oleh S. Arutchelvan
Kuil dan masjid boleh dibina bersebelahan satu sama lain dan terdapat banyak tempat di negara ini yang mempunyai tradisi sedemikian.
Ucapan terbaik yang boleh diberikan oleh Perdana Menteri semasa majlis pecah tanah pada 27 Mac 2025 ialah kedua-dua kuil dan masjid boleh dibina bersebelahan antara satu sama lain dan terdapat tanah yang luas untuk memastikan ini.
Pemesejan sebegini akan memberi pesanan yang jelas bahawa PM adalah untuk keharmonian rakyat dan tidak akan menggunakan kuasanya untuk meminggirkan mana-mana satu kumpulan.
Pada tahun 2008, apabila Pakatan Rakyat berkuasa di Selangor, mereka membuat keputusan bahawa mana-mana kuil yang berusia melebihi 100 tahun tidak perlu dipindahkan melainkan ada keperluan sebenar. Oleh itu, dalam isu kini yang membabitkan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Kuala Lumpur yang mempunyai sejarah 132 tahun, pendirian yang sama boleh diguna pakai.
PSM mencadangkan bahawa Perdana Menteri tidak perlu memilih antara kuil atau masjid; dia boleh memilih kedua-duanya dan ini membolehkan Perdana Menteri dilihat sebagai seorang negarawan yang membina perpaduan dan keharmonian serta adil untuk semua.
Masyarakat Malaysia adalah masyarakat yang bertolak ansur di mana mereka boleh memastikan kedua-dua tempat ibadat dapat wujud dan menghormati kepelbagaian serta perpaduan yang dipupuk oleh semua agama.
==========
S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).