Piket pekerja bank di Ipoh, Perak, pada 21 Ogos 2024.

oleh R Saratbabu Raman

Parti Sosialis Malaysia (PSM) turut bersolidariti bersama Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) yang telah melancarkan siri piket di seluruh negara sejak 21 Ogos 2024 untuk mempertahankan hak-hak pekerja daripada dicabuli oleh golongan majikan.

Kami memandang serius pada isu penindasan terhadap kesatuan sekerja oleh ketua-ketua pegawai eksekutif (CEO) dalam bank-bank di negara kita. Kami menyeru supaya hak kesatuan sekerja dihormati dan dipelihara.

Aksi piket terbaru yang dianjurkan oleh NUBE ini bertujuan untuk mengetengahkan masalah yang dihadapi oleh pekerja-pekerja bank kerana CEO bank enggan mendengar keluhan pekerja-pekerja malah terus menekan pekerja-pekerja dengan cara yang tidak adil. Antara masalah yang diketengahkan oleh NUBE adalah, pihak pengurusan tinggi Maybank khususnya telah gagal menangani isu gangguan seksual di cawangannya, malah menindas mangsa dengan menggantung tugasnya dan membiarkan pelaku terus bebas tanpa tindakan.

Sejak kebelakangan ini, dalam keadaan masyarakat dilanda pelbagai masalah ekonomi seperti kenaikan harga barang dan sebagai golongan pekerja di negara kita terus ditindas dan dieksploitasi oleh golongan majikan yang kaya raya. Hak pekerja untuk berkesatuan sering disekat dan tidak dihormati oleh kebanyakan majikan yang kaya raya ini demi kepentingan mereka sendiri.

Tindakan CEO-CEO bank yang mengaut keuntungan berlebihan tetapi terus membiarkan golongan pekerja B40 dan M40 hidup dalam kesusahan membongkarkan kepincangan yang wujud dalam dunia pekerjaan pada hari ini. Lebih-lebih lagi, ruang untuk pekerja-pekerja berkesatuan masih sempit. Penyertaan warga pekerja dalam kesatuan sekerja kini telah merosot ke 6% daripada seluruh tenaga kerja di negara kita. Jika keadaan ini dibiarkan berkekalan, kebebasan bersuara untuk pekerja akan terus disekat dan golongan pekerja akan terus dianiayai.

Piket NUBE di George Town, Pulau Pinang, pada 26 Ogos 2024.

Setiap rakyat mempunyai hak untuk berpersatuan mengikut Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Selain itu, kesatuan-kesatuan sekerja di Malaysia boleh membuat perjanjian bersama dengan majikan mereka. Hak untuk mengadakan perundingan kolektif termaktub dalam Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengenai Hak untuk Berorganisasi dan Perundingan Kolektif (Konvensyen No. 98), di mana Malaysia juga merupakan salah sebuah negara yang menandatanganinya.

Di Malaysia, sebanyak 60% pekerja menyertai dalam perjuangan kesatuan sekerja pada tahun 1940-an. Persekutuan Kesatuan Sekerja Se-Malaya  (PMFTU) kuat memperjuangkan hak bekerja dan hak asasi pekerja di Malaya pada masa itu. Beribu-ribu orang pekerja turun menyuarakan hak mereka dalam setiap protes pada zaman itu. Tetapi kini, usaha pekerja untuk memperjuangkan hak mereka telah disekat dengan hebatnya. Pekerja-pekerja takut akan kehilangan kerja dan menghadapi serangan bertubi-tubi daripada pihak majikan apabila mereka menyuarakan hak mereka. Aksi piket yang dianjurkan oleh NUBE merupakan antara nafas baharu untuk setiap kesatuan sekerja yang masih bernyawa lagi.

Baru-baru ini, beberapa orang ahli Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital-Hospital Kerajaan dan Jabatan-Jabatan Kerajaan Semenanjung Malaysia turut mengalami ancaman pemusnahan kesatuan yang hebat. Pekerja-pekerja pembersihan di hospital telah menerima tekanan hebat daripada pihak majikan. Ada yang digantung kerja sementara dan sebahagian lagi pekerja menerima surat kaunseling sebagai amaran disebabkan mereka menyertai aktiviti kesatuan sekerja. Pemangsaan ahli-ahli kesatuan sekerja terus berlaku sehingga menjadi satu lumrah di Malaysia. Niat di sebalik tindakan kebanyakan golongan majikan ini adalah untuk mengurangkan keahlian dalam sesebuah kesatuan sekerja dan menjurus ke arah menghapuskan kesatuan sekerja di negara kita.

Sebelum ini, semasa M Kulasegaran daripada Pakatan Harapan menjadi Menteri Sumber Manusia, beliau telah menunjukkan rasa simpatinya dan menetapkan sasaran untuk meningkatkan keahlian kesatuan sekerja kepada 30 peratus. Namun, tiada sebarang pindaan dibuat terhadap Akta Kesatuan Sekerja 1959 selepas itu. Sehingga kini, agenda mengenai pindaan Akta Kesatuan Sekerja tersebut tidak diperkatakan oleh mana-mana Menteri Sumber Manusia daripada Kerajaan Pakatan Harapan dan Kerajaan Perpaduan selepas itu. Nampaknya tiada sesiapa daripada Kerajaan Perpaduan menunjukkan minat untuk memperkasakan gerakan pekerja di Malaysia.

PSM berpandangan bahawa Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) harus mencampur tangan untuk menyelesaikan segera isu yang dihadapi oleh pekerja-pekerja bank di negara kita ini. Hak, kebajikan dan kesejahteraan golongan pekerja harus diberi keutamaan supaya semua pekerja yang membanting tulang dalam pembangunan ekonomi negara kita dapat hidup dengan selesa dan bermaruah.

Kerajaan juga harus mengambil tindakan terhadap CEO-CEO dan pihak pengurusan bank yang menindas pekerja dan kesatuan sekerja. Segala bentuk penindasan yang bertujuan untuk menghancurkan kesatuan sekerja harus dihentikan serta-merta!

==========

R Saratbabu Raman ialah Ketua Biro Pekerja Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *