Mereka yang menyertai aksi mogok di negeri Maharashtra membuat sekatan di sepanjang Lebuh Raya Mumbai-Delhi. (foto: CPIM)

Lebih 250 juta orang pekerja dan petani daripada pelbagai sektor menyertai aksi mogok sehari yang diadakan di seluruh negara India pada 9 Julai 2025, dengan jutaan orang berprotes di jalanan. Aksi mogok besar-besaran di seluruh negara itu dianjurkan oleh Platform Bersama Kesatuan Sekerja Pusat (CTU) untuk membantah dasar-dasar anti-pekerja yang diamalkan oleh kerajaan berhaluan kanan pimpinan Narendra Modi.

CTU merupakan sebuah platform yang menghimpunkan hampir semua persekutuan kesatuan sekerja yang utama di India merentasi spektrum politik, termasuk Kongres Kesatuan Sekerja Seluruh India (AITUC), Majlis Pusat Kesatuan Sekerja Seluruh India (AICCTU), Pusat Kesatuan Sekerja India (CITU), Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan India (INTUC) dan sebagainya. Mogok anjuran CTU pada 9 Julai 2025 juga disokong oleh kumpulan-kumpulan petani, pelajar, wanita dan profesional di negara itu.

Pekerja-pekerja daripada sektor formal dan sektor tidak formal mengambil bahagian dalam aksi mogok besar-besaran pada 9 Julai 2025. Aksi mogok sehari tersebut menjejaskan aktiviti-aktiviti perindustrian di India, terutamanya perindustrian yang berkaitan dengan perlombongan. Pekerja-pekerja di pelabuhan, lapangan terbang dan bank mengambil bahagian dalam aksi mogok, sementara pekerja-pekerja daripada beberapa sektor awam juga mengambil bahagian. Di beberapa buah tempat, pekerja-pekerja menyekat laluan kereta api, menghalang lebuh raya dan berpiket di hadapan pintu pagar kilang-kilang. Adanya sesetengah pekerja mengingkari perintah mahkamah yang melarang mogok dan meneruskan aksi mogok. Hampir semua perusahaan utama ditutup pada 9 Julai 2025 di beberapa buah negeri, seperti Kerala,Tripura, Bihar, Jharkhand dan sebagainya.  

Aksi protes di Shimla, ibu negeri Himachal Pradesh. (foto: CPIM)

Pekerja-pekerja yang bermogok menuntut supaya menarik balik kanun buruh yang digubal oleh kerajaan berhaluan kanan pimpinan Narendra Modi pada tahun 2020. Kerajaan India menggabungkan 29 buah undang-undang buruh peringkat pusat ke dalam 4 buah kanun buruh pada tahun 2020, iaitu Kanun mengenai Gaji, Kanun Perhubungan Perusahaan, Kanun Keselamatan Pekerjaan, Kesihatan dan Keadaan Kerja, dan Kanun Sekuriti Sosial. Walaupun kanun buruh itu digubal atas nama “memodenkan” undang-undang buruh di India selaras dengan perubahan zaman, ia bertujuan untuk memudahkan golongan kapitalis untuk mengeksploitasi pekerja di India. Kerajaan berhaluan kanan di India berniat untuk meningkatkan jam kerja di dalam kilang, mengecualikan sesetengah kilang daripada undang-undang buruh, memperkenalkan pekerjaan berkontrak tempoh tetap, mengurangkan gaji pekerja, mengenakan lebih banyak sekatan kepada pendaftaran kesatuan sekerja, mempermudahkan penyahdaftaran kesatuan sekerja, dan mewujudkan lebih banyak halangan kepada penganjuran mogok.

CTU mengecam 4 buah kanun buruh baharu itu sebagai undang-undang anti-pekerja yang menafikan hak asasi pekerja, termasuk hak untuk rundingan bersama yang telah dimenangi oleh pekerja-pekerja melalui perjuangan yang hebat.

Pekerja-pekerja di kilang penapisan minyak di Kochi, Kerala, turut menyertai aksi demonstrasi. (foto: CPIM)

Selain itu, pekerja-pekerja India yang bermogok pada 9 Julai 2025 juga mengemukakan tuntutan seperti:

  • Penamatan penswastaan dan pengkontrakan pekerjaan;
  • Gaji minimum kebangsaan sebanyak ₹ 26,000 (bersamaan kira-kira RM1,290);
  • Penambahbaikan keadaan kerja di semua sektor untuk semua pekerja.

Aksi mogok ini juga menyokong tuntutan-tuntutan yang dibawa oleh Samyukta Kisan Morcha (SKM), sebuah gabungan kumpulan-kumpulan petani utama di India, termasuk harga sokongan minimum untuk semua hasil pertanian, pembatalan hutang pinjaman untuk petani, hentikan semua pengambilan tanah secara paksa, dan peluang pekerjaan yang lebih baik.

Aksi protes di Andhra Pradesh. (foto: CPIM)

Ramai dalam kalangan kelas pekerja dan masyarakat bawahan di India pada hari ini masih bergelut untuk mendapatkan sumber pendapatan yang mampu sara hidup walaupun ekonomi India bertumbuh pesat, sementara mereka yang mempunyai pekerjaan pun menghadapi pelbagai ancaman hakisan hak daripada dasar-dasar pro-korporat yang diamalkan oleh kerajaan Parti Bharatiya Janata (BJP) yang berhaluan kanan.

Gerakan pekerja di India akan meneruskan usaha menentang dasar-dasar anti-pekerja dan memastikan hak pekerja dilindungi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *