
Kuasa imperialis Amerika Syarikat (AS) dan rejim Zionis Israel yang melakukan jenayah genosid telah melancarkan satu lagi serangan ketenteraan besar-besaran ke atas Iran pada 28 Februari 2026, ketika masyarakat Muslim di seluruh dunia sedang menyambut bulan Ramadan. Serangan keganasan imperialis terbaru ini telah membunuh ramai orang di Iran, termasuk Ali Khamenei, Pemimpin Agung Iran.
Serangan ketenteraan yang diselaraskan bersama AS dan Israel dilancarkan pada waktu pagi 28 Februari 2026, dengan serangan udara ke atas bandar-bandar utama di Iran, termasuk Tehran, Isfahan, Qom, Karaj dan Kermanshah. Walaupun pihak AS dan Israel mengatakan bahawa mereka menyasarkan pemimpin utama negara Iran, tetapi serangan keganasan mereka telah membunuh sekurang-kurangnya 100 orang warga awam. Dalam satu serangan yang dilakukan oleh tentera Zionis Israel di bandar Minab yang terletak di bahagian tenggara Iran, sebuah sekolah rendah perempuan dimusnahkan dengan 108 orang terbunuh.
Sebagai tindak balas, tentera Iran melancarkan serangan dron dan peluru berpandu balistik yang menyasarkan Israel dan pangkalan-pangkalan tentera AS di Teluk Parsi, termasuk Arab Saudi, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu, Iraq, Jordan dan Qatar. Kumpulan Ansar Allah di Yaman yang bersekutu dengan kerajaan Iran juga mengumumkan bahawa mereka memulihkan serangan mereka di Laut Merah.
Sebelum ini, rejim Zionis Israel, dengan sokongan daripada kuasa imperialis AS, pernah melancarkan serangan ketenteraan selama 12 hari ke atas Iran pada bulan Jun 2025. Iran sentiasa dianggap sebagai ancaman bagi Israel, kerana kerajaan Iran telah memberi sokongan kepada usaha perjuangan penentangan Palestin selama ini.
Serangan ketenteraan terbaru oleh gabungan kuasa imperialis AS-Israel ini berlaku selepas kerajaan AS pimpinan Donald Trump berulang kali mengancam untuk mencampur tangan dalam krisis politik di Iran baru-baru ini, dan tuduhan oleh Trump bahawa Iran “sedang berusaha untuk membina peluru berpandu yang akan sampai ke AS tidak lama lagi”. Kerajaan AS memberi alasan bahawa ia melancarkan serangan ketenteraan untuk memusnahkan keupayaan peluru berpandu dan ketenteraan Iran, mencegah Iran daripada memperoleh senjata nuklear, serta menggulingkan kerajaan yang sedia ada. Serangan ketenteraan yang dilancarkan pada ketika rundingan nuklear antara AS dan Iran yang mencapai persetujuan, menunjukkan bahawa kuasa imperialis AS tidak berniat untuk merundingkan keamanan, sebaliknya hanya berminat dalam melindungi kepentingan geopolitiknya.

Salah satu pukulan hebat kepada kerajaan Iran dalam pusingan serangan ketenteraan terbaru ini ialah pembunuhan Ali Khamenei, Pemimpin Agung negara itu. Ali Khamenei merupakan seorang tokoh penting dalam Revolusi Iran dan orang yang rapat dengan Ruhollah Khomeini, Pemimpin Agung Iran yang pertama selepas Revolusi Iran pada tahun 1979. Ali Khamenei pernah dipilih untuk menjadi Presiden Iran yang ketiga pada tahun 1981-1989. Selepas Khomeini meninggal dunia pada tahun 1989, Ali Khamenei menggantikannya sebagai Pemimpin Agung Iran yang kedua. Ali Khamenei mengamalkan corak pemerintahan yang boleh dikatakan bersifat “Bonapartis”, iaitu menggunakan pendekatan pemerintahan yang autoritarian untuk mematahkan suara pembangkang dalam negara dan memperluaskan pengaruh politik di peringkat serantau untuk mengekalkan kekuasaan golongan pemerintah atas nama mempertahankan pencapaian sebuah revolusi.
