oleh Biro Alam Sekitar dan Krisis Iklim PSM

Kehidupan dan kesejahteraan masyarakat Orang Asli Semai di Pos Lanai, Kuala Lipis, Pahang, kini diancam sekali lagi.

Pos Lanai merupakan kampung halaman kepada masyarakat Orang Asli Semai. Mereka telah tinggal di sepanjang kawasan Central Forest Spine ini yang menghubungkan kawasan Hutan Simpanan Ulu Jelai selama beratus-ratus tahun. Tanah mereka sering dimusnahkan dan diancam dengan pembalakan kayu, aktiviti pertanian, dan baru-baru ini – projek perlombongan untuk memenuhi permintaan “teknologi hijau”.

Pada tahun 2020, terdapat rancangan untuk melombong lantanid dari Hutan Simpanan Ulu Jelai, yang meliputi kawasan seluas 924 buah padang bola sepak. Walaupun kawasan itu diklasifikasikan sebagai sensitif alam sekitar tahap 2, dilaporkan bahawa Kerajaan Negeri Pahang telah meluluskan tiga pajakan perlombongan.

Sejak itu, komuniti Orang Asli telah membantah projek perlombongan lantanid, bekerjasama dengan aktivis-aktivis untuk melancarkan kempen, dan menyaman Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Persekutuan.

Pada bulan Mac 2021, Jabatan Alam Sekitar menolak penilaian impak alam sekitar (EIA) oleh syarikat perlombongan itu bagi projek perlombongan berkenaan. Susulan itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut menyangkal dakwaan tersebut dengan menyatakan tiada prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti perlombongan tersebut.

Selepas itu, tiada tindakan lanjut atau penyerahan semula EIA daripada syarikat itu, sekali gus membawa isu itu kepada penghujung sementara.

Hari ini, saman sivil Pos Lanai masih berjalan, mereka bertekad untuk mempertahankan tanah mereka daripada perlombongan nadir bumi oleh kerajaan dan syarikat perlombongan.

Pada bulan Julai 2023, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi berkata bahawa Malaysia mempunyai kira-kira 16.1 juta tan unsur nadir bumi yang bernilai kira-kira RM809.6 bilion – menandakan apa yang akan datang.

Pada bulan Mei 2024, Kerajaan Negeri Pahang meluluskan kawasan seluas 220 hektar di Sungai Wang, Hulu Jelai untuk digunakan sebagai Projek Perintis Perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE), diketuai oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pahang (PTG) dan Perbadanan Perlombongan Pahang (PMC). Projek itu kini dalam fasa akhir memperhalusi SOP perlombongan nadir bumi.

Kerajaan Negeri Pahang juga berkata bahawa mereka mengalu-alukan syarikat perlombongan dan pelabur untuk menjalankan penerokaan NR-REE di Pahang, malah mempertimbangkan pembukaan kilang pemprosesan NR-REE.

Walaupun kita memahami keperluan untuk menjana pendapatan negeri melalui perlombongan nadir bumi, kita mesti mempertimbangkan dengan serius kesannya terhadap rakyat dan alam sekitar kita.

1. Kesan alam sekitar dan sosial

Aktiviti perlombongan lantanid yang dicadangkan akan menggunakan kaedah larut lesap in situ, yang melibatkan mengepam ammonia di bawah tanah untuk melembutkan tanah, membina lubang suntikan dan terowong pengumpulan untuk mengekstrak unsur nadir bumi (REE).

Penyelidikan menunjukkan bahawa kaedah perlombongan larut lesap in situ mengurangkan penyingkiran tumbuh-tumbuhan dan tanah atas, tetapi ia mengabaikan risiko pencemaran air bawah tanah, sungai dan tanah. Kaedah ini masih baharu di Malaysia, tetapi ia telah menimbulkan kontroversi di China kerana kesan alam sekitarnya yang dahsyat.

Aktiviti perlombongan akan menyebabkan komuniti Orang Asli terpaksa dipindahkan dan berdepan dengan pencerobohan hidupan liar akibat penebangan hutan. Rakyat Pahang juga berisiko terminum air beracun kerana lembangan sungai penting seperti Sungai Telom akan tercemar dengan bahan kimia yang tidak dirawat dari kolam larut lesap.

