Kenyataan bersama oleh organisasi-organisasi kiri Asia Tenggara:

Hentikan genosid! Solidariti bersama Palestin!

(Kenyataan bersama ini merupakan inisiatif Jaringan Kiri Asia Tenggara. Kenyataan bersama ini telah disokong oleh organisasi-organisasi dari dalam dan luar rantau Asia Tenggara.)

Kami, organisasi-organisasi yang menandatangani kenyataan bersama ini, mengecam sekeras-kerasnya rejim Zionis Israel yang melakukan jenayah genosid terhadap rakyat Palestin.

Negara Zionis Israel kini sedang melakukan pencerobohan dan penjajahan berterusan terhadap Palestin, mengakibatkan bukan sahaja pencabulan hak asasi rakyat Palestin untuk kemerdekaan, maruah, keadilan dan kemakmuran, tetapi juga mengekalkan dan malah mengukuhkan imperialisme global yang kini sedang masih bertapak di pelbagai tempat di dunia.

Tanpa sokongan ketenteraan dan politik daripada Amerika Syarikat, pendudukan Israel di Tebing Barat, Gaza dan wilayah-wilayah Palestin, serta pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku di Gaza tidak akan dapat dilakukan. Kuasa imperialis Amerika Syarikat (AS) dan Barat terlibat secara menyeluruh dalam genosid terhadap rakyat Gaza. Malah kewujudan Israel sendiri adalah mustahil tanpa sokongan kuasa imperialis Barat.

Rejim fasis Zionis Israel yang dipimpin oleh Perdana Menteri Benjamin Netanyahu telah melakukan jenayah hebat terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan genosid secara besar-besaran dengan bantuan persenjataan dan kewangan daripada kuasa-kuasa imperialis Barat yang diketuai oleh AS. Sejak bermulanya pengeboman Israel ke atas Gaza, tindakan licik yang mengarahkan orang ramai untuk berpindah, kemudiannya mengebom laluan pelarian, dan membunuh wartawan serta anggota perubatan, telah mengakibatkan kematian sekurang-kurangnya 30,000 orang, termasuk lebih 12,000 orang kanak-kanak, dan lebih 70,000 orang cedera. Lebih 1.9 juta orang Palestin kehilangan tempat tinggal di Semenanjung Gaza.

Pencerobohan, penjajahan, jenayah terhadap kemanusiaan dan kezaliman lain yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel, walaupun pelbagai alasan dan kepalsuan yang disebarkan, pada asasnya bertujuan untuk melenyapkan perjuangan untuk kemerdekaan Palestin, mengusir keluar rakyat Palestin, merampas tanah mereka dan memperluaskan kawalan wilayah Israel.

Kami, sebagai gerakan rakyat yang progresif, bersatu dalam perjuangan kami yang menentang imperialisme, Zionisme dan genosid. Kami menegaskan semula sokongan kami kepada perjuangan rakyat Palestin untuk pembebasan nasional.

Dengan ini, kami menyeru:

  • Tamatkan genosid yang dilakukan oleh Zionis di wilayah Palestin;
  • Tamatkan semua serangan oleh tentera Zionis Israel terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat;
  • Kenakan hukuman terhadap semua pelaku yang melakukan jenayah terhadap kemanusiaan, termasuk kerajaan Netanyahu, Presiden AS Biden, kerajaan AS dan kerajaan United Kingdom kerana persubahatan mereka dalam genosid di Gaza;
  • Sokongan penuh kepada hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan melawan pendudukan Israel;
  • Sokongan kepada penubuhan sebuah negara demokratik yang baharu berasaskan solidariti dalam kalangan semua rakyat tanpa mengira kaum atau agama.

Bebas Palestin sekarang!

Kenyataan bersama ini disokong oleh:

  1. Parti Sosialis Malaysia (PSM), Malaysia
  2. Partido Lakas ng Masa (PLM), Filipina
  3. People’s Liberation Party (PPR), Indonesia
  4. Socialist Union (Perserikatan Sosialis), Indonesia
  5. Partai Rakyat Pekerja (PRP), Indonesia
  6. Socialist Workers Thailand (SWT), Thailand
  7. Communist Party of India (Marxist-Leninist) Liberation, India
  8. Aliansi Mahasiswa Papua, Papua/Indonesia
  9. PEMBEBASAN, Indonesia
  10. Praxis, Indonesia
  11. Gabungan Marhaen, Malaysia
  12. #GegarAmerika, Malaysia
  13. Jentayu, Malaysia
  14. Sekolah Merdeka, Malaysia
  15. Haqooq Khalq Party, Pakistan
  16. Partido Manggagawa, Filipina
  17. Front Line Socialist Party, Sri Lanka
  18. DinDeng, Thailand
  19. Socialist Alliance, Australia
  20. Europe solidaire sans frontières (ESSF), Perancis

Kenyataan bersama ini boleh didapati dalam versi Bahasa Inggeris dan Bahasa Tionghua.

3 thoughts on “Hentikan genosid! Solidariti bersama Palestin! (Kenyataan bersama oleh organisasi-organisasi kiri Asia Tenggara)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *