
oleh Nabil
Semalam, Perbendaharaan Malaysia mengumumkan bahawa ia merancang untuk melaksanakan pemotongan RM5.4 bilion daripada belanjawan kesihatan dan pendidikan awam. Pada masa yang sama, subsidi petrol telah melonjak sebanyak RM7 bilion sebulan pada bulan April. Dalam pada ini, syarikat-syarikat besar seperti BP telah melipatgandakan keuntungan mereka kerana perang AS-Iran. Kerajaan Malaysia pula masih tergesa-gesa mengambil langkah-langkah proaktif menjana dana dan mengurangkan beban fiskal.
Bagi rakyat, ia bermakna kekurangan ubat-ubatan, perkhidmatan hospital yang merosot, senarai menunggu yang lebih panjang, dan lebih banyak kematian yang tidak perlu. Golongan atasan tidak akan terkesan. Sebaliknya, rakyat Malaysia biasa yang akan tanggung penderitaan dan kematian. Lebih 70% rakyat Malaysia masih bergantung pada penjagaan kesihatan awam.
Kanak-kanak, pesakit dan warga emas akan paling terkesan.
Adakah ini yang kita mahukan? Kita akan mendengar lebih banyak cerita tentang kanak-kanak yang meninggal dunia, cerita bagaimana keluarga terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada orang tersayang mereka lebih awal. Adakah ini jenis Malaysia yang kita mahukan?
Tatkala hospital dipenuhi pesakit dan sesak, doktor masih bergaji rendah dan bekalan ubat kita akan terjejas teruk oleh kejutan minyak.
Mereka akan berhujah bahawa ini adalah satu keperluan. Jangan tertipu.
Menggambarkan pemotongan ini sebagai tanggungjawab fiskal adalah karut. Subsidi bahan api melonjak tinggi akibat kebergantungan kepada petroleum yang dapat dikurangkan serta-merta dengan arahan bekerja dari rumah. Akan tetapi, kerajaan hanya setakat mendorong pihak swasta untuk mengamalkan bekerja dari rumah sahaja. Gabungan PH dan BN mungkin tidak peduli, dan PN pula gagal menjalankan tanggungjawab sebagai pembangkang. Namun, harus ada yang perlu bangun, dan bersuara menentang ketidakadilan ini!
Baru-baru ini, kita telah membaca laporan tentang bilangan bilionair Malaysia yang meningkat sebanyak 39% menjelang tahun 2031. Menyasarkan perkhidmatan yang paling memanfaatkan kepada golongan miskin bukanlah keputusan politik yang neutral. Ini adalah tindakan MADANI, kedua-dua PH dan BN, secara aktif memilih untuk menyakiti dan membunuh golongan miskin, supaya tidak menganggu golongan atasan yang semakin kaya tanpa halangan.
Untuk mengurangkan bebanan subsidi bahan api, apa yang diperlukan diperlukan juga adalah mengurangkan pemanduan kenderaan persendirian dan pembaziran bahan api fosil. Sekali gus penjimatan ini dapat disalurkan kepada sistem kesihatan awam kita. Cukai yang lebih tinggi juga perlu dikenakan terhadap golongan kaya yang terlindung daripada kesan-kesan negatif ekonomi kita, seperti cukai warisan, cukai kekayaan dan cukai hartanah kosong. Keputusan kerajaan MADANI pula akan menyebabkan lebih banyak kematian, penderitaan dan penyakit dalam kalangan rakyat Malaysia.
Tanggal 1 Mei ini , Parti Sosialis Malaysia berarak warga pekerja di Kuala Lumpur, dari Masjid Negara ke Dataran Merdeka. Parti-parti lain tidak boleh diharapkan untuk memperjuangkan perkara ini. Kita mesti menghantar mesej yang tidak boleh diabaikan oleh mereka. Kami berharap dapat berjumpa anda di sana, bersama kami.
Sama ada kerajaan akan mengubah haluan, atau keadaan akan menjadi semakin teruk bagi kita.
==========
Nabil ialah seorang ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM).