Kita tidak boleh meletakkan keuntungan mendahului kesihatan rakyat kita untuk mengelakkan daripada tragedi Bukit Merah.

2. Impak Ekonomi 

Apabila menyebut tentang REE, orang ramai akan terbayang imej kenderaan elektronik dan komponen teknologi hijau yang sangat menguntungkan, tetapi pada hakikatnya, Malaysia tidak dapat meraih keuntungan ekonomi produk ini.

Di Pahang, perlombongan in situ hanyalah satu proses untuk mengekstrak nadir bumi karbonat – ia adalah unsur nadir bumi yang tidak diproses dan tidak ditapis yang bernilai rendah. Oleh kerana kita tidak mempunyai teknologi pemisahan yang diperlukan untuk memisahkan REE daripada sedimen, mereka akan dihantar ke luar negara seperti China untuk diproses menjadi unsur nadir bumi yang berharga.

Perlombongan in situ memerlukan pemusnahan kawasan hutan yang besar hanya untuk mendapatkan elemen bernilai rendah yang membawa nilai ekonomi yang terhad kepada kita. Hujan yang kerap juga akan menjadi cabaran untuk operasi perlombongan. Sekiranya berlaku cuaca ekstrem atau hujan lebat, ia boleh membanjiri lombong, memusnahkan jalan raya, dan menyebabkan tanah runtuh sehingga memusnahkan peralatan dan memerangkap pelombong di bawah tanah. 

Walaupun perlombongan boleh menjana pendapatan jangka pendek kepada negeri Pahang, rakyat Pahang akan mengalami kesan pencemaran kimia, pencemaran air, dan bencana.

Adakah kemusnahan alam sekitar dan kesihatan orang Pahang berbaloi untuk digadaikan demi keuntungan daripada aktiviti perlombongan?

3.Ketelusan dan akauntabiliti

Dalam dokumen SOP Perlombongan NR-REE di Malaysia, ia menyatakan bahawa, “Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) tidak akan menyokong atau meluluskan sebarang aktiviti perlombongan yang melibatkan sumber NR-REE di kawasan pemuliharaan seperti hutan simpan kekal, kawasan perlindungan serta kawasan yang diwartakan secara khusus termasuk kawasan tadahan air atau kawasan sensitif alam sekitar.” (m/s 153).

Tapak projek perlombongan itu terletak di Hutan Simpan Ulu Jelai, walaupun aktiviti perlombongan tidak dibenarkan di hutan simpan. Bukankah ini pelanggaran SOP? Mengapa kerajaan meneruskan projek itu?

Walaupun terdapat langkah-langkah terperinci dalam laporan untuk penstabilan tanah, penambahbaikan tanah dan pemulihan tumbuh-tumbuhan (Seksyen 8.3.3, m/s 94 – 95), tetapi kesannya kecil. Walaupun pemulihan hutan adalah penting untuk melindungi biodiversiti kita, pemeliharaan hutan adalah lebih banyak berkesan. Memelihara hutan yang kaya dengan biodiversiti biasanya akan mengelakkan kira-kira 100 tan pelepasan karbon, manakala penghutanan semula hanya dapat mengurangkan 3% daripada jumlah itu.

**********

Kami ingin memastikan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pahang bertanggungjawab dengan bertanya kepada mereka soalan-soalan ini:

A. Apakah syarikat yang terlibat dalam projek perlombongan nadir bumi di Ulu Jelai?

B. Adakah pihak berkuasa mendapat EIA daripada syarikat perlombongan itu? Jika ya, di mana dan bagaimana orang ramai boleh mengakses laporan EIA tersebut?

C. Kami mendapati bahawa tapak projek itu terletak di Hutan Simpan Ulu Jelai, namun SOP REE yang diterbitkan pada bulan Februari 2023 menyatakan dengan jelas bahawa Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam tidak membenarkan aktiviti perlombongan di hutan simpan. Bagaimana ini boleh berlaku?

D. Adakah syarikat perlombongan itu mendapat Persetujuan atas Dasar Informasi Awal tanpa Paksaan (FPIC) daripada masyarakat tempatan, terutamanya masyarakat Orang Asli yang telah mendiami kawasan tersebut selama berabad-abad?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *