KUALA LUMPUR – 13 DISEMBER 2024: Sudah lebih 430 hari rakyat Palestin di Gaza mengalami serangan genosid daripada rejim Zionis Israel yang disokong oleh kuasa imperialis Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya. GEGAR menganjurkan aksi protes di hadapan Kedutaan Jerman dan Kedutaan AS pada hari ini untuk menggesa kerajaan kedua-dua negara itu supaya berhenti daripada bersubahat dalam jenayah genosid yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel.

Kira-kira 80 orang berhimpun di hadapan Menara Tan & Tan di mana terletaknya Kedutaan Jerman selepas solat Jumaat. Para peserta aksi protes membawa plakad-plakad dan sepanduk yang tertulis dengan pelbagai slogan bersolidariti dengan rakyat Palestin, di samping melaungkan slogan “Bebas! Bebas! Bebas Palestin!” Para demonstran kemudian berarak ke Kedutaan AS yang terletak tidak jauh dari situ.

GEGAR ialah sebuah gerakan anak muda anti-imperialis dan anti-Zionis yang memperjuangkan kemerdekaan Dunia Selatan dari imperialisme Barat. Wakil GEGAR menyerahkan memorandum kepada kedua-dua Kedutaan itu dengan tuntutan supaya kedua-dua negara itu menghentikan serta-merta genosid yang sedang berlaku di Gaza, pendudukan rejim Zionis di bumi Palestin, serta peperangan imperialis yang berterusan terhadap Lubnan, Yaman, Iran dan Syria. Aksi protes pada hari ini juga bersempena dengan ulang tahun Intifada Pertama (yang tercetus pada 9 Disember 1987).

“200,000 nyawa rakyat Palestin telah dikorbankan oleh pendudukan Israel dengan sokongan daripada Jerman dan AS,” begitu tulisnya memorandum GEGAR yang turut disokong oleh 16 buah organisasi lain. “2 juta orang warga awam di Gaza masih dikepung – dinafikan makanan, air dan perubatan – sementara menghadapi pengusiran paksa, pemenjaraan besar-besaran, dan penyeksaan seksual serta fizikal oleh rejim Zionis yang disokong oleh Jerman dan AS. Sementara itu, rejim Zionis meneruskan kempen penghukuman kolektif terhadap Lubnan, Syria, Iran dan Yaman dengan senjata yang dibekalkan oleh AS dan Jerman.”

“Pentadbiran Biden-Harris pada hari-hari terakhir kekuasaan mereka telah meningkatkan genosid di Gaza ke dalam perang serantau yang menyeluruh. Sementara itu, pentadbiran Trump yang akan datang pula telah mengancam untuk menyempurnakan pengilhakan Tebung Barat dan Gaza senada dengan usala lobi Zionis dan perindustrian yang mengaut keuntungan daripada peperangan,” ulas memorandum GEGAR. “Pengabaian negara-negara liberal Barat terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan kemunafikan di sebalik susunan antarabangsa yang melindungi sekutu-sekutu Barat dengan cara yang kejam, termasuk pendudukan Zionis, tanpa mempedulikan sebarang akibat daripada genosid dan pengusiran berjuta-juta orang yang tertindas di Selatan Global.”

Tuntutan-tuntutan yang dikemukakan dalam memorandum GEGAR kepada kedua-dua Kedutaan AS dan Jerman, termasuk:

  • Melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan berkekalan di Gaza, Tebing Barat dan Lubnan, di samping menamatkan pendudukan Israel ke atas wilayah-wilayah Palestin yang termasuk Baitulmuqaddis, Tebing Barat dan Gaza, serta Dataran Tinggi Golan di Syria.
  • Menamatkan penglibatan AS secara langsung dan tidak langsung dalam perang serantau Israel ke atas Gaza, Tebing Barat, Lubnan, Syria, Iran dan Yaman.
  • Mengenakan embargo senjata dua-hala terhadap rejim Zionis, termasuk semua perjanjian, import, eksport dan pemindahan senjata selaras dengan keputusan ICJ pada Januari dan Julai 2024.
  • Menggantung Perjanjian Kerjasama EU-Israel dan menghentikan semua aktiviti komersial yang menyokong pendudukan Israel terhadap bumi Palestin.
  • Menegakkan dan menguatkuasakan waran tangkap terhadap Benjamin Netanyahu dan Yoav Gallas atas jenayah perang yang menggunakan kebuluran sebagai kaedah perang, dan jenayah terhadap kemanusiaan yang melibatkan pembunuhan, penganiayaan dan tindakan-tindakan lain yang tidak berperikemanusiaan.
  • Menghentikan penjenayahan dan penindasan terhadap gerakan penentangan Palestin serta kumpulan-kumpulan masyarakat sivil.

Memorandum ini juga menyatakan pendirian organisasi-organisasi progresif di Malaysia untuk terus teguh bersolidariti bersama rakyat Palestin, Lubnan, Yaman dan Syria yang melawan imperialisme AS.

Antara organisasi-organisasi yang menyokong memorandum daripada GEGAR ini termasuk Parti Sosialis Malaysia (PSM), Pemuda Sosialis PSM, Angkatan Kesatuan Siswa Sosialis (AKSI), Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM), Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK), Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Sosialis Alternatif, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Suara Mahasiswa dan sebagainya. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *