
Lebih 8 juta orang turun berprotes di seluruh negara Amerika Syarikat (AS) pada 28 Mac 2026 untuk menentang kerajaan pimpinan Donald Trump yang penuh kepincangan dan kezaliman. Protes serentak di seluruh AS dengan tema “No Kings” (Tiada Raja) ini bertujuan untuk membantah tindakan dan dasar yang diambil oleh kerajaan AS pimpinan Trump seperti perang ke atas Iran, operasi penangkapan besar-besaran oleh agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam AS (ICE) yang menembak mati orang awam, cubaan untuk menutup skandal “Fail Epstein”, penghakisan demokrasi di AS dan sebagainya.
Ini merupakan protes “No Kings” yang ketiga. Protes “No Kings” yang pertama telah diadakan pada 14 Jun 2025, dan protes “No Kings” kedua diadakan pada 18 Oktober 2025. Apa yang bermula sebagai satu hari protes telah berkembang menjadi gerakan untuk mencabar kekuasaan tirani di bawah Donald Trump, dan ia telah merebak ke banyak tempat di seluruh negara AS dalam kalangan rakyat AS yang bertekad untuk mempertahankan demokrasi dan menentang kerajaan AS yang semakin autoritarian. Protes “No Kings” yang ketiga pada 28 Mac 2026 ini boleh dikatakan sebagai hari protes yang terbesar dalam sejarah AS.
Lebih 3,300 buah aksi protes “No Kings” telah diadakan di bandar-bandar di seluruh AS, dengan 350,000 orang berprotes di New York, 180,000 orang di Boston, 100,000 orang di Los Angeles, 100,000 orang di Seattle, 100,000 orang di Saint Paul, 40,000 orang di Philadelphia, 40,000 orang di San Diego, 4,500 orang di Washington, D.C., dan banyak lagi. Protes yang menentang pentadbiran Trump juga diadakan di negara-negara lain seperti Australia, Costa Rica, Itali, Jepun, Jerman, Kanada, Mexico dan Perancis.
Terdapat ratusan aksi protes diadakan di komuniti kawasan luar bandar yang condong kepada Parti Republikan, menunjukkan bahawa ketidakpuasan hati terhadap rejim pemerintahan Trump semakin hebat. Dasar Trump yang membawa kepada oligarki, kediktatoran, penindasan terhadap imigran dan peperangan, telah menyusahkan ramai orang, sama ada rakyat AS ataupun rakyat di seluruh dunia. Pada masa ini, rakyat sedunia sedang menanggung akibat krisis bahan api yang diwujudkan oleh rejim pemerintahan Trump yang sewenang-wenangnya melancarkan perang ke atas Iran.
“Kita tidak akan sesekali menerima autoritarianisme, kita tidak akan sesekali menerima oligarki, dan kita tidak akan sesekali menerima seorang presiden yang merupakan seorang pembohong patologikal, seorang kleptokrat dan seorang pemuja diri yang menjejaskan Perlembagaan Amerika Syarikat serta kedaulatan undang-undang setiap hari,” kata Bernie Sanders, Senator AS dari Vermont, semasa berucap dalam aksi perhimpunan di Saint Paul, ibu negeri Minnesota. “Kita tidak akan sesekali menerima dasar kerajaan yang memberi pelepasan cukai besar-besaran kepada bilionair, menyingkirkan 15 juta orang warga Amerika daripada jagaan kesihatan yang dimiliki mereka, memecahkan kesatuan sekerja, menafikan hak wanita untuk mengawal badan mereka sendiri, dan menolak planet ini semakin dekat dengan krisis iklim.”

“Detik ini bukan sekadar tentang ketamakan seorang, korupsi seorang lelaki atau penghinaan seorang lelaki terhadap Perlembagaan kita. Ini adalah tentang segelintir orang terkaya di Bumi, dengan ketamakan mereka yang tidak pernah puas, telah mengambil alih ekonomi kita, telah mengambil alih sistem politik kita, telah mengambil alih media kita untuk memperkayakan diri mereka dengan mengorbankan keluarga pekerja di negara kita. Tidak pernah sebelum ini dalam sejarah Amerika terdapat segelintir kecil orang yang mempunyai begitu banyak kekayaan dan kuasa,” ulas Bernie Sanders. “Sementara orang terkaya menjadi semakin kaya, 60% daripada rakyat kita hidup dengan gaji rendah, bergelut untuk menyediakan makanan di atas meja, bergelut untuk membayar sewa dan pinjaman perumahan mereka, bergelut untuk membayar penjagaan kanak-kanak dan pendidikan, dan bergelut untuk menyimpan sedikit wang untuk persaraan yang memadai. Puluhan ribu orang warga Amerika mati tanpa perlu setiap hari kerana mereka tidak mampu pergi berjumpa doktor. Dan, melainkan kita mengubah bagaimana ekonomi kita berfungsi, generasi muda kita, buat pertama kali dalam sejarah moden, akan mempunyai taraf kehidupan yang lebih rendah berbanding ibu bapa mereka.”
“Biarlah kita jujur. Rakyat Amerika telah dibohongi tentang perang di Vietnam. Kita telah dibohongi tentang perang di Iraq. Dan kita juga dibohongi hari ini tentang perang di Iran. Perang ini harus ditamatkan serta-merta,” Bernie Sanders juga menyuarakan bantahan terhadap perang AS-Israel ke atas Iran. “Pada ketika rakyat Amerika dipecah-belahkan secara politik, terdapat satu isu yang menyatukan kita. Konservatif, moderat dan progresif sedang bersuara serentak: TIADA LAGI PERANG.”

