oleh Jayanath Appudurai

Pada 2 Februari 2024, Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa “usaha membasmi kemiskinan tegar di Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan mencapai status 100 peratus. Beliau juga mengumumkan bahawa “Pulau Pinang dijangka mencatatkan rekod sifar kemiskinan tegar pada Jun ini”.

Pada 29 Mei 2024, Menteri Besar Pahang pula mengatakan bahawa negeri itu telah “berjaya noktahkan miskin tegar”.

Pengukuran kemiskinan tegar adalah berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) sebulan bagi sebuah isi rumah. PGK Tegar  setiap negeri menggunakan PGK yang sedikit berbeza.

Definisi PGK Miskin Tegar adalah sama dengan PGK Makanan – Isi rumah yang mempunyai pendapatan bulanan kurang daripada nilai PGK makanan yang ditetapkan. Nilainya adalah amaun sebulan yang diperlukan oleh sebuah isi rumah bagi menampung kos makanan bagi empat (4) orang ahli keluarga.

PGK Mutlak – Pendapatan isi rumah tidak mencukupi untuk menampung keperluan asas, iaitu makanan, tempat tinggal dan pakaian.

Jadual 1  menunjukkan PGK Tegar dan Mutlak bulanan mengikut negeri yang diguna pakai oleh kerajaan. Sebagai contoh, sesebuah isi rumah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dianggap berjaya dikeluarkan daripada kemiskinan tegar apabila pendapatan melebihi RM1,109 sebulan.

Maka sebuah isi rumah dengan pendapatan bulanan RM1,110 tidak lagi dikategorikan sebagai miskin tegar, walaupun jelas masih berada dalam kategori miskin mutlak!

Jadual 1: PGK TEGAR dan PGK MUTLAK

NEGERIPGK TEGAR (RM sebulan)PGK MUTLAK (RM sebulan)
   
WP KL1,1092,816
MELAKA1,2442,670
NEGRI SEMBILAN1,1712,402
PULAU PINANG1,0162,250
PAHANG1,2042,480
   
MALAYSIA 1,1982,589

Walaupun pencapaian negeri-negeri tersebut dalam menoktahkan kemiskinan tegar adalah sesuatu yang membanggakan, pada hakikatnya perjuangan membasmi kemiskinan masih belum selesai!

Pembasmian kemiskinan adalah satu proses kitaran yang dinamik. Kejayaan dalam menoktahkan miskin tegar tidak berakhir dengan pengumuman pencapaian kerana dua perkara perlu dipantau dan ditangani secara berterusan:-

  • Isi rumah yang telah dikeluarkan daripada kategori miskin tegar boleh kembali kepada status tersebut atas sebab-sebab tertentu;
  • Tidak mustahil terdapat isi rumah baharu dari sesebuah daerah bakal layak dimasukkan dalam kategori miskin tegar; dan
  • Isi rumah yang berjaya lepas daripada belenggu miskin tegar tidak bermakna mereka bukan miskin mutlak.

Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK 12) telah menetapkan bahawa inisiatif membasmi kemiskinan tegar untuk memastikan rakyat miskin, termasuk miskin bandar dibantu, melalui pendekatan keseluruhan negara. Unit khusus pada peringkat Persekutuan dan di Pejabat Daerah akan ditubuhkan. Unit ini akan bertanggungjawab menyelaras pangkalan data secara bersepadu serta semua program dan inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan, Sektor Korporat dan CSO. Dengan adanya pegawai yang diberikan tugas-tugas khusus untuk menguruskan perihal kemiskinan pada peringkat daerah,  kemiskinan tegar dapat dibasmi pada tahun 2025.” (sumber: Dokumen Rancangan Malaysia ke-12, Bab 6: Membangunkan Masyarakat Inklusif dan Lebih Berdaya Tahan

Sistem dan mekanisme Unit Khas Kemiskinan di peringkat daerah dengan pegawai yang dipertanggungjawabkan adalah tepat dan jitu dan amat dialu-alukan. Kini disyorkan bahawa:-

  • Senarai Pegawai di peringkat daerah yang telah ditetapkan itu dipaparkan di laman web Pejabat Daerah untuk pengetahuan umum. Ini akan memudahkan pegawai dihubungi oleh semua pihak yang berminat;
  • Setiap Pegawai Daerah berkenaan harus diwajibkan untuk menyediakan Laporan Kemajuan setiap suku tahun;
  • Laporan ini harus dibentangkan dalam Mesyuarat Dewan Undangan Negeri oleh Menteri Besar dan Persidangan Parlimen oleh Perdana Menteri.

Kini hampir 500 ribu buah isi rumah (2 juta orang rakyat) masih terperangkap dalam kitaran kemiskinan mutlak. Ini termasuk 150 ribu buah keluarga (600 ribu orang rakyat) dalam kategori miskin tegar. Pembasmian kemiskinan tegar adalah langkah pertama dalam menangani penderitaan seharian rakyat jelata. Ia merupakan satu usaha murni dan harus disokong oleh semua lapisan masyarakat supaya perjuangan membasmi kemiskinan mutlak dalam masa terdekat dapat dicapai.

==========

 Jayanath Appudurai ialah aktivis sosial daripada Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *