Donald Trump bakal kembali menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS) selepas menewaskan Kamala Harris yang merupakan penyandang jawatan Naib Presiden AS dalam satu keputusan pilihan raya yang tidak begitu mengejutkan.
Pilihan Raya Umum AS telah diadakan pada 5 November 2024 untuk memilih Presiden AS, 33 daripada 100 kerusi dalam Senat AS dan kesemua 435 orang ahli dalam Dewan Perwakilan AS. Selain itu, pemilihan untuk gabenor di 11 daripada 50 buah negeri (Carolina Utara, Dakota Utara, Delaware, Indiana, Missouri, Montana, New Hampshire, Utah, Vermont, Virginia Barat dan Washington), kerajaan di 2 wilayah jajahan AS (Puerto Rico dan Samoa Amerika), ahli-ahli perwakilan dalam kebanyakan dewan perundangan negeri dan pelbagai lagi jawatan awam juga diadakan pada hari yang sama. Tumpuan dunia kepada Pilihan Raya Umum AS sudah pastinya siapa yang akan mengambil alih jawatan politik yang paling berkuasa di dunia itu.
Donald Trump, calon Parti Republikan yang pernah memegang jawatan Presiden AS pada tahun 2017-2020, meraih sebanyak lebih 75.5 juta undi (bersamaan 50.2% undian yang sah) dan menguasai sebanyak 312 daripada 538 undi badan pemilih, membolehkannya kembali ke Rumah Putih di Washington, D.C. sebagai Presiden AS yang ke-47. Pesaing utamanya, Kamala Harris, calon Parti Demokratik yang merupakan penyandang jawatan Naib Presiden AS ketika pilihan raya, hanya memperoleh kira-kira 72.4 juta undi (bersamaan 48.2% undian) dan 226 undi badan pemilih. Sebanyak 6 buah “negeri atas pagar” (swing state) yang dikuasai oleh Parti Demokratik dalam pilihan raya pada tahun 2020 kini bertukar tangan kepada Parti Republikan (iaitu Arizona, Georgia, Michigan, Nevada, Pennsylvania dan Wisconsin). Ini merupakan keputusan yang terbaik untuk calon daripada Parti Republikan sejak kemenangan George H. W. Bush pada tahun 1988. Anggaran peratusan keluar mengundi kali ini ialah kira-kira 59-64%, lebih rendah berbanding tahun 2024 pada kadar 62-66%.
Ini ialah kali pertama Donald Trump menang dalam Pilihan Raya Presiden AS dengan undi popular yang terbanyak. Trump menang dalam Pilihan Raya Presiden AS 2016 dengan undi badan pemilih yang terbanyak tetapi undi popularnya kurang hampir 3 juta berbanding pesaingnya Hilary Clinton, dan gagal mempertahankan jawatan Presiden AS dalam Pilihan Raya 2020 dengan perbezaan undi popular serta undi badan pemilih yang jelas. Trump enggan mengaku kalah pada tahun 2020 dengan menghasut penyokong-penyokongnya untuk menyerang bangunan Kapitol di Washington D.C. pada 6 Januari 2021.
Kemenangan Trump dalam Pilihan Raya Presiden AS kali ini bukan lagi sesuatu yang mengejutkan. Selain kempen Parti Republikan yang penuh dengan sandiwara dan pertunjukan ngeri, seperti peristiwa cubaan membunuh Trump di Butler, Pennsylvania, pada 13 Julai 2024, kegagalan kerajaan pimpinan Joe Biden daripada Parti Demokratik dalam menyelesaikan pelbagai masalah rakyat bawahan di AS turut menyumbang kepada kemenangan Trump sekali lagi. Pengunduran Biden daripada pertandingan untuk memberi laluan kepada Kamala Harris menggantikannya sebagai calon Presiden pun gagal menyelamatkan Parti Demokratik daripada kekalahan teruk ini. Parti Demokratik telah hilang sebanyak hampir 9 juta undi berbanding keputusan pilihan raya tahun 2020.
Trump ialah Presiden AS pertama yang telah disabitkan kesalahan jenayah, dan sekarang ini dipilih semula selepas kempennya yang didominasi oleh retorik yang penuh dengan sentimen rasis, anti-migran, ancaman membalas dendam terhadap musuh politiknya, kenyataan palsu dan teori konspirasi. Adalah tidak menghairankan bahawa seorang penjenayah boleh menjadi Presiden AS, kerana banyak Presiden sebelum Trump pernah melakukan jenayah kemanusiaan yang dahsyat di merata tempat di seluruh dunia melalui dasar imperialis AS, yang berbeza hanyalah mereka tidak disabit kesalahan atas mana-mana jenayah yang dilakukan oleh mereka itu kerana kedudukan AS sebagai kuasa besar dunia.
Mungkin ada orang menganggap Trump itu ialah seorang politikus yang liar dan mendapat sokongan daripada ramai golongan menengah serta bawahan warga berkulit putih di AS, kerana retoriknya yang “menentang golongan berkuasa” (anti-establishment) dan mencabar sistem pemerintahan sedia ada yang penuh dengan kepincangan. Namun, Trump mewakili kepentingan kapitalis yang terancam oleh krisis ekonomi kapitalis global pada masa ini dan cuba menyelamatkannya dengan cara yang berbeza dengan “golongan berkuasa” dalam kerajaan AS sekarang. Trump dan pasukan kempen di belakangnya agak bijak dalam mempergunakan sentimen rakyat yang dimangsakan di bawah sistem ekonomi neoliberal yang diurus tadbir oleh elit “golongan berkuasa” sekarang, untuk menawarkan solusi palsu kepada krisis mendalam di AS, melalui retorik populis berhaluan kanan yang menyebarkan kebencian dan permusuhan terhadap golongan yang terpinggir (seperti golongan migran).
Walaupun undi yang diperoleh Kamala Harris kurang hampir 9 juta berbanding Joe Biden pada tahun 2020, peningkatan dalam undi sokongan kepada Trump hanya kira-kira 1.2 juta. Ini bermakna ada ramai orang yang mengundi Biden pada tahun 2020 untuk menewaskan Trump itu tidak keluar mengundi, sementara sokongan Trump memang meningkat hasil daripada usaha golongan pelampau kanan untuk meningkatkan lagi kepopularan Trump sepanjang 4 tahun yang lalu dan kempennya yang menambat hati rakyat AS yang kecewa dengan keadaan semasa melalui retorik populis “anti-golongan berkuasa” yang berhaluan kanan.
“Ia sepatutnya tidak mengejutkan sangat untuk Parti Demokratik yang sudah mengabaikan rakyat kelas pekerja mendapati bahawa kelas pekerja telah membuang mereka,” begitu katanya Bernie Sanders, Senator bebas tetapi bersekutu dengan Parti Demokratik yang mewakili negeri Vermont dan pernah bertanding dua kali dalam pemilihan awal calon Parti Demokratik untuk Presiden AS (2016 dan 2020) dengan platform yang lebih berhaluan kiri namun ditewaskan oleh calon yang mendapat sokongan padu daripada golongan berkuasa dalam parti itu. “Tatkala kepimpinan Parti Demokratik mempertahankan status quo, rakyat Amerika marah dan mahukan perubahan.”
“Hari ini, apabila golongan sangat kaya hidup dengan sangat baik, 60% rakyat Amerika hidup dari bayaran upah ke bayaran upah, dan kita mempunyai ketidaksamarataan pendapatan dan kekayaan yang lebih besar berbanding sebelum ini,” ulas Bernie Sanders. “Sukar dipercayai tetapi benar, gaji mingguan yang mengambil kira inflasi bagi pekerja Amerika rata-rata sebenarnya lebih rendah sekarang berbanding 50 tahun dahulu.” Adalah jelas bahawa kemajuan teknologi dan kekayaan masyarakat yang dihasilkan oleh titik peluh golongan pekerja tidak dinikmati oleh rakyat biasa di AS, sebaliknya rakyat miskin terus dimiskinkan untuk mengkayakan golongan mahakaya. Ini ialah akibat dasar ekonomi yang dibawa oleh kerajaan AS selama ini, sama ada di bawah pentadbiran Parti Demokratik atau Parti Republikan, yang melebarkan lagi jurang antara yang kaya dan yang miskin.
“Hari ini, walaupun penentangan yang kuat daripada majoriti warga Amerika, kita terus membelanjakan berbilion-bilion untuk membiayai perang habis-habisan kerajaan Netanyahu yang ekstremis terhadap rakyat Palestin yang telah membawa kepada bencana kemanusiaan yang mengerikan akibat kekurangan zat dan kelaparan besar-besaran ribuan kanak-kanak,” tambah Sanders, yang mengetengahkan peranan kerajaan AS di bawah pimpinan Joe Biden dalam menyokong jenayah genosid yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin pada masa ini.
“Adakah golongan berkepentingan wang besar dan golongan konsultan bergaji lumayan yang mengawal Parti Demokratik itu mempelajari sebarang pengajaran sebenar daripada kempen yang membawa bencana ini? Adakah mereka memahami kesakitan dan pengasingan politik yang dialami oleh puluhan juta orang warga Amerika? Adakah mereka mempunyai apa-apa idea tentang bagaimana kita boleh mencabar Oligarki yang semakin berkuasa yang mempunyai begitu banyak kuasa ekonomi dan politik? Mungkin tidak,” kata Sanders lebih lanjut lagi.
Kegagalan pentadbiran AS di bawah pimpinan Presiden Joe Biden dan Parti Demokratik dalam menangani masalah yang menghantui puluhan juta rakyat biasa AS merupakan punca utama kekalahan mereka dalam pilihan raya ini. Namun, reka bentuk sistem pilihan raya di AS tidak membenarkan rakyat AS untuk memilih alternatif yang benar-benar mengubah sistem sedia ada melalui Pilihan Raya Presiden yang dikawal dan dipengaruhi oleh kepentingan-kepentingan korporat besar. “Alternatif” yang menggantikan Joe Biden sekarang, walaupun cuba menonjolkan dirinya sebagai jaguh yang mencabar status quo dan menentang “golongan berkuasa”, hanyalah proksi kepada segelintir kepentingan korporat, malah Trump sendiri merupakan seorang kapitalis besar. Pertukaran Presiden AS hanyalah penjajaran semula kepentingan kapitalis AS.
Oleh itu, adalah tidak hairan kenapa Elon Musk, orang yang terkaya di AS pada masa ini dan kapitalis yang melaburkan modal besar dalam banyak sektor teknologi canggih, begitu ghairah berkempen untuk Trump, malah sanggup memberi dedak kepada pengundi-pengundi di negeri-negeri atas pagar secara terang-terangan dengan menawarkan bayaran AS$1 juta setiap hari kepada pengundi semasa tempoh kempen. Kesungguhan Elon Musk menyokong Trump dalam kempen pilihan raya itu mendapat balasan serta-merta apabila Trump bersedia untuk melantik Elon Musk ke dalam Kabinetnya. Ini satu urusan niaga yang berbaloi dan “situasi menang-menang” bagi kedua-dua orang mahakaya yang bermulut besar itu.
Pilihan Raya Presiden AS sentiasa mendapat perhatian dunia, kerana keputusannya bukan sekadar mendatangkan kesan langsung kepada rakyat AS, tetapi juga mempengaruhi situasi di peringkat global. Sama ada kerajaan AS itu mengamalkan dasar luar yang cuba memulihkan kedudukan dominasi AS di peringkat antarabangsa seperti yang dilakukan oleh Biden atau yang lebih “mengasingkan diri” seperti yang pernah diamalkan oleh Trump semasa kepresidenan pertamanya, asasnya sudah pasti adalah memastikan kepentingan kekuasaan imperialis AS itu dilindungi dan dijamin di peringkat global.
Oleh itu, krisis kemanusiaan dan genosid yang dihadapi oleh rakyat Palestin akan berterusan, kerana rejim Zionis Israel akan terus mendapat sokongan daripada kerajaan AS yang memerlukan satu sekutu sebagai “pengimbang” dalam percaturan geopolitiknya di rantau Timur Tengah. Trump bercakap besar tentang dia mahu membawa “keamanan” kepada rantau Timur Tengah, tetapi apa yang dimaksudkannya hanyalah “keamanan” bagi kepentingan imperialis AS dan golongan penindas dengan mengekalkan ketidakadilan dan kezaliman terhadap rakyat yang tertindas. Trump telah menggesa rejim Zionis Israel untuk “menyelesaikan tugas”, dengan niat yang jelas untuk menghancurkan sepenuhnya penentangan rakyat Palestin terhadap pendudukan Israel.
Di rantau Asia Pasifik pula, dengan golongan elit kapitalis AS yang semakin gusar kerana kemunculan China sebagai kuasa besar dan pemain utama dalam ekonomi kapitalis global yang mencabar kekuasaan AS, golongan elit pemerintah di AS akan terus cuba sedaya upaya untuk menyekat pengaruh ekonomi-politik China dan tindakan itu akan mencetuskan lebih banyak lagi ketegangan geopolitik antara dua buah kuasa besar itu. Negara-negara lain yang berada di rantau ini akan sentiasa menghadapi tekanan untuk berpihak kepada salah satu kuasa besar atau yang lain, maka membawa implikasi yang mendalam kepada politik domestik masing-masing. Ini sesuatu yang boleh dijangkakan.
Apa yang boleh kita jangkakan adalah perjuangan rakyat AS di lapangan, dalam menentang serangan bertubi-tubi ke atas hak pekerja, hak wanita, alam sekitar, golongan minoriti, golongan migran dan banyak lagi daripada kerajaan pimpinan Trump, yang disertai oleh kapitalis mahakaya seperti Elon Musk, akan berterusan. Mobilisasi untuk menentang dasar imperialis AS di seluruh dunia juga akan dan harus diteruskan.