politik sesebuah kerajaan.
Demokrasi bukan sekadar soal kestabilan politik. Demokrasi bermaksud kuasa berada di tangan rakyat.
Sebarang usaha melemahkan hak rakyat memilih wakil mereka sendiri adalah satu langkah ke belakang bagi negara yang kononnya mahu bergerak ke arah politik matang dan reformasi institusi.
PSM Johor menyeru seluruh rakyat Johor tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik untuk bangkit mempertahankan prinsip demokrasi.
Hari ini lima ADUN dilantik. Esok mungkin lebih banyak suara rakyat akan diketepikan.
Kerajaan Negeri Johor harus menarik balik pindaan ini dan menghormati prinsip asas demokrasi: “Tiada wakil tanpa mandat rakyat”.
==========
Arangkannal Raj ialah Pengerusi PSM Johor.
