oleh Cecilia Anthonysamy

Adakah kita di Malaysia dibenarkan untuk berfikir sendiri? Atau kita sentiasa perlu diberi panduan?

Panduan oleh iklan-iklan yang ganas mempromosi makanan ini dan itu, gaya, mutu keunggulan, hanya jika kita pakai begini, begitu, memiliki itu ini. Adakah kita terikut-ikut, membenarkan pesanan iklan meresap masuk ke dalam dasar jiwa kita dan mengejar ini dan itu dalam masyarakat kerana dia di sini dan dia di situ sudah bergaya begini begitu dan kita turut mahu menjadi dan memiliki juga? Jika tidak, kita tidak dihormati?

Pernahkah kita berfikir bagaimana kita berfikir? Adakah cara berfikir itu membantu kita?

Lihatlah masyarakat di sekeliling kita; adakah ia membenarkan kita berfikir sendiri dan buat pilihan sendiri, atau sentiasa menunjuk jalan, memujuk, menekan kita supaya memilih cara hidup yang sudah pun ditetapkan oleh mereka?

Kita pun dipaksa untuk ikut dengan sehalusnya, dengan berbagai kata dan momokan yang akhirnya kita rasa sesuatu yang tidak selesa jika kita tidak ikut serta, atau risau akan dipulau atau tidak lagi seerat hubungan menjadi anggota masyarakat. 

Menjadi anggota masyarakat adalah satu nilai penting di Malaysia. Kita tidak begitu bersifat individualistik seperti orang barat. Jika pun kita menceburi individualisme, kita sendiri berfikir dengan cara berlainan, wujud satu ketegangan dengan masyarakat di sekeliling kita. Perlu satu keberanian untuk berfikir sendiri dan pilih yang berlainan daripada arus masyarakat.

Berfikir mengenai cara kita berfikir adalah satu kematangan hidup. Jika kita tidak berfikir mengenai cara kita berfikir, kita tidak boleh berubah atau membina kehidupan yang lebih bernilai, yang ada mutu dan keunggulan. 

Adakah ahli-ahli politik di Malaysia mahu kita berfikir? Kita menjadi satu bahan api bahaya yang mengancam periuk nasi ahli-ahli politik jika kita boleh berfikir sendiri dengan matang, tanpa panduan yang diberi oleh mereka. Tidakkah begitu?

Seperti iklan-iklan di media, ahli politik kerajaan mempromosikan ideologi kapitalisme yang mementingkan keuntungan kewangan pihak atasan dan pembangunan ekonomi yang berat sebelah, di mana orang miskin semakin miskin dan jutawan semakin mengaut keuntungan. 

Kerajaan takut jika rakyat membaca buku-buku ideologi yang berbeza, berfikir dan menolak ideologi kapitalisme yang membenarkan politikus berkuasa dan korupsi bermaharajalela.

Bayangkan sebuah buku menjadi ancaman? Buku yang mendedahkan ideologi berbeza, buku sejarah seorang perempuan Melayu  memilih jalan hidup yang berbeza. Adakah buku ini bahaya kerana ia mengajar kita berfikir sendiri?

Adakah kita akan berdiam diri dan duduk di dalam tempurung yang dicorakkan oleh para politikus untuk kita?

Adakah kita berfikir tentang cara kita berfikir?

==========

Cecilia Anthonysamy ialah seorang ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *