Mesej Hari Bumi 2024 oleh Biro Alam Sekitar dan Krisis Iklim (BASKI) Parti Sosialis Malaysia (PSM)

Tema Hari Bumi tahun ini ialah “Planet vs Plastik” yang menyeru untuk mengurangkan sebanyak 60% pengeluaran plastik menjelang tahun 2040, memandangkan kesan negatif penggunaan plastik terhadap alam sekitar. Matlamat kita adalah untuk membina Bumi yang bebas daripada sisa plastik. 

Menurut laman sesawang EARTHDAY.ORG, sejuta beg plastik dihasilkan setiap minit di seluruh dunia pada tahun lalu. Penguraian plastik mengambil masa yang amat lama, sehingga melebihi jangka hayat kebanyakan manusia. Namun, plastik yang terurai sepenuhnya masih akan kekal sebagai “mikroplastik”, dan sisa mikroplastik akan memasuki rantaian makanan dan menjejaskan kesihatan manusia.

Plastik dalam sistem ekonomi kapitalis

Pengeluaran dan penggunaan plastik berkait rapat dengan sistem ekonomi kapitalis yang kian pesat menembusi pasaran dunia sejak abad ke-20. Ciri-ciri plastik yang mudah dibentuk, ringan dan berkos rendah, menyebabkan ia digunakan secara meluas terutamanya dalam pembungkusan dan kerangka produk supaya produk-produk boleh dihantar ke seluruh dunia dengan lebih cepat. 

Sistem ekonomi kapitalis merupakan bentuk ekonomi yang mementingkan keuntungan. Komoditi mesti ditukar ke dalam bentuk mata wang secepat mungkin. Penggunaan plastik menggalakkan gaya hidup konsumerisme yang senang, selesa dan penggunaan berlebihan (overconsumption) untuk mempercepatkan penjanaan keuntungan.

Fast fashion merupakan salah satu bidang yang menggunakan plastik secara meluas. Laporan Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa IUCN pada tahun 2017 yang ditulis oleh Julien Boucher dan Damien Friot menyatakan bahawa penggunaan tekstil semakin meningkat sejak tahun 1990-an dan tekstil sintetik telah mewakili hampir dua pertiga daripada penggunaan ini.

Lebih 100 bilion helai pakaian dihasilkan setiap tahun. Pengeluaran dan penggunaan berlebihan sebegini menyebabkan pembaziran melampau. Kira-kira 85% pakaian berakhir di tapak pelupusan sampah atau insinerator, dengan hanya 1% dikitar semula. Bukan itu sahaja, aktiviti pembasuhan tekstil sintetik menyumbang kepada 35% mikroplastik (lebih dikenali sebagai “mikrofiber” dalam konteks ini) di dalam lautan.

Selain itu, kapitalis perlu terus merendahkan kos operasi supaya memaksimumkan keuntungannya. Persaingan antara kapitalis juga memainkan peranan dalam perlumbaan pengurangan kos. Cara yang paling senang ialah membayar gaji yang rendah kepada pekerja dan mengabaikan pelaburan dalam keselamatan. 

Hal ini mengakibatkan banyak kemalangan industri, antara yang paling tragik ialah keruntuhan kilang pakaian di Dhaka, Bangladesh, pada tahun 2013 yang membunuh lebih 1,000 orang pekerja manakala lebih 2,600 orang pekerja cedera. Kilang tersebut terletak di dalam bangunan bertingkat yang mengeluarkan pakaian untuk jenama-jenama pakaian di negara Barat. Menurut Clean Clothes Campaign, secara puratanya, hanya 0.6% daripada harga penjualan pakaian dibayar kepada pekerja. 

Sementara itu, menurut EARTHDAY.ORG, 100 bilion bekas minuman plastik telah dijual di Amerika Syarikat (AS) pada tahun lepas, namun hanya 5% daripada plastik tersebut dikitar semula. Produk kitar semula bukan dijadikan bekas minuman yang asal, tetapi bertukar menjadi produk yang kurang berkualiti atau dihantar ke negara yang lebih miskin untuk “dikitar semula”.

Malaysia merupakan salah sebuah negara yang diancam oleh pembuangan sampah haram, termasuk sisa plastik dari negara maju yang sepatutnya dikitar semula atau dilupuskan. Kebanyakan kemudahan kitar semula yang terletak di kawasan luar bandar dan beroperasi secara haram telah membawa isu kesihatan kepada penduduk setempat. Bukan itu sahaja, pengoperasian haram sebegini biasanya melibatkan rasuah dan kegiatan samseng. 

Di samping itu, kebanyakan plastik dihasilkan oleh industri petrokimia yang merupakan dalang utama kepada pencemaran dan krisis iklim serta mempunyai rekod yang “cemerlang” dalam kemalangan industri. Industri petrokimia juga menggunakan banyak tenaga yang dijana daripada bahan api fosil seperti petroleum. Kebergantungan global terhadap petroleum telah menghambat proses peralihan global kepada tenaga boleh diperbaharui. 

Perebutan sumber minyak mentah yang merupakan bahan mentah terpenting dalam penjanaan tenaga dan industri pembuatan oleh kuasa-kuasa besar, terutamanya kuasa imperialis Amerika Syarikat (AS), telah menyebabkan pelbagai konflik yang biasanya melibatkan keganasan dan peperangan sehingga menimbulkan perasaan kebencian dan perpecahan dalam kalangan masyarakat. 

Selanjutnya, pengeluaran dan penggunaan berlebihan juga menyebabkan penggunaan sumber asli yang tidak terkawal dan perampasan tanah yang berleluasa. Secara umum, kumpulan minoriti sering menjadi mangsa kerana suara mereka yang lemah akibat nisbah perwakilan rendah dalam demokrasi berparlimen, serta perasaan prejudis terhadap mereka yang tertanam dalam masyarakat secara umum.

Kontradiksi sistem ekonomi kapitalis

Salah satu ciri dalam sistem ekonomi kapitalis ialah kecenderungan kadar keuntungan merosot yang mendorong golongan kapitalis dan konco-konconya bertindak balas, seperti mencari pasaran baharu untuk penjualan, melabur di kawasan yang mempunyai sumber pekerja dan bahan mentah yang murah, menghasilkan inovasi teknologi dan sebagainya. 

Hakikatnya, perkembangan ekonomi sebegini biasanya dianggap sebagai pembangunan moden dan digambarkan sebagai pertumbuhan ekonomi secara umum. Di sebalik pertumbuhan ekonomi ini ialah perampasan tanah yang menyebabkan komuniti kehilangan tempat tinggal, pengekstrakan bahan mineral yang menyebabkan pencemaran, pengangguran dan eksploitasi pekerja akibat penghijrahan kilang ke tempat di mana kos pekerja dan sumber asli amat rendah. 

Sikap penggunaan berlebihan dan kenikmatan melampau “diwajibkan” kerana bilangan dan jenis komoditi (atau perkhidmatan) bertambah berbanding dengan dahulu. Kalau tidak, komoditi tidak dapat bertukar menjadi keuntungan. Sementara itu, sisa-sisa yang dihasilkan daripada aktiviti pengeluaran dan penggunaan meningkat secara mendadak terutamanya di kawasan yang maju dan akan dihantar ke kawasan kurang maju untuk dilupuskan.

Adakah anda tahu bahawa kita perlukan kira-kira dua buah planet Bumi untuk membekalkan sumber asli dan menyerap sisa-sisa yang dihasilkan di bawah sistem kapitalisme? Batasan ekologi tidak dapat dilaksanakan walaupun kemampuan Bumi sendiri sudah tidak dapat menampung aktiviti ekonomi lagi. Kalau kita mengehadkan aktiviti ekonomi di bawah sistem ini, maka akan wujud krisis ekonomi kerana keuntungan kapitalis terjejas. Golongan marhaen atau akar umbi akan kehilangan kerja dan sumber pendapatan manakala majikan dan golongan kapitalis yang memiliki kilang, bahan mentah dan sebagainya akan menghentikan aktiviti ekonomi dan membekukan modal berlebihan dalam keadaan genting sebegini. 

Walaupun sistem ekonomi kapitalis membawa kemakmuran terutamanya dari segi kebendaan, tetapi turut mengundang pencemaran, krisis ekologi, krisis ekonomi, kemiskinan, pengangguran, pembangunan tidak seimbang, pekerjaan yang tidak menentu (precarious work), peperangan dan lain-lain lagi. Pemeliharaan alam sekitar hanya ilusi atau penipuan di bawah sistem ekonomi kapitalis kerana polisi sebegini tidak boleh meraih sokongan orang ramai kerana beban penyelesaian akan ditanggung oleh golongan marhaen.

Jelaslah bahawa sistem ekonomi kapitalis membawa malapetaka kepada manusia dan alam sekitar, maka kami ingin memperkenalkan ideologi ekososialisme. Ia bertujuan menghapuskan kontradiksi kapitalisme untuk menyatukan manusia dan alam sekitar, supaya masyarakat dapat beranjak ke arah membina dunia yang lebih mampan, adil, sama rata, dan demokratik. 

Ekososialisme

Ideologi ekososialisme memperjuangkan pertubuhan awam atau komuniti mengambil alih sektor pengeluaran, dan bukan hanya tertumpu di tangan golongan elit yang terdiri daripada kapitalis dan konco-konconya, seperti politikus, pengurus, profesional dan pemimpin ketenteraan yang berkongsi kepentingan yang sama. Perkara yang berkaitan dengan pengeluaran seperti masa bekerja, gaji, jenis produk yang dihasilkan, pengagihan produk atau perkhidmatan, dan sebagainya akan ditentukan oleh masyarakat secara demokratik. 

Sokongan, terutama sokongan kebendaan antara komuniti pengeluar, akan dipupuk dalam sistem ekonomi sebegini, maka muncul masyarakat baharu yang mementingkan nilai-nilai perpaduan dan solidariti. Selaras dengan itu, organisasi masyarakat dalam sistem baharu ini, seperti institusi politik, pendidikan atau perundangan, akan berbeza dengan sistem sekarang yang hanya mengejar pertumbuhan ekonomi secara buta tuli dan keuntungan maksimum. 

Secara ringkasnya, komuniti merancang dan menjalankan aktiviti ekonomi untuk memenuhi kehidupan harian berlandaskan nilai-nilai kemanusiaan dalam batasan ekologi. Teknologi tidak dimonopoli oleh golongan elit untuk keuntungan semata-mata. 

Sebagai contoh, komuniti akan memastikan sumber air yang bersih menjadi milik awam dan boleh diperolehi di merata tempat dengan botol sendiri, bukan diisi dalam bekas plastik dan dijual dengan pelbagai jenama mewah. 

Selain itu, komuniti pengeluar juga boleh mengurangkan pembungkusan plastik dalam produk-produk yang dihasilkan kerana pengguna tidak perlu membandingkan jenama yang terpapar di atas bungkusan. Maklumat lain yang biasanya terpapar di atas bungkusan boleh disampaikan kepada pengguna dengan cara yang lebih mesra alam. 

Rentetan daripada itu, ia boleh membawa kepada kemunculan sebuah dunia yang tiada pengiklanan yang menggalakkan pengeluaran dan penggunaan berlebihan. Seterusnya, penjanaan tenaga tidak akan dibazirkan dalam perkara sebegini dan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui lebih senang dicapai. 

Peralihan ini tidak mudah dicapai dan mengambil masa yang lama kerana ia bersifat revolusi, tetapi dunia kita sekarang masih dibahagi kepada pelbagai identiti dan aliran, tidak kira dari segi agama, suku etnik, bangsa, gender, dan lain-lain lagi. 

Masyarakat berkelas, seperti masyarakat di bawah sistem ekonomi kapitalis, golongan yang mempunyai kelebihan dalam sistem ini merupakan kapitalis dan diikuti konco-konconya, akan cuba sedaya upaya menanamkan kejahilan, kesedaran palsu dan memecahbelahkan masyarakat untuk kepentingan kelas mereka. 

Oleh itu, kami mengesyorkan beberapa cadangan sempena Hari Bumi 2024 yang boleh mencapai permuafakatan antara kebanyakan rakyat Malaysia untuk permulaan transformasi ke arah ekososialisme:

1. Mengisytiharkan darurat iklim

  • Isytiharkan darurat iklim untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dan kerajaan bahawa kita harus beralih segera ke ekonomi yang lebih mampan dan samarata.
  • Sediakan dana untuk transformasi secepat mungkin.
  • Peningkatan cukai ke atas golongan terkaya dan syarikat swasta, pengenalan cukai karbon dan pengurangan ketirisan kewangan oleh agensi kerajaan untuk mendapatkan dana yang diperlukan.

2. Hentikan pembalakan

  • Hentikan serta-merta pembalakan dan perlombongan di Hutan Simpanan Kekal. Lancarkan program pemulihan hutan dengan kerjasama pihak NGO dan komuniti setempat.
  • Kepelbagaian spesies adalah salah satu ciri penting hutan. Ladang monokultur yang diusahakan atas nama pembangunan ekonomi tidak harus diklasifikasikan sebagai “hutan”.
  • Kerajaan harus bekerjasama dengan NGO dan ahli akademik, orang asli, wakil masyarakat dan parti politik untuk menentu semula keluasan hutan dan menyambung semula hutan yang terpecah supaya usaha pemulihan hutan dan spesies lebih berkesan.

3. Peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui

  • Tetapkan sasaran untuk menamatkan penggunaan arang batu sebagai bahan api penjanaan elektrik sebelum tahun 2028.
  • Mempercepatkan penjanaan tenaga boleh diperbaharui, termasuk panel suria, sisa kilang kelapa sawit dan loji pembentungan.
  • Peralihan kepada model pengurusan tenaga yang baharu: pengurusan demokratik, yang menjadikannya koperasi atau harta awam yang dimiliki oleh komuniti pengguna.

4. Menggalakkan sistem pengangkutan awam

  • Kenakan bayaran permit ke atas pembelian kereta mewah. Hasil kutipan permit ini boleh digunakan untuk membiayai kos operasi bas elektrik/hidrogen dalam sistem pengangkutan awam Malaysia.
  • Pindahkan terus subsidi petrol bulanan kepada pengguna kenderaan B40.
  • Sediakan pengangkutan awam yang cekap, selesa dan percuma untuk menggalakkan orang ramai mengambil pengangkutan awam.

5. Kitar semula dan pelupusan sisa

  • Melaksanakan program kesedaran yang efektif ke peringkat akar umbi untuk pengasingan sisa. 
  • Tetapkan sasaran untuk menamatkan penggunaan plastik sekali guna sebelum tahun 2028.
  • Tetapkan satu mekanisme untuk pengeluar dan pengguna barangan elektrik dan elektronik, termasuk bateri untuk pelupusan atau kitar semula produk berkenaan.
  • Hentikan pengimportan sisa dan pelaburan asing yang meninggalkan sisa yang berbahaya, terutama sisa radioaktif di Malaysia.
  • Hentikan pembinaan insinerator yang membawa pencemaran yang lebih serius dan mencari alternatif yang lebih sesuai untuk pelupusan sisa.

6. Mengurangkan ancaman bencana

  • Jangan main isu agama dan perkauman, kukuhkan tali persaudaraan antara kumpulan etnik dalam masyarakat dan bersedia menghadapi bencana bersama-sama. 
  • Peruntukan untuk tingkatkan kemudahan dan kapasiti dalam kalangan masyarakat, terutama untuk komuniti terpinggir, agar bersedia menghadapi ancaman kesan krisis iklim seperti kenaikan paras laut, banjir, kemarau, gelombang panas dan lain-lain lagi.
  • Kembalikan pilihan raya kerajaan tempatan dan berikan kuasa kepada wakil komuniti yang dipilih untuk memantau dan menguruskan peruntukan dengan lebih baik daripada jatuh ke tangan kroni.

7. Jaminan keperluan asas dan keselamatan sosial

  • Lindungi semua pekerja, terutamanya golongan rentan, pekerja kontrak dan pekerja tidak formal.
  • Laksanakan gaji bermaruah dan skim pencen sejagat segera. Kukuhkan jaringan keselamatan sosial untuk semua golongan.
  • Kurangkan jurang antara bandar dan luar bandar. Tangani kemiskinan bandar.
  • Wujudkan rumah mampu milik yang sebenar. Sediakan kemudahan perubatan, pendidikan, riadah, pengasuhan dan penjagaan yang percuma dan berkualiti.

8. Hentikan perampasan tanah

  • Hentikan rampasan tanah daripada petani kecil dan Orang Asli.
  • Beri pajakan tanah pertanian berjangka panjang kepada petani kecil supaya menggalakkan pertanian dan penternakan organik demi jaminan mutu dan keselamatan makanan.
  • Lindungi tanah adat orang asli supaya memelihara kebijaksanaan cara hidup mampan mereka dan bukan memaksa mereka untuk merima budaya konsumerisme yang tidak mampan.
  • Rakyat tidak akan membantah kesusahan transformasi jika kita menyelesaikan masalah mereka berlandaskan prinsip kesamarataan dan keadilan.

9. Peralihan kepada model ekonomi yang tidak mengutamakan keuntungan

  • KDNK merupakan petunjuk penting pertumbuhan ekonomi. Pertumbuhan ekonomi menyebabkan penggunaan sumber asli secara berlebihan. Namun bagi pelabur syarikat besar, ia mewakili keuntungan yang lebih tinggi.
  • Gantikan KDNK dengan petunjuk lain yang mengambil kira penggunaan sumber asli.
  • Contoh: Pengeluaran RM100 juta petroleum bermaksud peningkatan sebanyak RM100 juta dalam KDNK. Namun, memandangkan petroleum sudah diekstrak untuk penggunaan, malah perbelanjaan tambahan diperlukan untuk membersihkan pelepasan karbon dan pencemaran, jadi ia adalah negatif dalam petunjuk baharu.

10. Kerjasama antarabangsa yang memanfaatkan Bumi

  • Kekayaan di negara maju dikumpul melalui kolonialisme dan hubungan ekonomi yang tidak sama rata menyebabkan pelepasan karbon dan pencemaran yang banyak.
  • Malaysia harus memberi komitmen dalam usaha serantau untuk membawa transformasi global yang positif:

i.menyatukan negara sedang membangun dan memberi tekanan kepada negara maju untuk mendapatkan bantuan kewangan dan pemindahan teknologi;

ii.mendukung kadar cukai korporat dan kekayaan serantau yang sama untuk menamatkan persaingan berbahaya;

iii.membatalkan klausa perdagangan bebas yang memudaratkan alam sekitar;

iv.membatalkan sebahagian, kalau bukan semua, hutang negara sedang membangun, membenarkan pelaburan sepenuhnya dalam transformasi;

v.berperanan aktif dalam anti-perang dan pelucutan senjata, mengalihkan belanjawan ketenteraan kepada transformasi.

==========

Rencana ini ditulis oleh Brian Khow, anggota Biro Alam Sekitar dan Krisis Iklim (BASKI) Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *