
GEORGE TOWN, PULAU PINANG – 20 NOVEMBER 2025: Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak rayuan daripada tiga orang pekerja pembersihan sekolah yang mencabar kontrak bertempoh terhad pada hari ini.
Tiga orang pekerja pembersihan di sebuah sekolah rendah di Lunas, Kedah, iaitu Mageswaree A/P Muniyandy, Moorthi A/L Rajoo dan Marimuthu A/L Karuppen, telah diberhentikan kerja mereka pada 31 Disember 2021, dengan alasan tempoh kontrak perkhidmatan mereka sudah tamat, sedangkan syarikat kontraktor yang mengupah mereka masih memerlukan pekerja untuk melakukan kerja di sekolah yang sama.
Mereka bertiga memfailkan kes di Jabatan Perhubungan Perusahaan Kedah/Perlis pada 5 Januari 2022 di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan untuk menuntut pemulihan kerja. Kes mereka kemudiannya dirujuk ke Mahkamah Perusahaan Pulau Pinang, dan perbicaraan diadakan pada 11 dan 12 September 2025. Semasa perbicaraan di Mahkamah Perusahaan, pihak majikan mengemukakan hujah bahawa kontrak perkhidmatan mereka tidak diperbaharui kerana wujudnya masalah “salah laku”, tetapi tiada sebarang proses yang sewajar, seperti pengeluaran surat tunjuk sebab dan sesi siasatan dalaman, dibuat oleh pihak majikan sebelum mengambil keputusan untuk memberhentikan kerja mereka dengan cara tidak melanjutkan tempoh kontrak perkhidmatan.
Mahkamah Perusahaan Pulau Pinang memberi keputusan pada 13 Februari 2024 yang menolak tuntutan mereka untuk dipulihkan kerja, dengan alasan bahawa kontrak bertempoh tetap itu adalah sah. Ketiga-tiga orang pekerja telah merayu untuk mencabar keputusan Mahkamah Perusahaan itu di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, dan pendengaran kes diadakan pada hari ini.
Namun, Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Dr. Suzana binti Muhamad Said, memutuskan untuk mengekalkan keputusan Mahkamah Perusahaan yang menganggap kontrak bertempoh terhad itu adalah sah. Oleh itu, Mahkamah Tinggi menolak rayuan daripada tiga orang pekerja ini tanpa kos.
Pihak pekerja akan merayu kes ini ke Mahkamah Rayuan. Ketiga-tiga orang pekerja diwakili oleh peguam Kohila Yanasekaran, dan dibantu oleh Arafas Abdul Razak.

“Pekerja-pekerja membawa kes ini kepada perhatian Mahkamah Tinggi kerana wujudnya penyalahgunaan kontrak bertempoh terhad dalam pengupahan pekerja tetap,” kata Kohila, peguam yang mewakili pekerja di Mahkamah Tinggi. “Kerja-kerja yang memerlukan pekerja tetap tidak harus diupah di bawah sistem kontrak bertempoh tetap. Jika kontrak bertempoh terhad ini masih digunakan, dengan kontrak perkhidmatan untuk pekerja yang melakukan kerja tetap itu diperbaharui setiap tahun, ia akan membolehkan majikan terus membuli pekerja.”
“Di bawah sistem kontrak bertempoh terhad bagi pekerja tetap, pekerja yang melakukan kerja tetap itu telah kehilangan banyak hak,” ulas Kohila. “Pekerja kontrak bertempoh terhad tidak mempunyai keterjaminan kerja. Jika mereka cuba menuntut lebih banyak hak, mereka tidak akan disambung kontrak oleh majikan.”
“Masalah pokok dalam kes ini adalah kontrak bertempoh terhad yang digunakan oleh majikan untuk mengupah pekerja itu bukannya kontrak yang sah,” tambah Kohila. “Sebuah sekolah memerlukan pekerja pembersihan dan tukang kebun selagi sekolah itu masih wujud. Kenapa pekerja yang melakukan kerja tetap ini boleh diberhentikan selepas beberapa tahun sedangkan sekolah masih memerlukan perkhidmatan mereka? Jika majikan mempunyai hak mutlak untuk memecat atau tidak menyambung kontrak pekerja, dengan berselindung di sebalik ‘kontrak bertempoh terhad’ yang disamarkan, negara kita akan menjadi negara koboi, dengan undang-undang pekerjaan yang sedia wujud langsung tidak dihormati!”
“Kita harus menolak sistem kontrak yang palsu ini!” tegas kata Kohila. “Sistem kontrak harus dihapuskan, terutamanya oleh kerajaan sendiri. Jika kerajaan tidak dapat menjadi teladan baik dalam melindungi hak pekerja, bagaimana kita boleh harapkan syarikat swasta juga berbuat demikian.”
Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) telah lama berkempen untuk menuntut penghapusan sistem kontrak bagi pekerja tetap di premis kerajaan. Pekerja-pekerja kontrak yang berpendapatan rendah, seperti pengawal keselamatan dan pekerja pembersihan di bangunan-bangunan sekolah, telah dimangsakan dan dimiskinkan di bawah sistem kontrak bertempoh tetap.
Dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini, PSM dan JPKK menyeru kerajaan supaya menghapuskan sistem kontrak untuk kerja-kerja tetap di premis-premis kerajaan, dan menjadikan semua yang melakukan kerja-kerja ini sebagai pekerja tetap yang menikmati keterjaminan kerja dan kebajikan pekerja yang sewajarnya.

Saya setuju. Pekerja kontrak tidak ada keterjaminan hidup. Sistem kontrak juga menyebabkan sikap kroni berleluasa. Pekerja yg di sukai majikan di teruskan kontrak dan sebaliknya. Sedangkan skop kerja adalah sama di premis yg sama. di kementerian yg sama. ! !!
Saya setuju pekerja kontrak tidak ada keterjaminan hidup. Sistem kontrak juga menyebabkan sikap kroni berleluasa. Ini lah yg menyebabkan pekerja bertiga ni jadi mangsa keadaan.. Sedangkan skop kerja adalah sama. di bangunan yg sama. dan di bawah Kementerian yg sama