
oleh Noor Khairil Azhar bin Mohammed Noor
Kita sering diberitahu bahawa pertumbuhan industri pelancongan perubatan akan “mengembangkan ekonomi” dan “memperkukuhkan penjagaan kesihatan”. Tetapi hakikat sebenarnya ialah: pelancongan perubatan hanya memanfaatkan hospital swasta, pelabur dan golongan kaya, bukannya rakyat biasa. Hasil yang dijana daripada pelancong kesihatan luar negara tidak akan kembali kepada hospital awam. Sebaliknya, keuntungan ini diedarkan dalam kalangan syarikat korporat dan pemegang saham, sementara sistem kesihatan awam kekal kekurangan dana dan dibebankan secara berlebihan.
Hospital-hospital awam melatih kebanyakan doktor, jururawat, dan pakar perubatan di negara ini dengan menggunakan hasil kutipan cukai. Namun, ramai pakar ini kemudiannya diserap ke dalam sektor swasta, terutamanya pusat perubatan yang memfokus kepada perkhidmatan kos tinggi untuk pelancong kesihatan. Ini mewujudkan beban berganda kepada orang ramai: Pertama, mereka membayar cukai untuk membina dan melatih tenaga kerja; kemudian, mereka menghadapi premium insurans yang melambung tinggi, yuran yang semakin meningkat, dan masa menunggu yang lebih lama di hospital awam kerana doktor-doktor pakar sudahpun pergi ke hospital swasta yang menjanjikan gaji lumayan. Dalam erti kata lain, sektor kesihatan swasta bergantung kepada tenaga kerja, tetapi menikmati keuntungan tanpa menanggung kos pembangunan tenaga kerja itu.
Ketidakseimbangan ini bertambah buruk lagi kerana hospital swasta yang terlibat dalam pelancongan perubatan sering menerima insentif cukai, seperti elaun cukai pelaburan dan potongan cukai lain. Walaupun jenis insentif berbeza mengikut kitaran belanjawan, hala tujunya tetap konsisten: perkembangan industri pelancongan kesihatan digalakkan menerusi pelepasan cukai yang murah hati. Tetapi apabila syarikat korporat menerima pengecualian cukai yang besar, hasil kerajaan semakin merosot. Akhirnya, rakyat yang menanggung kesan kekurangan pelaburan, penangguhan penaiktarafan kemudahan dan kekurangan tenaga kerja di hospital awam. Sektor swasta mengaut keuntungan besar, sementara sektor awam bergelut untuk memenuhi keperluan jutaan rakyat Malaysia.
Pelancongan kesihatan mengalih perhatian penggubal dasar daripada menangani isu struktural yang sebenar: wad yang terlalu sesak, klinik yang kekurangan kakitangan, perkhidmatan kesihatan yang terhad di kawasan luar bandar, perkhidmatan kesihatan mental yang tidak mencukupi, dan kos tanggungan sendiri yang tinggi. Pemimpin-pemimpin tidak mengutamakan pelaburan jangka panjang dalam sistem kesihatan awam, sebaliknya beria-ia untuk mengejar duit pelancong. Ini adalah kecenderungan yang berbahaya kerana ia akan melebarkan lagi jurang antara mereka yang mampu membayar untuk penjagaan kesihatan swasta dan mereka yang tidak.
Seiring dengan pertumbuhan industri pelancongan kesihatan, Malaysia kini beralih ke arah sistem penjagaan kesihatan dua darjat yang amat memalukan. Pelancong kesihatan dan pesakit kaya menerima rawatan yang lebih pantas dan lebih selesa, sementara orang ramai menghadapi masa menunggu yang lebih lama dan mutu perkhidmatan yang semakin merosot. Dalam konteks ini, penjagaan kesihatan beralih daripada perkhidmatan awam kepada satu komoditi. Pesakit bukan lagi rakyat yang mempunyai hak sama rata, tetapi menjadi sumber hasil keuntungan yang perlu dioptimumkan dan dipasarkan. Rakyat Malaysia bakal menjadi pesakit kelas kedua di negara sendiri.
Adanya orang yang berkata bahawa pelancongan perubatan akan meningkatkan keluaran dalam negara kasar (KDNK), seolah-olah KDNK ini satu-satunya penanda tahap keadilan atau kesejahteraan sosial. KDNK hanya mengukur aktiviti ekonomi, bukan siapa yang mendapat manfaat daripadanya. Kita telah melihat bagaimana ketidaksaksamaan boleh meningkat walaupun KDNK meningkat. Apabila hospital swasta, pemegang saham dan pelabur mendapat keuntungan daripada pelancongan kesihatan, pertumbuhan KDNK tentunya tidak akan memastikan akses penjagaan kesihatan yang lebih baik untuk rakyat. Ia tidak menaikkan gaji kakitangan penjagaan kesihatan, tidak mengembangkan perkhidmatan di luar bandar, dan tidak mengurangkan beban perbelanjaan isi rumah. Pertumbuhan KDNK tanpa pengagihan semula bukanlah kemajuan; ia hanya ilusi statistik.
Pada dasarnya, pertumbuhan pelancongan kesihatan mencerminkan perubahan ideologi yang lebih mendalam: kepercayaan bahawa pasaran dapat menyelesaikan masalah awam, dan bahawa keuntungan swasta dapat menggantikan tanggungjawab bersama. Setiap kelemahan dalam sistem kesihatan awam memaksa lebih ramai rakyat Malaysia bergantung kepada perkhidmatan kesihatan swasta, yang seterusnya memperkukuhkan rangkaian korporat yang mengaut keuntungan daripada pelancongan perubatan. Kitaran ini meningkatkan ketidaksaksamaan dan menghakis kepercayaan terhadap keupayaan kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan asas.
Pelancongan kesihatan tidak akan menyelesaikan masalah penjagaan kesihatan di Malaysia kerana krisis ini bukan mengenai hasil pendapatan kerajaan; ia adalah mengenai keutamaan dasar negara. Negara kita tidak boleh menyumberluarkan tanggungjawab moral dalam menjaga rakyatnya. Sistem penjagaan kesihatan yang dibina demi pelanggan luar negara, insentif pasaran dan keuntungan korporat tidak akan berkhidmat untuk rakyat dengan adil dan bermaruah.
Kemajuan sebenar memerlukan pendekatan yang bertentangan:
- Memperkukuhkan dan menambah pembiayaan penjagaan kesihatan awam.
- Menambah baik keadaan tempat kerja untuk mengekalkan kakitangan perubatan.
- Memastikan akses saksama di seluruh Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur.
- Mengurangkan kebergantungan kepada kapasiti sektor swasta.
- Menyemak dan mengehadkan pengecualian cukai yang tidak memanfaatkan orang ramai.
- Menegakkan penjagaan kesihatan sebagai hak asasi, bukan komoditi mewah.
Malaysia perlu memutuskan sama ada sistem penjagaan kesihatan negara ini akan mengikut logik keuntungan atau prinsip keadilan. Ukuran untuk sebuah negara yang bermoral bukanlah sebaik mana ia melayani pelawat luar negara yang kaya, tetapi sebaik mana ia menjaga rakyatnya sendiri.
Pelancongan perubatan bukanlah jalan menuju sistem penjagaan kesihatan yang lebih adil. Apa yang diperlukan ialah pengukuhan penjagaan kesihatan awam.
==========
Noor Khairil Azhar bin Mohammed Noor ialah Ahli Jawatankuasa Kempen Selamatkan Sistem Kesihatan Awam, sebuah inisiatif Parti Sosialis Malaysia (PSM).
