Parti Bharatiya Janata (BJP), parti pelampau kanan yang dipimpin oleh Narendra Modi dan memerintah negara India sejak tahun 2014, telah menerima tamparan hebat dalam Pilihan Raya Umum India yang terbaru apabila ia kehilangan majoriti kerusi dalam Parlimen India.

Pilihan Raya Umum India untuk memilih 543 orang ahli parlimen dalam Lok Sabha (iaitu Dewan Rakyat bagi Parlimen India) telah berlangsung dari 19 April hingga  1 Jun 2024, dan keputusannya diumumkan pada 4 Jun 2024. Lebih 640 juta daripada lebih 968 juta orang pengundi India keluar mengundi. Pilihan raya untuk dewan perundangan di 4 buah negeri (Andhra Pradesh, Arunachal Pradesh, Odisha dan Sikkim) dan pilihan raya kecil bagi 25 kerusi dalam 12 buah dewan perundangan negeri juga diadakan pada masa yang sama.

Walaupun BJP yang menguasai lebih separuh kerusi parlimen dan memerintah selama dua penggal yang lalu (dari tahun 2014 hingga 2024) masih memenangi kerusi terbanyak dalam Lok Sabha, ia gagal melepasi ambang 272 kerusi untuk menguasai majoriti parlimen. BJP memenangi 240 kerusi kali ini, merosot sebanyak 63 kerusi berbanding 303 kerusi yang dimenanginya dalam Pilihan Raya Umum 2019. Angka ini juga kurang berbanding 282 kerusi yang dimenanginya pada tahun 2014. Ini bermakna bahawa BJP tidak dapat lagi memerintah secara sendiri, tetapi perlu berunding dengan sekutunya dalam Perikatan Demokratik Nasional (NDA) untuk terus berkuasa. Parti-parti politik yang bersekutu dalam gabungan parti politik berhaluan kanan NDA telah memenangi 294 kerusi, tetapi BJP yang merajui NDA tidak boleh lagi mendominasi keputusan kerajaan pusat tanpa sokongan daripada sekutunya dalam NDA yang mungkin cuba melakukan tawar-menawar kuasa demi kepentingan masing-masing. Narendra akan terus menyandang jawatan Perdana Menteri India untuk penggal ketiga dengan kekuasaan kediktatoran yang dilemahkan oleh keputusan pilihan raya terbaru.

BJP pada awalnya menjangka ia boleh mendapat kemenangan besar dengan beria-ia meletakkan sasaran untuk NDA yang diterajuinya memenangi lebih 400 kerusi, tetapi keputusan pilihan raya menunjukkan sebaliknya. BJP telah menerima kekalahan teruk di negeri kubu kuatnya, Uttar Pradesh, dengan hanya memenangi 33 daripada 80 kerusi yang dipertandingkan, jauh kurang berbanding 62 kerusi yang dimenanginya pada tahun 2019 (BJP memenangi 71 kerusi pada tahun 2014). Kekalahan BJP dan sekutunya di banyak tempat menunjukkan bahawa ramai pengundi India menolak dasar pemerintahan BJP yang anti-rakyat dan memecah-belahkan masyarakat. Walaupun disokong oleh kekuasaan korporat, politik wang, jentera negara yang represif dan propaganda yang penuh dengan penipuan serta mengapi-apikan kebencian, BJP gagal mendapat sokongan daripada majoriti rakyat India yang ingin menegakkan semangat sekular, demokratik dan inklusif di negara India.

Salah satu faktor yang menyumbang kepada kehilangan kerusi yang banyak bagi parti pemerintah kali ini, adalah parti-parti pembangkang telah bersepakat untuk membentuk sebuah gabungan politik khemah besar yang meluas, Perikatan Inklusif Pembangunan Nasional India (INDIA), demi mencabar kekuasaan pemerintahan BJP.

Perikatan pembangkang INDIA yang merupakan hasil daripada usaha perluasan keanggotaan Perikatan Progresif Bersatu (UPA) ini ditubuhkan pada bulan Julai 2023 dan disertai oleh lebih 30 buah parti politik, termasuk parti pembangkang terbesar Kongres Kebangsaan India (INC), Parti Samajwadi (SP), Kongres Trinamool Seluruh India (AITC), Parti Komunis India (CPI), Parti Komunis India (Marxis) [CPI(M)], Parti Komunis India (Marxis-Leninis) Pembebasan [CPI(ML)L], Dravida Munnetra Kazhagam (DMK), Parti Aam Aadmi (AAP), Parti Sosialis Revolusioner (RSP) dan sebagainya. Janata Dal (Bersatu) yang dipimpin oleh Nitish Kumar, Ketua Menteri Negeri Bihar, merupakan salah sebuah parti yang terlibat dalam pembentukan INDIA pada awalnya, tetapi parti itu keluar daripada perikatan INDIA pada bulan Februari 2023 dan kembali menyertai NDA yang diterajui oleh BJP.

Perikatan INDIA telah mencabar pemerintahan BJP dengan membangkitkan isu-isu rakyat yang penting, seperti pengangguran, kenaikan harga barang, kesusahan golongan petani dan ancaman terhadap demokrasi. Perikatan INDIA berjaya memenangi 234 kerusi dan memperkuatkan suara pembangkang dalam Parlimen India.

INC yang pernah memerintah untuk tempoh yang lama selepas kemerdekaan India tetapi mengalami kekalahan teruk dalam dua pilihan raya sebelum ini, berjaya bangkit semula dengan memenangi 99 kerusi Lok Sabha, meningkat sebanyak 47 kerusi berbanding 52 kerusi yang dimenanginya pada tahun 2019. Parti Samajwadi membawa kejutan di negeri kubu kuat BJP, Uttar Pradesh, dengan memenangi 37 daripada 80 kerusi dan menjadi parti terbesar di negeri itu. AITC yang memerintah negeri Bengal Barat sejak tahun 2011 telah memenangi 29 daripada 42 kerusi yang dipertandingkan, meningkat sebanyak 7 kerusi berbanding tahun 2019. DMK memenangi semua 22 kerusi yang ditandinginya di negeri Tamil Nadu (terdapat 39 kerusi Lok Sabha untuk Tamil Nadu dan BJP langsung tidak dapat menang satu kerusi pun).

Parti-parti berhaluan kiri yang bergabung dalam perikatan INDIA mendapat keputusan yang lebih baik sedikit berbanding tahun 2019. CPI(M) berjaya memenangi 4 kerusi, iaitu 2 kerusi di Tamil Nadu, 1 kerusi di Kerala dan 1 kerusi di Rajasthan. Angka ini bermakna CPI(M) bertambah satu kerusi dalam Parlimen India berbanding keputusan yang paling teruknya pada tahun 2019 yang hanya memenangi 3 kerusi. CPI mengekalkan 2 kerusi yang dimenanginya di negeri Tamil Nadu. CPI(ML)L memenangi 2 daripada 3 kerusi yang ditandinginya di negeri Bihar, di mana ini merupakan kali pertama CPI(ML)L mempunyai kerusi dalam Lok Sabha. RSP juga menang 1 kerusi di Kerala.

Dalam kenyataan yang dikeluarkannya berikutan keputusan pilihan raya diumumkan, Biro Politik CPI(M) mengucapkan syabas kepada rakyat India kerana bangkit menentang serangan autoritarian daripada BJP dan mempertahankan Perlembagaan India, demokrasi serta hak sivil. “Keputusan akan lebih teruk bagi BJP dan NDA sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya memastikan persaingan yang adil,” kata Biro Politik CPI(M). “Kegagalan besarnya untuk membendung retorik perkauman yang menghasut daripada Narendra Modi dan menguatkuasakan Tatakelakuan Model adalah mencemarkan reputasi Suruhanjaya ini.”

“Keputusan ini memberi isyarat bahawa rakyat akan melawan balik semua serangan terhadap demokrasi, Perlembagaan dan kehidupan mereka,” tambah Biro Politik CPI(M). CPI(M) akan membuat analisis yang lebih terperinci tentang prestasi parti-parti kiri selepas mendapat keputusan penuh pilihan raya.

“Keputusan pilihan raya Lok Sabha merupakan mandat yang menentang kediktatoran Modi, dan kemenangan untuk demokrasi dan Perlembagaan,” kata Dipankar Bhattacharya, Setiausaha Agung CPI(ML)L. “Prestasi perikatan INDIA di Uttar Pradesh telah membuka jalan kepada kejayaan perikatan ini di dalam negara, yang merupakan jawapan yang sesuai kepada BJP dan penolakan terhadap rejim yang dipimpin oleh Narendra Modi dan Amit Shah. Krisis kehidupan rakyat dan dasar perpecahan yang diamalkan oleh BJP juga telah ditewaskan.”

Pemerintahan kerajaan BJP yang dipimpin oleh Narendra Modi selama 10 tahun kebelakangan ini telah mengubah landskap politik negara India secara ketara, dengan fahaman nasionalisme Hindu semakin menular dan memecah-belahkan masyarakat negara India. Kerajaan pimpinan Modi telah membawa beberapa pindaan undang-undang yang menjejaskan prinsip asas kepelbagaian dan toleransi di negara India.

Di bawah pemerintahan kerajaan pelampau kanan pimpinan Modi yang menunjukkan sifat-sifat rasis, fasis dan chauvinis agama, walaupun negara India melalui pembangunan ekonomi yang pesat, pengagihan kekayaan masyarakat pula semakin tidak sama rata dengan semakin ramai rakyat India hidup dalam kemiskinan dan kesusahan. Kerajaan BJP juga melancarkan pelbagai serangan terhadap pembangkang untuk memperkukuhkan kuasanya. Walaupun Modi akan terus menjadi Perdana Menteri India untuk penggal ketiga, keputusan pilihan raya terbaru merupakan satu tamparan hebat kepada rejim pemerintahannya dan peringatan bahawa rakyat India tidak akan membiarkan rejim pelampau kanan ini memusnahkan kehidupan mereka.

Dengan blok pembangkang menguasai lebih banyak kerusi dalam Lok Sabha, sudah pasti kerajaan perikatan NDA akan menghadapi suara kritikan yang lebih lantang dalam Parlimen. Namun, semenangnya sekadar suara pembangkang yang lebih kuat dalam parlimen tidak mencukupi untuk menyekat ancaman daripada sebuah rejim pelampau kanan yang anti-demokrasi, sebaliknya perlukan mobilisasi massa yang hebat seperti yang telah ditunjukkan perjuangan petani yang hebat pada tahun 2020-2021 untuk terus mempertahankan hak rakyat dan menggerakkan perubahan yang progresif. Perjuangan akan diteruskan…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *