DEKLARASI 1 MEI 2026
PEKERJA BERSATU – TOLAK PERANG, LAWAN RASUAH

Tahun ini, sambutan Hari Pekerja 1 Mei diselubungi dengan perang yang mengakibatkan krisis ekonomi, rasuah dalam negara yang menghancurkan ekonomi rakyat dan perpaduan rapuh yang mengancam solidariti sesama rakyat serta kaum pekerja. Tema sambutan Hari Pekerja 2026 oleh Jawatankuasa 1 Mei kali ini ialah Pekerja Bersatu – Tolak Perang, Lawan Rasuah.
Kaum pekerja ialah kuasa utama dan benteng pertahanan dalam memelihara kestabilan sejagat dan integriti nasional. Pada ketika ketidaktentuan geopolitik sedunia dan kepincangan dalam tadbir urus negara yang membimbangkan, tema sambutan Hari Pekerja kita menegaskan kekuatan kolektif pekerja bukan sekadar penggerak roda ekonomi, malah juga laungan suara moral untuk menuntut keamanan global dan ekosistem kerja yang bersih daripada rasuah serta penyelewengan. Sebarang konflik antara kaum hanya melemahkan kuasa rakyat untuk menentang rasuah dan peperangan.
Pertelagahan perkauman akan mengalihkan fokus dan memecahbelahkan kaum pekerja daripada menumpu kepada tuntutan nasional yang lebih penting, seperti gaji cukup sara hidup, kawalan harga, pengekalan subsidi, menentang amalan kronisme serta pelanunan korporat yang hanya menguntungkan segelintir kecil orang dan sebagainya.
Tema “Pekerja Bersatu” ialah seruan untuk rakyat berganding bahu dalam menentang perang, rasuah dan perkauman yang menguntungkan penjual senjata dan pemerintah yang berselindung di belakang perpecahan kaum pekerja.
Oleh itu, sempena sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei 2026, kami mengetengahkan tuntutan-tuntutan berikut:
1. Kukuhkan perpaduan
- Segala tindakan yang memecahbelahkan rakyat dengan menggunakan sentimen kaum dan agama harus dibendung.
- Selesaikan masalah perkauman dengan dialog perpaduan.
2. Pekerja tolak perang
- Hentikan perang di Iran, Ukraine, Lubnan, Yaman, Congo dan sebagainya, begitu juga dengan genosid di Palestin.
- Hentikan sokongan kepada pemodal yang mengaut keuntungan daripada peperangan. Kapal perang asing harus ditegah daripada berlabuh di perairan negara ini.
- Peperangan hanya menguntungkan golongan korporat dan elit politik, sementara memangsakan pekerja, termasuk gangguan rantaian bekalan dan kenaikan kos sara hidup akibat inflasi petrol/diesel.
3. Pekerja lawan rasuah
- Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki harus digantung jawatan dan disiasat.
- Tubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat dakwaan mengenai mafia korporat.
- Ketua SPRM harus dilantik dan bertanggungjawab kepada parlimen dan bukan Perdana Menteri seperti sekarang.
4. Hak pekerja
- Gaji minimum yang lebih realistik bagi menangani lonjakan kos sara hidup.
- Jaminan pekerjaan dan penghapusan sistem kontrak: Menuntut pemansuhan sistem kontrak bagi jawatan yang bersifat tetap dan berterusan.
- Skim Pencen Warga Emas Sejagat: Melaksanakan skim pencen bulanan untuk semua rakyat Malaysia yang mencapai usia persaraan.
- Hak kesatuan sekerja: Memudahkan pembentukan kesatuan sekerja dan memberikan perlindungan supaya kesatuan sekerja tidak dimangsakan.
- Hak pekerjaan OKU: Jamin peluang kerja untuk OKU melalui skim pekerjaan khusus bagi membina tenaga kerja yang inklusif dan saksama.
- Iktiraf kerja penjagaan (care work) sebagai sumbangan penting kepada negara: Hargai peranan wanita dan keluarga dalam kerja penjagaan melalui sokongan ekonomi yang nyata.
5. Kesihatan
- Kesihatan percuma dan berkualiti: Tingkatkan peruntukan belanjawan kepada hospital kerajaan untuk memastikan rakyat terus mendapat rawatan percuma yang terbaik. Bina lebih banyak hospital awam dan kenakan moratorium (penangguhan) dalam pembinaan hospital swasta baharu selama 5 tahun bagi menghalang “brain drain” (kehilangan pakar) dari hospital kerajaan ke sektor swasta.
- Hentikan skim Rakan KKM: Membantah pelaksanaan program penswastaan dalam hospital kerajaan (seperti sayap swasta di hospital awam) yang mewujudkan diskriminasi layanan antara pesakit kaya dan miskin.
- Inklusiviti: Memastikan tiada diskriminasi dalam akses kesihatan bagi golongan pelarian, pekerja migran dan komuniti terpinggir.
6. Perumahan
- Jaminan hak perumahan dan moratorium pengusiran paksa: Kerajaan wajib menghentikan serta-merta sebarang tindakan pengusiran paksa terhadap komuniti marhaen, termasuk peneroka bandar, Orang Asal dan pekerja ladang. Sebarang pelan pembangunan harus menyediakan perumahan alternatif sebelum pengusiran dilakukan.
- Kerajaan perlu mengutamakan pelaksanaan Program Perumahan Rakyat (PPR) di lokasi strategik dengan kadar harga beli atau sewaan yang adil, munasabah, dan mampu milik/sewa bagi menjamin hak setiap rakyat untuk rumah kediaman yang selesa.
7. Pekerja migran dan pelarian
- Hak saksama buat pekerja migran: Lindungi pekerja migran daripada eksploitasi dan perhambaan moden.
- Iktiraf hak kerja bagi pelarian dan peminta suaka: Kerajaan harus memberi hak kerja kepada pelarian di negara kita.
- Laksanakan satu Dasar Komprehensif Nasional untuk Migrasi Buruh.
8. Keterjaminan makanan dan kawalan harga barang
- Kawal harga barang: Kawal kenaikan harga barang dan perkhidmatan keperluan harian, serta kembalikan semula pemberian subsidi kepada rakyat secara berkesan.
- Hak bertani dan keterjaminan makanan: Hentikan pengusiran petani dan penternak dari tanah mereka. Iktiraf dan berikan geran tanah kepada golongan petani dan penternak yang telah lama bertani dan membekalkan hasil pertanian untuk kegunaan tempatan demi menjamin keupayaan pengeluaran makanan tempatan.
9. Hak asasi manusia
- Kebebasan media: Mansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk menjamin kebebasan bermaklumat.
- Reformasi pendidikan dan hak pelajar: Mansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan akta-akta yang mengongkong mahasiswa. Batalkan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta laksanakan pendidikan percuma yang inklusif untuk semua, termasuk kanak-kanak migran dan pelarian.
- Mansuhkan Akta Hasutan 1948 dan segala undang-undang drakonian yang menyekat hak untuk kebebasan bersuara serta kebebasan sivil rakyat.
- Kesamarataan gender: Hentikan sebarang penindasan berasaskan jantina atau orientasi seksual melalui reformasi undang-undang yang menyeluruh.
- Perlindungan kanak-kanak: Pastikan hak kanak-kanak dilindungi dan dipenuhi sepenuhnya selaras dengan Konvensyen Hak Kanak-Kanak Sedunia (CRC).
10. Orang Asli/Asal
- Iktiraf Hak Tanah Adat Orang Asal di Malaysia dan berikan hak milik kekal serta kukuhkan status tanah rizab Orang Asal/Asli di Malaysia (Semenanjung, Sabah dan Sarawak). Rancangan pembangunan tanah Orang Asal/Asli hendaklah berasaskan kehendak, keperluan dan aspirasi Orang Asal/Asli.
11. Alam sekitar
- Darurat dan adaptasi iklim: Isytihar Darurat Iklim dan segerakan Pelan Adaptasi Nasional dengan peruntukan khas bagi melindungi komuniti terpinggir daripada bencana alam seperti banjir dan gelombang haba.
- Tenaga dan solusi sebenar: Peralihan segera ke arah tenaga boleh diperbaharui yang bersih dan murah. Tolak solusi iklim palsu (seperti RUU CCUS) yang tidak efektif dan mengancam hak tanah komuniti tempatan.
- Henti projek berisiko: Hentikan projek yang memudaratkan alam sekitar dan kesihatan, termasuk perlombongan nadir bumi, pembinaan insinerator di kawasan padat penduduk, tenaga nuklear, penambakan laut, serta pembangunan di kawasan sensitif dan lereng bukit.
- Kawalan pencemaran dan sisa: Hentikan pengimportan sisa asing dan pembakaran terbuka. Utamakan pencegahan pencemaran bagi menjamin kesihatan awam.
12. Penggunaan AI
- Keterjaminan pekerjaan era AI: Kerajaan harus menjamin supaya kecerdasan buatan (AI) tidak mengancam kelangsungan kerja manusia melalui program latihan semula (reskilling) yang progresif serta pengukuhan sistem perlindungan sosial bagi pekerja dalam sektor yang terdedah kepada automasi.
Senarai organisasi yang menyokong deklarasi ini:
- Angkatan Kesatuan Siswa Sosialis (AKSI)
- Apa Kata Wanita Orang Asli (AKWOA)
- Centre of Independence Journalism
- C4 Center
- Citizens International
- Diversity Inclusivity Equity Malaysia (DIEM)
- Deaf Advocacy and Well-being National Organisation, Malaysia (DAWN)
- Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM)
- Gabungan Flat Kos Rendah (Marhaen)
- Gabungan Marhaen Nasional
- Gabungan Penternak Marhaen
- Gabungan Petani Marhaen
- Gabungan Peneroka Bandar Marhaen
- GEGAR (Gerakan Gabungan Anti-Imperialis)
- Greenpeace Malaysia
- HARAM
- HAYAT
- HINDRAF
- Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan
- Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML)
- Jaringan Pekerja Tidak Formal (JPTF)
- Jentayu
- JEJAKA
- Justice for Sisters
- Kelab Perbahasan Sayap Gemilang
- Kesatuan Pengawal Keselamatan Kespa
- Klima Action Malaysia (KAMY)
- KLSCAH Civil Rights Committee (KLSCAH-CRC)
- Legal Dignity, Malaysia
- Liga Mahasiswa Malaysia
- Mandiri
- Malaysian Tamilar Kural Foundation
- Malaysian Advancement Party (MAP)
- Malayan Nurse Union
- North South Initiative (NSI)
- Parti Hijau
- Parti MUDA
- Parti Rakyat Malaysia (PRM)
- Parti Sosialis Malaysia (PSM)
- Parti URIMAI
- People Like Us Hang Out! (PLUHO)
- People Like Us Support Ourselves (PLUsos)
- Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA)
- Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH)
- Persatuan Pendidikan Dan Penyelidikan Untuk Pengguna-Pengguna Pahang (ERA Pahang)
- Persatuan Komuniti Taman Permata Dengkil
- Persatuan Sahabat Wanita Selangor (PSWS)
- Kesatuan Pekerja – Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-Hospital Kerajaan Dan Jabatan-Jabatan Kerajaan Semenanjung Malaysia.
- Pemuda Penganut Dewa Heng Soon Kong Tai Bak Gong Senai
- Pertubuhan Rangkaian Pembangunan Kesinambungan Malaysia (SUSDEN Malaysia)
- Persatuan Komuniti Taman Permata Dengkil
- Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA)
- Pride In Research
- Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
- SABM
- SEED Foundation
- Sekretariat Lawan Dua Darjat
- SIUMAN Collective
- SIS Forum (Malaysia)
- Tenaganita
- TEROKA by MUDA
- Women for Equality (WEA)
- Women’s Aid Organisation (WAO)