Pada penghujung bulan Disember 2025, oleh sebab krisis ekonomi yang berterusan, penyusutan nilai mata wang rial dan kenaikan harga barangan asas, tercetusnya gelombang protes besar-besaran di Iran. Gelombang protes itu kemudiannya berkembang menjadi satu lagi perjuangan hebat yang mencabar kekuasaan pemerintahan yang merebak ke lebih 100 buah bandar di seluruh negara itu. Kerajaan Iran menggunakan keganasan yang hebat untuk mematahkan gelombang protes yang terbaru itu. Rejim Zionis Israel dan kuasa imperialis AS melihat perkembangan ini sebagai satu peluang keemasan untuk melemahkan lagi kerajaan Iran yang menggugat kepentingan geopolitik mereka, maka mengatakan bahawa serangan ketenteraan terbaru ini adalah untuk “membantu” rakyat Iran dalam menjatuhkan kerajaan Iran yang represif. Namun, rejim Zionis Israel dan kuasa imperialis AS tidak pernah berhasrat untuk membantu rakyat Iran dalam memperjuangkan kebebasan sebenar, sebaliknya hanya berminat untuk melindungi “kebebasan” golongan elit yang rapat dengan mereka dalam menjarah kekayaan negara itu.
“Serangan ketenteraan AS-Israel ke atas Iran jelas melanggar Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa,” kata Parti Sosialis Malaysia (PSM) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 28 Februari 2026. “Ia tidak memberi apa-apa manfaat kepada usaha membebaskan rakyat Iran daripada sebarang bentuk rejim yang represif, sebaliknya mengganasi rakyat Iran dengan lebih lanjut lagi, mendatangkan lebih banyak kemusnahan dan kesengsaraan kepada masyarakat Iran, dan seterusnya mengganggu kestabilan rantau Timur Tengah, serta menjejaskan usaha untuk membina semula keamanan dunia dengan mengundang lebih banyak lagi konflik yang membawa maut.”
“Sekali lagi, imperialis AS dan rejim genosid Israel telah membuktikan bahawa mereka adalah ancaman sebenar kepada keamanan dunia dan keadilan global,” ulas PSM.
PSM menyeru kepada kerajaan di seluruh dunia, termasuk kerajaan Malaysia, untuk menyatukan usaha dalam mengambil tindakan yang tegas seperti berikut:
- Memberi tekanan kepada AS dan Israel untuk menghentikan perang ke atas Iran;
- Memutuskan hubungan diplomatik dan ekonomi dengan kedua-dua AS dan Israel;
- Mengenakan embargo senjata yang sepenuhnya ke atas Israel dan boikot antarabangsa yang menyeluruh ke atas perusahaan persenjataan AS.
Tindakan samseng imperialis AS dan Zionis Israel yang ganas ini juga mendapat tentangan hebat daripada gerakan anti-perang di seluruh dunia.
Perhimpunan Rakyat Antarabangsa (IPA) mengecam serangan ke atas Iran yang dilakukan tanpa justifikasi yang jelas ini sebagai tindakan perang ke atas semua rakyat di rantau ini dan membawa ancaman konflik yang lebih meluas dan lebih teruk selepas dua setengah tahun perang genosid terhadap rakyat Gaza, Lubnan dan Syria.
Socialist Alliance dari Australia menyatakan bahawa tindakan AS dan Israel adalah haram dan melanggar peraturan hak asasi manusia serta tanggungjawab antarabangsa untuk menghormati hak kedaulatan negara bangsa. “Kami menyokong perjuangan rakyat Iran untuk pembaharuan demokratik terhadap rejim. Namun, pengeboman AS dan Israel tidak akan membantu perjuangan itu dalam apa jua cara; jika ada pun, ia akan melakukan perkara yang bertentangan seperti yang kita lihat di Iraq,” ulas Socialist Alliance. Socialist Alliance juga mengecam kerajaan Australia yang enggan memutuskan hubungan dengan AS dan Israel yang telah melakukan pembunuhan beramai-ramai.
Partido Lakas ng Masa (PLM) dari Filipina berkata dalam kenyataannya, “Serangan ini juga satu serangan ke atas rakyat Timur Tengah dan Selatan Global. Dari Kuba dan Venezuela ke Iraq dan Iran, kita harus menentang tanpa syarat semua usaha perubahan rejim dan dominasi yang diterajui oleh AS. Genosid yang berterusan di Gaza dan corak keganasan yang lebih luas yang diteruskan oleh perikatan imperialis dengan Israel tidak boleh dipisahkan daripada serangan ke atas Iran. Ia menandakan peningkatan pencerobohan imperialis ke atas Selatan Global.”
