
TAPAH, PERAK – 17 APRIL 2025: Bawani KS, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan DUN Ayer Kuning, membantah perampasan tanah wilayah adat Orang Asli di Daerah Batang Padang (yang termasuk kawasan DUN Ayer Kuning, Chenderiang dan Sungkai). Bawani membantah pemberian hak milik tanah (sementara atau kekal) di kawasan wilayah adat Orang Asli kepada mana-mana syarikat atau individu yang mengancam kehidupan harian, kebudayaan dan adat masyarakat Orang Asli. Bantahan ini disuarakan pada hari ini dalam satu memorandum yang diserahkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Batang Padang.
Turut hadir bersama semasa penyerahan memorandum hari ini ialah Dr. Jeyakumar Devaraj selaku Pengerusi Nasional PSM, Suresh Balasubramaniam selaku Ahli Jawatankuasa Pusat PSM merangkap Ketua Biro Alam Sekitar, Krisis Iklim dan Orang Asli (BAKO) PSM, Shazni Bhai yang merupakan Penyelaras Team STRATAA (Strategi dan Teknikal Tanah Adat Alam), serta wakil masyarakat Orang Asli dari Kampung Sungai Cincin (di Chenderiang), Kampung Sungai Sinju (di Simpang Pulai) dan Kampung Sungai Perangin (di Tanjung Malim).
Memorandum yang diserahkan oleh Bawani bersama wakil masyarakat Orang Asli diterima oleh Khalid Faesal Bin Abdul Rahman, Ketua Penolong Pegawai Daerah Batang Padang.

“Masyarakat Orang Asli sudah menetap di wilayah adat mereka sejak turun-temurun. Alam semula jadi seperti hutan, bukit-bukau, gunung-ganang dan sungai-sungai serta segala sumber alam sangat berkait rapat dengan kehidupan mereka. Tanpa alam semula jadi ini, kehidupan masyarakat Orang Asli menjadi tidak menentu,” kata Bawani semasa penyerahan memorandum. “Sudah berlakunya banyak insiden perampasan tanah wilayah adat Orang Asli apabila hak milik untuk tanah wilayah adat mereka diberikan kepada pihak yang tiada kaitan dengan masyarakat Orang Asli. Sebagai contoh, pemberian hak milik tanah kepada pihak luar di Kampung Sungai Sinju dan Kampung Sungai Cincin.”
“Pemberian hak milik tanah kepada pihak lain ini telah menyebabkan kawasan tanah wilayah adat Orang Asli diceroboh dan penduduk-penduduk menghadapi ancaman pengusiran paksa. Kes pengusiran Kampung Sungai Sinju sedang menunggu perbicaraan di Mahkamah Tinggi Ipoh sekarang,” kata Bawani. “Masyarakat Orang Asli di Kampung Chang Lama Sungai Gepai yang terletak di Bidor juga menghadapi pencerobohan tanah daripada pelbagai pihak, termasuk syarikat kuari. Masyarakat Orang Asli di situ telah mengemukakan bantahan mereka baru-baru ini.”
“Keluasan kawasan Tapah adalah sekitar 180,000 hektar dan peratusan masyarakat Orang Asli adalah kira-kira 17%. Jadi, adalah munasabah untuk Kerajaan Negeri Perak mewartakan sekurang-kurangnya 10% kawasan di Tapah, iaitu 18,000 hektar, sebagai Wilayah Adat Orang Asli di situ,” tambah Bawani.
“Pemberian hak milik tanah itu berada di bawah bidang kuasa tiga orang utama, iaitu Menteri Besar Perak, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Perak dan Pengarah Perhutanan Perak,” kata Suresh Balasubramaniam. “Pemusatan kuasa yang terlalu banyak tanpa mekanisme kawal selia yang seimbang telah menyebabkan masyarakat Orang Asli terpaksa bertarung setiap hari untuk mempertahankan kehidupan, tanah, budaya dan adat mereka.”

Bawani berazam untuk terus memperjuangkan isu masyarakat Orang Asli dengan mengetengahkan tuntutan-tuntutan berikut:
- Kerajaan Negeri Perak harus mengadakan mesyuarat berkala dan sentiasa berdialog dengan kumpulan masyarakat Orang Asal, seperti Jaringan Kampung Orang Asli Perak (JKOAP) dan Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM), untuk menyelesaikan isu yang dihadapi oleh setiap perkampungan Orang Asli.
- Kerajaan Negeri Perak harus menawarkan tanah kepada komuniti Orang Asli mengikut perbincangan dan persetujuan berdasarkan pemetaan komuniti yang dibuat oleh masyarakat Orang Asli sendiri.
- Tanah yang diluluskan sebagai tanah wilayah adat masyarakat Orang Asli harus dipegang oleh masyarakat Orang Asli sendiri di bawah geran komunal dan bukan geran persendirian.
- Bayaran sewa atau royalti daripada pemilik projek yang sedang berjalan di atas tanah wilayah adat masyarakat Orang Asli harus dibahagikan antara Kerajaan Negeri Perak dan perkampungan Orang Asli berkenaan.
- Kerajaan Negeri Perak harus menubuhkan sebuah Lembaga Audit yang dianggotai oleh wakil JKOAP/JKOASM dan juga wakil Kerajaan Negeri untuk memantau pengendalian pendapatan daripada projek-projek oleh pihak-pihak ketiga. Lembaga Audit ini boleh menerima aduan mengenai ketidakpuasan hati mana-mana Orang Asli terhadap pengendalian dana daripada kegiatan ekonomi di kawasan wilayah adat mereka.
- Segala penerokaan hutan baharu di Daerah Batang Padang di kawasan yang mempunyai pertikaian wilayah adat Orang Asli harus dihentikan segera sehingga isu berkaitan tanah komunal Orang Asli ini diselesaikan.







