oleh Cecilia Anthonysamy

Masalah utama yang dihadapi oleh sistem kesihatan awam di Malaysia ialah kesesakan. Fasiliti yang kita ada sekarang tidak mencukupi.

Kita tidak cukup wad dan tidak cukup katil di kebanyakan hospital awam.  Ini menyebabkan pesakit terlantar di jabatan kecemasan. Pesakit terpaksa menunggu berjam-jam, malah berhari-hari sebelum dimasukkan ke wad. Ini menjejaskan kualiti rawatan, privasi pesakit dan tekanan kerja.

Apakah punca akar masalah kesesakan ini? Kita semua tahu. Masalah kesesakan disebabkan oleh peruntukan kewangan yang tidak mencukupi untuk Kementerian Kesihatan Malaysia.

Negara kita mengalami masalah hutang negara yang kian meningkat, iaitu RM1.351 trilion setakat 28 Februari 2026. Nisbah hutang kepada KDNK dilaporkan mencecah 65.3% pada penghujung tahun 2025. Perbelanjaan melebihi peruntukan. Bagaimanakah kita boleh mendapatkan dana yang lebih tinggi untuk peruntukan kesihatan?

Kita boleh mengenakan cukai kekayaan aset ke atas bilionair-bilionair di Malaysia. Cukai ini pertama kali dicadangkan oleh pakar ekonomi Perancis Gabriel Zucman pada tahun 2024. Cukai Zucman hebat diperdebatkan di negara-negara Barat.

Zucman mencadangkan bahawa seseorang yang memiliki kekayaan aset lebih daripada AS$1 bilion perlu membayar cukai tahunan minimum 2% nilai kekayaan mereka.

Tidak seperti cukai pendapatan tradisional, yang menyasarkan pendapatan tahunan, cukai Zucman menyasarkan stok kekayaan terkumpul — aset seperti saham, hartanah dan pegangan pemilikan dalam syarikat swasta.

Cadangan Zucman adalah untuk mengenakan cukai minimum, 2% kekayaan  ke atas  semua bilionair di dunia. Jika ini dilakukan, kita dapat mengumpul AS$200-250 bilion setahun di seluruh dunia daripada lebih kurang 3,000 orang individu; jika cukai ini juga dikenakan ke atas individu yang mempunyai kekayaan lebih daripada AS$100 bilion, kita akan dapat tambahan lebih AS$100-140 bilion setahun. 

Zucman mencadangkan bahawa cukai ini dikenakan serentak di seluruh dunia supaya bilionair tidak dapat berhijrah ke negara lain yang tidak mengenakan cukai atau dengan kadar cukai yang rendah.  Namun, dia mencadangkan bahawa cukai ini masih boleh diusahakan oleh mana-mana negara, dengan mengenakan syarat cukai ini perlu dibayar selama 5 tahun seterusnya walaupun bilionair itu berhijrah ke negara lain. (Tax the rich! Sure, but how? – A discussion with Gabriel Zucman)

Kita ada 25 orang bilionair di Malaysia. Kekayaan 50 orang paling kaya di Malaysia bertambah hampir 30% ke AS$116 bilion (RM458.55 bilion) dari AS$90 bilion tahun lalu  menurut senarai Forbes 2026.

Kita perlu berdebat dan berbincang mengenai cukai aset ke atas golongan mahakaya. Mereka menjadi kaya dengan menggunakan kemudahan-kemudahan yang tersedia di negara kita dan memerah titik peluh ramai orang yang bekerja dengan mereka. Mereka tidak menjadi kaya kerana usaha seorang diri.

Para bilionair negara harus menyumbang balik kepada negara dan rela membayar cukai kekayaan aset ini supaya negara lebih makmur dan ada lebih banyak dana untuk menyediakan perkhidmatan awam yang murah dan berkualiti tinggi yang boleh dinikmati bersama.

Hanya dengan tambahan sumber, barulah suasana kerja yang lebih selesa dan kurang stres boleh diwujudkan, dan lebih ramai doktor, jururawat dan lain-lain kakitangan akan mahu terus berkhidmat untuk rakyat Malaysia di klinik-klinik dan hospital-hospital awam.

==========

Cecilia Anthonysamy ialah Ahli Jawatankuasa Kempen Selamatkan Sistem Kesihatan Awam, inisiatif Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Tandatangani petisyen dalam talian untuk kempen “Selamatkan Sistem Kesihatan Awam” di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *