oleh Gandipan Nantha Gopalan

Keputusan kerajaan untuk memperluaskan pengecualian cukai di bawah Seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 kepada hospital swasta adalah satu pengkhianatan terang-terangan terhadap prinsip keadilan sosial dan tanggungjawab negara kepada rakyat biasa. Ia mencerminkan kegagalan idea yang serius dalam pengurusan sistem kesihatan negara.

Hospital swasta di Malaysia bukan entiti kebajikan. Ia adalah syarikat korporat yang mencatat keuntungan luar biasa setiap tahun (berjuta dan berbilion ringgit), mengenakan caj rawatan yang melambung tinggi dan secara sistematik mengecualikan golongan berpendapatan rendah daripada akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti. Dalam keadaan ini, persoalan yang wajar ditanya ialah: adakah kerajaan sudah hilang pertimbangan apabila memilih untuk memberi pelepasan cukai kepada sektor yang sudah pun mengaut keuntungan besar, kononnya atas nama membantu golongan miskin?

Pengecualian cukai kepada hospital swasta melalui penubuhan Tabung Kebajikan Hospital bukanlah penyelesaian struktural kepada masalah akses kesihatan. Selepas ini, syarikat kesihatan swasta akan menggunakan peluang yang diberikan oleh kerajaan sendiri untuk mengurangkan liabiliti cukai mereka dan memperbaiki imej korporat melalui “amal kebajikan”.

Dasar ini memperkukuhkan logik bahawa hak kesihatan rakyat harus bergantung kepada ihsan korporat dan sumbangan derma bukan sebagai hak asas yang dijamin oleh negara. Kerajaan seolah-olah telah lupa bahawa kesihatan dan rawatan perubatan adalah hak rakyat.

Lebih menjengkelkan, kerajaan memilih untuk memberi pelepasan cukai kepada hospital swasta, sedangkan hospital awam terus sesak, kekurangan doktor dan jururawat, dan dibebani dengan beban kerja yang tidak berperikemanusiaan. Inilah wajah sebenar dasar ini: wang rakyat digunakan untuk melindungi keuntungan elit korporat, sementara sistem kesihatan awam dibiarkan nazak.

Antara langkah yang wajar diambil oleh kerajaan adalah mengenakan cukai yang lebih tinggi ke atas keuntungan hospital swasta dan mewajibkan rawatan percuma atau bersubsidi oleh hospital swasta sebagai syarat lesen.

PSM menolak sepenuhnya logik bahawa kesejahteraan rakyat boleh dilindungi melalui “insentif cukai” kepada kapitalis. Masalah kesihatan awam tidak boleh diselesaikan oleh sistem yang menjadikan penyakit sebagai sumber keuntungan. Pengecualian cukai ini mesti ditarik balik serta-merta.

==========

Gandipan Nantha Gopalan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *