oleh S. Arutchelvan
(Tulisan ini merupakan respon kepada wawancara Malaysiakini baru-baru ini dengan Edgard D Kagan, Duta Amerika Syarikat ke Malaysia.)
Wawancara Malaysiakini dengan Edgard D Kagan, Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, mencerminkan keangkuhan dan sifat suka berlagak AS yang menganggap dirinya sebagai jaguh dunia bebas.
Memandangkan menjelang 11 September lagi, ia mungkin masa yang sesuai untuk merenung pada dasar AS dan menilai bagaimana ia menyumbang kepada menjadikan dunia kita lebih selamat atau tidak.
AS membawa perang kepada dunia
Penamatan Perang Dunia II sering dikaitkan dengan pengeboman AS ke atas Hiroshima dan Nagasaki, yang membunuh kira-kira 250,000 orang dengan menggunakan bom atom.
Buku-buku sejarah memuji AS kerana membawa keamanan kepada dunia. Namun begitu, kematian dan genosid tidak berakhir dengan Perang Dunia II. Sejak itu, AS telah terlibat dalam banyak perang di negara-negara yang lebih kecil, mengakibatkan kemusnahan yang meluas. Antaranya: Perang Korea (1950-1953), Perang Vietnam (1955-1975), Perang Teluk (1990-1991), Perang Kosovo (1999), Perang di Afghanistan (2001-2021) dan Perang Iraq (2003-2011).
Pada ketika rencana ini ditulis, AS terus terlibat secara aktif dalam operasi ketenteraan di Syria, Yaman dan tempat-tempat lain.
Pada hari ini, AS dan sekutu-sekutu Baratnya menghadapi ancaman domestik yang ketara daripada pelarian dan keganasan – kedua-duanya merupakan produk imperialisme AS dan dasar-dasar luarnya. Siapa yang mewujudkan krisis pelarian di dunia Barat? Siapa yang mula menghancurkan negara-negara ini dan mencetuskan penghijrakan ke Barat? Peristiwa serangan keganasan 11 September 2001 dipersalahkan kepada Osama Laden, yang pada awalnya dilatih oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA) untuk berperang dengan Kesatuan Soviet di Afghanistan.
Pada hari ini, wujudnya komuniti pelarian dan migran yang besar di negara-negara maju, seperti yang ditunjukkan dalam protes baru-baru ini di England. Namun, kuasa-kuasa Barat inilah yang mengebom negara-negara Timur Tengah, mencetuskan krisis pelarian semasa pada mulanya.
Jadi, negara AS di bawah samaran hak asasi manusia – yang sering diterjemahkan ke dalam kepentingan sumber minyak – mengebom negara-negara yang menentangnya, mewujudkan kebuluran dan kesusahan di negara-negara itu serta menjana aliran pelarian ke negara-negara maju.
Iran di bawah pemerintahan Shah merupakan sekutu AS sehingga dia digulingkan oleh Khomeini. Saddam Hussein ialah sekutu AS sehingga dia melampaui batasan yang dibenarkan oleh AS. Pada tahun 1980-an, AS dan Britain menyokong Saddam dalam perangnya terhadap Iran, membekalkan Iraq dengan senjata, wang, risikan satelit dan malah pelapor untuk senjata kimia dan biologi. Kemudiannya, mereka melancarkan perang terhadap Iraq dengan alasan ia menggunakan senjata kimia, walaupun AS pernah menggunakan senjata sebegini secara meluas dalam Perang Vietnam.
Begitu juga dengan negara-negara seperti Venezuela, Syria, Libya dan lain-lain yang telah mengalami serangan kerana kerajaan dan pemimpin mereka tidak bersetuju dengan hegemoni AS, membawa kepada sekatan, embargo dan perang.
AS mengkritik pencabulan hak asasi manusia di Afghanistan, Iran dan Syria, tetapi membenarkan pencabulan yang serupa di Arab Saudi, sekutunya yang paling rapat.
AS, sebuah negara yang sedang bergelut untuk menyelesaikan masalah perpecahan kaum dan mengekang keganasan senapang di dalam sempadannya sendiri, tidak mempunyai kewibawaan untuk mengajar seluruh dunia tentang keamanan, demokrasi dan kebebasan.
Pendirian AS tidak disokong oleh majoriti masyarakat antarabangsa
Wawancara Kagan dengan Malaysiakini mencerminkan perpektif AS mengenai dunia. Pandangan sebegini sering dibesar-besarkan oleh media Barat, yang menguasai kebanyakan saluran media dan menyampaikan pandangan yang serong untuk menghasilkan naratif yang menyokong kepentingan ekonomi mereka sendiri dan menjustifikasi matlamat mereka.
Saya mendapati bahawa pandangan Kagan itu angkuh dan berlagak sombong, dan hujah-hujahnya dipenuhi dengan kekaburan dan tidak konsisten. Izinkan saya membidas beberapa pandangan yang disampaikannya.
Duta AS itu berkata, “Dalam pengalaman kami, resolusi berat sebelah dan tindakan berat sebelah adalah tidak berkesan. Ia mungkin sesuatu yang sesetengah negara berasa gembira untuk melakukannya, tetapi akhirnya perbezaan besar adalah orang berpandang pada AS bukannya kerana apa yang kami cakap tetapi apa yang kami buat. Jika kita mahu berkesan, perlunya keseimbangan.”
Namun, dalam kebanyakan isu antarabangsa, AS sering dipencilkan. Duta AS itu cuba memberi gambaran bahawa AS menggunakan kuasa veto terhadap resolusi-resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kerana resolusi-resolusi itu berat sebelah. Baru-baru ini, banyak sekutu AS telah menyokong seruan untuk gencatan senjata di Gaza, tetapi dibantah oleh AS dan Israel. Mereka menyalahkan Hamas kerana tidak bersetuju dengannya. Hamas menyeru untuk gencatan senjata berkekalan, sementera Israel hanya mahu gencatan senjata sementara. Sebahagian besar komuniti global menginginkan keamanan dan kemajuan di rantau Timur Tengah.
Mari kita lihat resolusi mengenai Kuba pada 2 November 2023. Perhimpunan Agung PBB mengundi dengan margin yang besar untuk membantah embargo ekonomi dan perdagangan AS terhadap Kuba, yang pertama kali dikenakan pada tahun 1960. Sejumlah 187 buah negara mengundi untuk menyokong resolusi yang dibawa setiap tahun mengenai bantahan terhadap embargo itu tetapi hanya AS dan Israel mengundi untuk membantahnya, dan Ukraine berkecuali.
Sekali lagi, kita dapat lihat bagaimana terpencilnya AS dalam isu-isu popular. Pasukan perubatan Kuba telah membantuk lebih banyak negara dalam kesusahan dengan doktor-doktor dan vaksinnya berbanding negara jirannya yang merupakan sebuah kuasa besar dunia di mana eksport terbesarnya ke dunia ialah perang dan senjata.
Pihak berkuasa AS menindas protes aman
Kagan menegaskan dalam wawancaranya bahawa AS menyokong protes secara aman dan tindakan boikot, dengan berkata, “Kami percaya pada protes secara aman. Itu boleh diterima dan kami menyokongnya. Kami mengiktiraf bahawa rakyat mempunyai pandangan yang tegas, maka biar mereka melakukannya.”
Situasi di negaranya sendiri memberitahu cerita yang berbeza. Di AS, demonstran-demonstran yang berprotes secara aman sering diserang, dan penyokong-penyokong Palestin menghadapi pelbagai ancaman, termasuk penangkapan, penembakan, penggantungan dan kehilangan kerja. Walaupun media arus perdana sering menapis keluar ini, klip-klip media sosial mendedahkan pegawai-pegawai penguatkuasa yang bersenjata lengkap menangkap pelajar-pelajar dan profesor-profesor yang berprotes secara aman di kampus-kampus universiti di seluruh AS yang sepatutnya merupakan “tanah yang bebas dan kampung halaman untuk orang yang berani”.
Satu laporan pada bulan Mei 2024 menunjukkan bahawa lebih daripada 2,900 orang telah ditangkap apabila pihak berkuasa meningkatkan tindakan keras terhadap sekurang-kurangnya 61 buah kampus kolej di seluruh AS. Aksi duduk bantah telah dilayan dengan gas pemedih mata, peluru getah, semburan lada dan lain-lain bentuk kekerasan yang berlebihan terhadap penunjuk perasaan yang aman.
Wahai Duta AS, tidakkah anda terfikir bahawa inilah contohnya “mengata dulang paku serpih, mengata orang awak yang lebih”?
AS bukan pendamai dunia
Duta AS bertanya, “Adakah sesiapa yang berfikir bahawa boikot telah membawa apa-apa penambahbaikan kepada keadaan di Gaza? Jika seseorang mahu berhujah sedemikian, saya terbuka untuk mendengar asasnya.” Saya berfikir bahawa dia sepatutnya bertanya soalan ini kepada kedai-kedai McDonald’s dan Starbucks di Malaysia yang telah mengadu tentang impak tindakan boikot.
Duta AS itu juga percaya bahawa hubungan AS dengan Israel dan komitmennya kepada Israel memberikannya kredibiliti untuk menjadi perantara dalam mewujudkan keamanan di rantau Timur Tengah. Bagaimanapun, nampaknya dunia sedang mencari pendamai yang lain kerana AS terus dianggap berat sebelah. Pada bulan Mac tahun lalu, China telah menjadi perantara kepada satu perjaniian bersejarah untuk memulihkan hubungan antara Iran dan Arab Saudi. Malah akhbar The New York Times mengakui peralihan ini, dengan melaporkan dalam edisi 11 Mac 2023 bahawa:
“Orang Amerika, yang telah menjadi pelaku utama di Timur Tenah untuk tiga suku abad yang lalu, hampir selalunya berada di dalam bilik apabila ia berlaku, sekarang mendapati diri mereka dipinggirkan semasa perubahan ketara. Orang China, yang selama bertahun-tahun hanya memainkan peranan tidak berapa penting di rantau ini, tiba-tiba mengubah diri mereka menjadi pemain kuasa baharu. Dan orang Israel, yang telah cuba memikat Arab Saudi untuk menentang musuh bersama mereka di Tehran, kini tertanya-tanya apa kesannya kepada mereka.”
Duta AS itu terkejut dengan sikap berdiam diri berhubung serangan oleh Hamas pada 7 Oktober 2023, di mana dia mengatakan tidak adil. Namun, apakah respon Duta AS kepada genosid besar-besaran yang dilakukan atau ditaja oleh AS? Kita lihat pada pembunuhan beramai-ramai di Indonesia pada tahun 1965-1966, dan Peristiwa 11 September yang satu lagi pada tahun 1973 di Chile, apabila Presiden Salvador Allende yang dipilih secara demokratik dijatuhkan dan digantikan oleh Augusto Pinochet dengan sokongan daripada CIA melalui Projek FUBELT. Menurut satu kajian, AS melakukan sekurang-kurangnya 81 kali campur tangan secara terang-terangan dan tersembunyi dalam pilihan raya luar negara dari tahun 1946 hingga 2000. Satu lagi kajian melaporkan bahawa AS terlibat dalam 64 cubaan terang-terangan dan 6 cubaan secara rahsia untuk perubahan rejim semasa Perang Dingin.
Satu lagi hujah yang dibawa oleh Duta AS adalah, secara keseluruhannya, AS telah melakukan lebih banyak untuk menyokong rakyat Gaza dalam tempoh 20 tahun yang lalu berbanding mana-mana negara lain, dari segi bantuan dan sumbangan kepada kesejahteraan mereka. Jika perkataan “Gaza” digantikan dengan “Israel” dalam kenyataan ini, ia akan kelihatan lebih benar. Sejak 7 Oktober 2023, selain AS memajak kepada Israel dua bateri pertahanan peluru berpandu Iron Dome, terdapat laporan mengenai lebih seratus bantuan ketenteraan dipindahkan kepada Israel. Hanya dua daripada pemindahan bantuan ketenteraan ini, dengan jumlah kira-kira USD 250 juta, memenuhi ambang semakan di Kongres AS dan dipaparkan kepada masyarakat awam.
Pada ketika negara-negara lain mempunyai bantuan dalam trak-trak yang ditujukan kepada rakyat Gaza, AS meneruskan bantuan besarnya kepada Israel, termasuk peluru untuk kereta kebal dan meriam, bom, roket, dan senjata kecil.
Pada bulan April 2024, laporan berita menunjukkan bahawa kerajaan Joe Biden sedang mempertimbangkan jualan ketenteraan yang baharu kepada Israel dengan nilai lebih USD 18 bilion, termasuk 50 buah pesawat tempur F-15, walaupun penghantarannya tidak akan sampai dalam tempoh bertahun-tahun.
Protes besar-besaran di Israel baru-baru ini menunjukkan bahawa malah rakyat Israel tidak menyalahkan Hamas atas rundingan yang dilengahkan. Perdama Menteri Israel Benjamin Netanyahu telah mewujudkan halangan dan menetapkan syarat-syarat baharu untuk memastikan perang berpanjangan, mengelakkan keperluan untuk mengadakan pilihan raya di Israel yang pada asalnya dijadualkan pada awal tahun 2025.
Duta AS itu juga berkata, “Kami juga percaya bahawa ia adalah penting untuk mengurangkan ketegangan di rantau ini. Jelas sekali, ia tidak baik untuk mana-mana pihak daripada kita di rantau ini dan sesiapa sahaja yang mengambil berat tentang rantau ini, jika ketegangan baharu dan konflik baharu tercetus. Kami (AS) telah bekerja dengan sangat keras untuk melakukannya (pengurangan ketegangan).” Namun pada hakikatnya, dasar luar AS dan kepentingan besarnya dalam minyak dan gas merupakan punca kepada ketegangan serantau. AS telah terlibat dalam, dan membiayai satu pihak atau yang lain, dalam semua konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah. Sementara melancarkan perang terhadap Iran, Libya dan Afghanistan dengan alasan hak asasi manusia, AS pada masa yang sama menyokong Arab Saudi, sekutu paling rapatnya, dan mengabaikan pencabulan hak asasi manusia yang serupa di itu.
Dunia lebih baik tanpa campur tangan AS
Duta AS itu berkata, “Saya berfikir bahawa adalah sangat serius apabila terdapat desakan untuk melakukan sesuatu, orang ramai mengharapkan AS untuk melakukannya. Sebagai orang Amerika, kami mengambil tanggungjawab itu dengan sangat serius. Pada asasnya, dari perspektif Amerika, kami menyedari bahawa kami akan dinilai berdasarkan apa yang kami lakukan, bukan hanya apa yang kami katakan.”
Itulah pandangan saya: AS tidak patut dinilai berdasarkan mitos yang dicipta oleh medianya sendiri. Dunia ini akan menjadi tempat yang lebih baik dan selamat jika AS berhenti mencampur tangan dan cuba bertindak sebagai polis dunia.
Dunia ini dan rakyatnya berhak mendapat sebuah masa hadapan yang lebih baik – masa hadapan tanpa perang, malapetaka iklim dan penghijrahan paksaan.
==========
S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).