oleh Dr. Nasir Hashim

Saya setuju dengan kenyataan bekas hakim Mahkamah Rayuan Hishamudin Yunus bahawa kerajaan hari ini harus memohon maaf secara terbuka atas Operasi Lalang pada tahun 1987.

Meskipun masa sudah berlalu, luka kekejaman, keganasan dan ketidakadilan yang disengajakan itu tidak mudah dilupakan.

Demi menjaga periuk nasi dan kedudukan, pihak kehakiman, pentadbiran, pemimpin politik, akhbar, RTM dan pasukan keselamatan bersubahat di bawah telunjuk kuasa Mahathir Mohamad. Mereka sanggup mengorbankan dan memangsakan kami asalkan pekung mereka (ketegangan dan krisis politik dalam UMNO pada ketika itu) dapat ditutup rapi. Ramai kawan dan peguam tidak berjaya membantu kami kerana pihak kehakiman sudah memihak kepada kehendak Mahathir. Ramai mangsa ISA menghadapi trauma walaupun sudah dibebaskan, terlalu berjaga-jaga dan berwaspada hingga membatalkan kemampuan mereka untuk melibatkan diri dalam masyarakat. Ramai pula mangsa ISA mudah lupa, sanggup memuji dan menyokong kembali Mahathir demi ketagihan kedudukan politik.

Saya menghadapi batuk teruk semasa dikurung selama 60 hari tanpa mengetahui bila siang atau malam sebelum dihantar ke Kem Tahanan Kamunting. Batuk tidak reda, maka X-Ray di hospital menunjukkan luka di paru-paru kanan. Masalah batuk tidak reda selama dua tahun selepas saya dibebaskan. Kemudian saya terpaksa melalui pembedahan untuk membuang kulit yang berjaya membalut penyakit TB di paru-paru kanan. Perjuangan diteruskan.

==========

Dr. Nasir Hashim ialah mantan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM). Beliau pernah ditahan tanpa bicara selama 15 bulan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semasa Operasi Lalang pada tahun 1987.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *